LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK PEMBANGUNAN KEJORA DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KE DUA BELAS ROLLING PLAN KEDUA (RMKE-12 RP2) TAHUN 2022 NEGERI JOHOR

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Perancangan Strategik telah menerima lawatan pemantauan projek daripada Pejabat Pembangunan Negeri Johor (PPNJ) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Rahman bin Mohd Din, Pengarah Pembangunan Negeri Johor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan di pihak KEJORA diketuai oleh Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA.
Lawatan ini bertujuan untuk memantau perkembangan kemajuan projek-projek pembangunan di bawah RP1 dan RP2 KEJORA untuk projek Pembangunan Pelancongan Warisan Pulau Tg Surat, Pembangunan Infrastruktur Pelancongan Tg. Balau Fasa 2 dan Pelancongan Desa Kompleks The Wetlands.

SESI TAKLIMAT RINGKAS DAN SERAHAN SURAT TAWARAN PERUMAHAN TAMAN PENAWAR HARMONI, BANDAR PENAWAR, JOHOR

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Hartanah telah menyerahkan surat tawaran perumahan Taman Penawar Harmoni (TPH), Bandar Penawar, Johor. Semua penerima telah diberikan taklimat mengenai prosedur tawaran termasuk kaedah pembayaran deposit pinjaman serta penyediaan perjanjian.
KEJORA mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya.
Bersyukur kini KEJORA panjatkan,
Surat tawaran telah disempurnakan,
Sekalung penghargaan KEJORA hulurkan,
Segulung tahniah KEJORA ucapkan.

KURSUS PENGURUSAN ACARA WILAYAH KEJORA TAHUN 2022.

Alhamdulillah! Bersyukur kepada Allah swt di atas kurniaan dan rahmatNya, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Bahagian Pelancongan telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Acara kepada 16 peserta yang terdiri dari kalangan Operator Produk Pelancongan & Pengusaha Homestay Wilayah KEJORA pada 18 hingga 20 Ogos 2022 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur.
Kursus yang dikelolakan oleh pihak Vision Consultant ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang strategi dan kaedah yang berkesan dalam penganjuran sesuatu acara di dalam wilayah Kejora yang secara tidak langsung dapat memanfaatkan keunikan setiap produk pelancongan di kawasan masing-masing.
Majlis Penutupan kursus telah dirasmikan oleh Puan Suraya Hani bt. Sharan, Pengurus Pelancongan selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasa pelancongan desa Wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing agar matlamat pelancongan berasaskan komuniti (Community Based Tourism) dapat dicapai dengan jayanya. Syabas kepada semua peserta!

MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) KEJORA BIL 2 TAHUN 2022

Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) KEJORA Bil. 2 Tahun 20222 telah berjaya dilaksanakan pada 18 Ogos 2022, Khamis bertempat di Hotel Zenith, Cameron Highland, Pahang.
Mesyuarat ini telah di Pengerusi oleh YBhg. Dato Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA dan turut dihadiri oleh Wakil Pegawai (Pengurusan KEJORA) dan Wakil Pekerja yang telah dilantik bagi membincangkan dan mendapatkan kesepakatan bersama dalam menyelesaikan isu setempat demi kebaikan KEJORA.

KURSUS PRA PERSARAAN KEJORA TAHUN 2022

Seramai 28 orang wargakerja Lembaga Kemajuan Johor Tengara (KEJORA) hadir kursus di The Zenith Cameron Highlands pada 16 hingga 18 Ogos 2022 dengan semangat yang membara untuk menyediakan payung sebelum hujan dengan menghadiri Kursus Pra Persaraan KEJORA Tahun 2022. Turut serta Encik Daud bin Abd Rahman selaku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA.
Hari pertama, para peserta telah didedahkan dengan ilmu keusahawanan dengan lawatan dan sesi soal jawab yang telah disampaikan oleh pengusaha ladang strawberry terkemuka di Cameron Highlands iaitu KHM Strawberry.
Seterusnya, Tuan Haji Mazlan Mohamed Yasin dan Coach Firdaus Arshad selaku trainer dan coach profesional, telah mengambil alih program ini dengan memberikan cara, strategi dan bagaimana untuk Bersara dengan Bergaya. Objektif yang ingin dicapai antaranya adalah merancang aktiviti-aktiviti yang berfaedah bagi menjadikan persaraan yang berkualiti.
Hari terakhir para peserta melawat Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dan kawasan sekitar.
Jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan kursus ini dengan begitu unggul.

PROGRAM CERAMAH PENGUKUHAN INTEGRITI KEJORA SIRI 4/2022

18 OGOS 2022 | KHAMIS | 9.00 PAGI
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Unit Integriti telah melaksanakan Program Ceramah Pengukuhan Integriti KEJORA Siri 4/2022 yang bertajuk “Polisi Tanpa Hadiah” bertempat di Dewan KEJORA, Bandar Penawar. Ceramah ini telah disampaikan oleh Tuan Yunus bin Mohamed selaku Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor. Program ini bertujuan untuk meningkatkan komitmen anggota KEJORA tentang peranan yang boleh dilakukan untuk pengukuhan integriti dan meningkatkan tahap kesedaran serta kefahaman anggota KEJORA terhadap Integriti terutamanya dalam rasuah.
Dalam ceramah tersebut, beliau berharap dan mengingatkan agar semua anggota KEJORA sentiasa membudayakan antirasuah disemua peringkat pelaksanaan kerja dan tanggungjawb dalam memerangi rasuah.

PROGRAM KESEDARAN SISTEM PENGURUSAN MAKLUMAT (ISMS) KEJORA TAHUN 2022

11 OGOS 2022
Program Kesedaran Keselamatan Maklumat (ISMS) telah diadakan pasa 11 Ogos 2022 telah dirasmikan oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan). Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan pelaksanaan ISO/ IEC 27001:2013 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) yang telah dipersijilkan di KEJORA bermula pada tahun 2014 dengan skop pelaksanaan adalah “Sistem Pengurusan “SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN MAKLUMAT BAGI SISTEM ELEKTRONIK PROCUMENT READY ONLINE (ePRO)”, LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA”.
Program dimulai dengan Taklimat Kesedaran Keselamatn Maklumat berkaitan keselamatan siber yang disampaikan oleh Tuan Zulazly bin Khalid, Pengarah Urusan Diaspora Sdn. Bhd.
Program diteruskan dengan Taklimat Sistem EPerolehan 3.0 KEJORA kepada semua anggota KEJORA. Sistem ePRO, telah mengalami penambahbaikan seiring dengan masa melalui ePRO 2.0 dan kini ePRO 3.0. Sistem ePRO bukan sahaja membantu dan mempercepatkan prosess perolehan daripada penyediaan BQ hingga kepada perlantikan kontraktor. Sistem ePRO membolehkan semua proses kerja dilaksanakan secara atas talian bermula daripada penyediaan BQ, iklan, tutup peti, buka peti, penilaian sebutharga atau tender dan pengeluaran SST tetapi yang paling penting sistem ini memudahkan pembekal/kontraktor luar bandar dalam wilayah KEJORA untuk mengemukakan tawaran sebutharga secara paperless.
Ucapan Perasmian Penutup telah sesampaikan oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) selaku Ketua Pegawai Maklumat (CIO).
Dalam ucapan tersebut beliau berharap pelaksanaan program ICT selari dengan pelaksanaan KEJORA 2.0 dan selaras dengan Pelan Strategik ICT KEJORA 2021-2025 KEJORA.
Dalam ucapan beliau juga mengingatkan agar semua anggota KEJORA sentiasa membudayakan ICT disemua peringkat pelaksanaan kerja dan berharap pelaksanaan ISMS dapat dilaksanakan dengan baik.

MINGGU BELIA KEJORA 2022 – HARI TERAKHIR

7 OGOS 2022 I AHAD I 6.00 PETANG
Suasana hari terakhir atau hari keempat Minggu Belia KEJORA 2022. Hari terakhir, bermula dengan Pertandingan Mewarna Pelajar Sekolah di Perpustakaan Awam Bandar Penawar. Seterusnya, Program Jejak Kerjaya diteruskan bagi membuka peluang kepada belia untuk menghadiri temuduga secara terus dengan 12 agensi yang menawar pekerjaan.
Pertandingan Futsal mengambil tempat pada hari keempat ini dengan 32 penyertaan manakala Pertandingan Buskers Sekolah menampilkan bakat pelajar sekolah bermain alat muzik.
Menariknya hari ini, adalah pameran autoshow kereta & motorsikal yang bertempat di ruang parkir tapak pasar tani Bandar Penawar. Dengan penyertaan lebih dari 300 kenderaan, pengunjung berpeluang melihat keindahan modifikasi kereta serta motorsikal.
Penampilan Ustaz Khailil Razak atau nama popularnya Ustaz Tido dan Shahrol Shiro sebagai Ikon Orang Muda Johor dalam penampilan Bicara Kopitiam Belia dengan dibantu oleh moderator iaitu En. Muhammad Fadzli bin Hassan, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia telah menarik minat ramai pengunjung dan belia untuk mendengar perkongsian mereka berkaitan usahawan dan sebagainya.
Di akhirnya, kita bicara tentang belia bukan kerana nama mereka belia, tetapi kerana sifat mereka, pemuda yang bertenaga, tertayang pada mereka watak sebagai penyambung warisan, penerus peradaban, pemikul beban amanah negara.
Tugas kita untuk memenuhi perisian diri mereka dengan intipati, harapan kelak mereka akan layak menjadi pemuda seperti yang dipesankan oleh Pendeta Za’ba;-
Padalah itu aku khabari,
Ingatlah semua muda jauhari,
Kiranya kabul ALLAH memberi,
Dirimu jadi pemulih negeri.
Mengapa Kumbang menyeri bunga,
Kerana lemaknya madu di sana;
Dekad Ini Milik Siapa?
#Dekad Ini Dekad Anda
#Ini Masa Kita

MAJLIS PENYERAHAN JETI PELANCONGAN KAMPUNG LINTING

7 OGOS 2022 I AHAD I 1.00 PETANG
Pada hari ini telah berlangsung Majlis Penyerahan Jeti Pelancongan Kampung Linting kepada JPKK Kampung Tanjung Surat. Majlis telah dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, ADUN Tanjung Surat, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA, Pengurusan KEJORA, En. Amin bin Abd Rahman, Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Surat serta penduduk setempat.
YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA dalam ucapannya menyatakan bahawa projek menaiktaraf & membina jeti pelancongan Kampung Linting ini telah bermula pada 15 Ogos 2021 dan telah siap sepenuhnya pada 24 Mei 2022 dengan kos keseluruhan hampir RM750,000.00. Panjang jeti adalah 150 meter dan dibina menggunakan teknologi terkini serta mampu bertahan selama 20 tahun.
Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, ADUN Tanjung Surat pula dalam ucapannya berharap agar jeti ini digunakan sebaiknya serta berharap agar penduduk Kampung Tanjung Surat untuk sama-sama menjaga jeti ini. Janganlah diletakkan bot-bot nelayan, kerana ia akan mencacatkan pemandangan ketika pelancong datang ke pulau ini. Selain itu juga, adalah menjadi hasrat beliau agar Pulau Tanjung Surat ini akan menjadi ikon pelancongan kepada DUN Tanjung Surat.

MAJLIS PERASMIAN PAVILION NEGERI JOHOR SEMPENA MAHA 2022

6 OGOS 2022 I SABTU
Majlis Perasmian Pavilion Negeri Johor sempena #MAHA2022 telah dilangsungkan dengan jayanya. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Pavilion Johor adalah sebuah platform manifestasi pembangunan dan kemajuan sektor pertanian Negeri Johor dalam mempersembahkan kepada para pengunjung yang hadir ke #MAHA2022. Pavilion Johor ini disertai oleh 19 jabatan dan agensi yang diterjemahkan melalui 5 sektor iaitu Sektor Dasar Agromakanan Negeri Johor, Sektor Tanaman & Komoditi, Sektor Perikanan, Sektor Agropelancongan dan Sektor Veterinar. Selain itu, terdapat juga penglibatan daripada 14 usahawan industri asas tani (IAT).
Dalam menarik pengunjung untuk ke Pavilion Johor ini, KEJORA telah ditugaskan sebagai Jawatankuasa Tarikan Pengunjung. Pebagai demonstrasi, pertandingan, taklimat, kuiz dan permainan telah disediakan untuk pengunjung yang bakal mengunjungi Pavilion Johor. Selain itu juga, Anak Syarikat KEJORA iaitu KEJORA Agro Sdn Bhd juga menyertai #MAHA2022 di Dewan Agrobisness dalam mempromosikan perniagaan serta produk pertanian mereka.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah, Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor. Manakala Pengurus Besar KEJORA iaitu Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus juga telah hadir di perasmian ini.