SIMBOLIK SAMBUTAN BULAN RAMADAN 1446H | 2025

KOTA TINGGI, 28 Februari – Pengurusan KEJORA telah berbesar hati untuk menyumbang cenderahati berupa kurma kepada seluruh warga kerja KEJORA sempena menyambut kedatangan Bulan Ramadan 1446H/ 2025. Simbolik penyerahan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA sebagai tanda kemanisan dan kebersamaan meraikan bulan yang mulia ini.
Pengurusan KEJORA mendoakan semoga ibadah puasa pada tahun ini disambut dengan penuh rasa syukur dan diberkati olehNya.

MESYUARAT PENYELARASAN PPRS KKDW DENGAN AGENSI PELAKSANA

KOTA TINGGI, 27 Februari – KEJORA berbesar hati menerima kehadiran delegasi Mesyuarat Penyelarasan PPRS KKDW dengan Agensi Pelaksana yang diadakan di Bilik Mesyuarat Penawar, Ibu Pejabat KEJORA. Mesyuarat yang diurusetiakan oleh Bahagian Kesejahteraan Rakyat (BKR) KKDW turut melibatkan kehadiran semua Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dan Agensi yang berkaitan. Kehadiran delegasi ini telah diraikan dengan Majlis Makan Malam di Bayu Balau Beach Resort bersama Pengurusan KEJORA.

𝐊𝐄𝐌𝐄𝐑𝐈𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍𝐉𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐋𝐔𝐍𝐆𝐊𝐎𝐑 𝐂𝐇𝐀𝐋𝐋𝐄𝐍𝐆𝐄 𝟏.𝟎 @ 𝐓𝐀𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆 𝐒𝐔𝐑𝐀𝐓 𝐅𝐄𝐒𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟓

KOTA TINGGI, 16 Februari – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah berjaya buat julung kalinya menganjurkan Program Belungkor Challenge 1.0 bersempena penganjuran Tanjung Surat Fest 2025. Program ini telah menarik penyertaan seramai 330 orang yang menjadikan acara ini lebih meriah.
Program ini telah dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan seterusnya acara pelepasan peserta yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin , ADUN Tanjung Surat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dan Ahli Lembaga Pengarah KEJORA bersama-sama Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA dan Pengurusan KEJORA.
Majlis turut diserikan dengan acara cabutan bertuah kepada peserta yang berjaya menamatkan acara Belungkor Challenge (Walking, Hiking & Running) serta penyampaian hadiah pertandingan swafoto paling kreatif.
Program ini merupakan antara inisiatif KEJORA untuk mempromosikan produk pelancongan sukan dan rekreasi di daerah Kota Tinggi, Johor terutamanya di Tanjung Belungkor bersempena Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan dan memberi sokongan dalam penganjuran buat julung kalinya ini.
#BelungkorChallenge #TanjungSuratFest #TourismKEJORA #VisitJohor2026 #VisitMalaysia2026

KUNJUNGAN HORMAT JURUTERA DAERAH JKR KOTA TINGGI KE PEJABAT PENGURUS BESAR LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

KOTA TINGGI, 14 Februari – Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Ir. Md. Azizi bin Dahlan, Jurutera Daerah JKR Kota Tinggi sebagai perkenalan dan tanda sokongan dalam menjayakan projek-projek pembangunan KEJORA di Daerah Kota Tinggi. Semoga kerjasama dapat diperkukuh dengan lebih erat demi kesejahteraan masyarakat desa Kota Tinggi.
Tahniah diucapkan kepada Tuan Ir. Md. Azizi bin Dahlan, Jurutera Daerah JKR Kota Tinggi atas pelantikan ini.

SESI PENYERAHAN KUNCI PROGRAM PERUMAHAN RAKYAT SEJAHTERA (PPRS)

KLUANG, 12 Februari – KEJORA pada hari ini telah mengadakan Sesi Penyerahan Kunci kepada peserta Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Kampung Bentong, Kluang, Johor. Peserta telah menerima bantuan sebuah rumah jenis papan 3 bilik bertiang bagi menghadapi risiko banjir pada masa akan datang.
Majlis penyerahan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA dan disaksikan oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang, Johor. Majlis turut dihadiri oleh Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) dan pengurusan KEJORA.
Harapan KEJORA adalah peserta PPRS ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan selesa bersama keluarga pada hari-hari mendatang.

LAWATAN KERJA YB DATO’ HAJI MOHD JAFNI BIN MD SHUKOR, PENGERUSI JAWATANKUASA PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN KE PROJEK TAMAN PERMATA LAYANG, KLUANG, JOHOR

KLUANG, 05 Februari 2025 – Satu lawatan kerja oleh YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke Projek Taman Permata Layang, Kluang, Johor telah diadakan dengan jayanya. Projek Taman Permata Layang, Kluang ini merupakan projek perumahan kampung tersusun yang dilaksanakan oleh Anak Syarikat Milik KEJORA.
Lawatan kerja ini bertujuan untuk melihat perkembangan terkini projek yang sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor penyelamat untuk memastikan projek berjalan mengikut jadual dan dapat memberi manfaat kepada rakyat. Pengurusan KEJORA yang diketuai oleh Encik Mohd Hanafi Bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA telah hadir bagi menyambut delegasi ini.
Turut hadir dalam lawatan ini, Encik Mohd Fa’iz Bin Salehon, Yang Dipertua MDSR , YB Zaidi Bin Japar , Pengerusi KLDSB, Tuan Haji Abidullah Bin S.Ali, CEO KDHSB, serta Ketua-Ketua Jabatan dan wakil agensi berkaitan.

LAWATAN KERJA LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH (KETENGAH) KE PROJEK TANAMAN MENGKUANG KEJORA

KOTA TINGGI, 04 Februari – KEJORA pada hari ini telah menerima kehadiran delegasi dari KETENGAH yang diketuai oleh Yang Berusaha Encik Zainuddin bin Haji Md Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH. Kehadiran delegasi ini telah disambut oleh Yang Berusaha Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) bersama Pengurusan KEJORA. Lawatan ini adalah bertujuan untuk memahami kaedah pengurusan projek pembangunan tanaman mengkuang dan pengurusan mengkuang itu sendiri.
Delegasi ini turut dibawa melawat produk ikonik KEJORA iaitu Muzium Nelayan Tanjung Balau dan seterusnya ke Tapak Kajian Penanaman Mengkuang dan Pusat Pengumpulan dan Penghasilan Produk Kraftangan Berasaskan Mengkuang di Kampung Tuan Seh, Kota Tinggi.
Semoga lawatan ini dapat menjadi penanda aras dalam perkembangan industri kraf berasaskan mengkuang di kawasan luar bandar.

PERKASA KEMUDAHAN UNTUK KESELESAAN PENDUDUK

KOTA TINGGI, 28 Januari- Pengurusan KEJORA telah turun padang bagi melihat sendiri kerosakan kemudahan peribadatan surau dan masjid di kawasan Sedili termasuk di kawasan perkuburan di Kampung Sedili Kecil.
Lawatan tapak ini merupakan satu komitmen KEJORA ke arah penyediaan perkhidmatan berkualiti kepada penduduk luar bandar di wilayahnya bagi membolehkan aktiviti kemasyarakatan dan komuniti dapat diteruskan dengan rasa selesa dan selamat.
Turut hadir Yang Berhormat Tuan Muszaide bin Makmor, ADUN Kawasan Sedili, Pengerusi JPKK Kampung Simpang dan Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Sedili.

PULAU TANJUNG SURAT DESTINASI PILIHAN LAWATAN DELEGASI ASEAN TOURISM FORUM 2025

KOTA TINGGI, 18 Januari- Negeri Johor menjadi tuan rumah Lawatan Teknikal Menteri dan Delegasi daripada Negara- negara ASEAN dan Pulau Tanjung Surat menjadi destinasi lawatan ekopelancongan pilihan. Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor telah menerima kunjungan H.E Mr Huot Hak, Menteri Pelancongan Kemboja dan H.E. Mdm Darany Phommavongsa, Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos.
Lawatan ini yang merupakan sebahagian pengisian ASEAN Tourism Forum 2025 yang sedang berlangsung di Johor Bahru turut dihadiri oleh 49 orang delegasi dari seluruh negara ASEAN.
Delegasi ini telah disambut oleh YBhg Encik Razaidi Bin Abd Rahim, Timbalan Pengarah Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia, Bapak Sigit Suryanto Widiyanto, Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Kolonel (B) Mohd Jamal bin Salleh, Pengarah Urusan Southern Reed Sdn. Bhd. serta Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pelancongan KEJORA.
Pengurusan KEJORA amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi ke Pulau Tanjung Surat yang merupakan salah satu produk ekopelancongan KEJORA serta menjadi satu pengiktirafan kepada KEJORA dalam memperkenalkan produk pelancongan desa ke peringkat antarabangsa bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Johor Tahun 2026.
Semoga dengan penglibatan ini dapat memperkenalkan Pulau Tanjung Surat dengan lebih meluas dan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi setempat.

PROGRAM ORIENTASI ANGGOTA BAHARU KEJORA TAHUN 2025

KOTA TINGGI, 17 Januari- Program Orientasi Anggota Baharu KEJORA Tahun 2025 telah diadakan pada 15 Januari 2025 hingga 16 Januari 2025. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada anggota baharu mengenai peranan dan fungsi KEJORA agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Antara pengisian program ini adalah pelaksanaan sesi taklimat mengenai Perkhidmatan Awam, Peraturan-peraturan Kewangan dan juga Fungsi KEJORA. Selain itu, sesi lawatan juga turut diadakan bagi memberi pengalaman secara langsung tentang aktiviti dan program yang dijalankan oleh KEJORA.
Diharapkan program ini akan meningkatkan pemahaman tentang tugas dan peranan mereka dalam perkhidmatan awam seterusnya dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam pembangunan Wilayah KEJORA.