PROGRAM BINA INSAN (PBI) SIRI 1 – “INSAN BERPRESTASI TINGGI” DI BAWAH SKIM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN RAKYAT (SPKR) WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan Program Bina Insan (PBI) Siri 1 dengan tajuk “Insan Berprestasi Tinggi” di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Wilayah KEJORA pada 6 hingga 8 Oktober 2023 bertempat di Imperial Heritage, Melaka.
Seramai 50 orang peserta yang merupakan kumpulan sasar di dalam Wilayah KEJORA telah mengikuti program yang dilaksanakan.
Selaras dengan skop PBI Siri-1 ini, peserta dibekalkan dengan pelbagai teknik dan kemahiran termasuklah pengurusan perniagaan, kewangan, pemasaran terkini termasuklah pemasaran secara on-line serta teknik-teknik jualan dan lain-lain.
Program ini juga bertujuan untuk menyuntik semangat berdikari serta menyedarkan peserta kepada peluang- peluang perniagaan serta strategi – strategi yang berkesan dalam meningkatkan lagi hasil jualan dan keuntungan. Sekaligus menganjak paradigma komuniti luar bandar khususnya dalam Wilayah KEJORA agar mampu berdikari pada masa hadapan.
Semoga program yang dijalankan selama tiga hari ini dapat memberi manfaat kepada para peserta serta dapat menimba ilmu pengetahuan yang baharu.

PROGRAM OUTREACH PSIKOLOGI KEJORA TAHUN 2023

Program Outreach Psikologi KEJORA Tahun 2023 anjuran AKRAB KEJORA dengan kerjasama Cawangan Pengurusan Psikologi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah selesai dilaksanakan pada 10 Oktober 2023 (Selasa) bertempat di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Johor.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, Pn. Marlina binti Amir. Di dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pelbagai faktor yang menyumbang kepada penyakit mental, kemurungan, stres atau anxiety adalah kerana beberapa faktor antaranya tekanan dari sudut kewangan, persekitaran, keluarga, desakan rakan sebaya, tekanan tempat kerja dan lain-lain lagi.
Beliau menambah, terdapat pelbagai cara penyembuhan (healing) untuk mengembalikan ketenangan dan ianya bergantung kepada diri dan kemahuan masing-masing.
Untuk makluman, Program Outreach Psikologi merupakan program turun padang Cawangan Pengurusan Psikologi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada warga agensi di bawah kementerian KKDW yang bertujuan untuk mensejahterakan warga KKDW agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa serta bebas daripada tekanan diri dan kehidupan.
Satu sesi forum bertajuk Anxiety; kenali, fahami dan atasinya telah diadakan dengan penampilan panel iaitu Pn. Hjh. Edayu binti Mohd Yusof, Pegawai Psikologi/Kaunselor Berdaftar, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Puan Azrena Sahadon, Bahagian Psikologi, Hospital Daerah Kota Tinggi.
Pada hari, turut diadakan adalah pemeriksaan kesihatan oleh Lambaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor, Prudential BSN Takaful, Produk Kesihatan Mama Care, serta rawatan akuapuntur dari Pusat Terapi Fitrah Johor.
Turut hadir pada hari ini ialah, Pegawai Psikologi KKDW Norazizah Azizan, Pengerusi AKRAB KEJORA En. Mohd Hanafi bin Jantan, Pengurus Teknologi Maklumat Tn Hj Matriffin bin Md Amin, Pengurusan Kanan KEJORA serta anggota KEJORA.
“When dealing with people, remember you are not dealing with creatures of logic, but creatures of emotion”. – Dale Carnegie

PEMBUKAAN KAUNTER BERGERAK AGENSI BERSAMA KOMUNITI DAN HARI KEJORA BERSAMA PELANGGAN KEJORA.

3 Oktober 2023 (Selasa), Tanjung Sedili – Pada hari ini, Pusat Komuniti Desa (PKD) Tanjung Sedili telah mengadakan program Kaunter Bergerak Agensi Bersama Komuniti. Dalam program ini juga, pihak KEJORA telah mengadakan program Hari KEJORA Bersama Pelanggan yang bertujuan untuk memudahkan pelanggan berurusan secara terus dengan beberapa Bahagian dan Unit KEJORA tanpa perlu hadir ke Ibu Pejabat KEJORA.
Selain KEJORA, terdapat 3 agensi utama iaitu Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KEJORA telah bersama-sama membuka kaunter pertanyaan dan sebagainya bagi kemudahan penduduk di Tanjung Sedili.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT DAERAH KOTA TINGGI

Pada hari ini, KEJORA telah mengambil bahagian dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H Peringkat Daerah Kota Tinggi.
En. Mohd Ashek bin Hassan, Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia telah mengetuai kontinjen KEJORA seramai 40 orang yang terdiri daripada Pengurusan Kanan serta anggota KEJORA.
Turut hadir di dalam majlis ini adalah Puan Marlina Binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) mewakili Pengurus Besar KEJORA.
Dengan tema, Perpaduan Teras Maju Johor ianya juga menjadi aspirasi kepada kebersamaan di dalam perancangan serta pembangunan dalam Wilayah KEJORA.
Pada kali ini, kontinjen KEJORA telah memenangi tempat ke-3 bagi Kategori Sepanduk Terbaik.
Dalam masa yang sama, En. Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), telah mewakili KEJORA di Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Daerah Muar.
“Sesungguhnya Orang Yang Paling Dekat Denganku Pada Hari Kiamat Adalah Orang Yang Paling Banyak Berselawat Kepadaku” Al- Nasa’i & Ibnu Hibban.

LAWATAN DELEGASI KURSUS ANTARABANGSA RURAL TRANSFORMATION : MALAYSIAN EXPERIENCE FOR AFRICA-ASIAN RURAL DEVELOPMENT ORGANIZATION (AARDO) KE KEJORA

Seramai 20 orang delegasi yang terdiri daripada Pegawai-Pegawai Negara Anggota African-Asian Rural Development Organization (AARDO) telah mengikuti lawatan ke KEJORA pada 23 September 2023 sehingga 26 September 2023. Delegasi yang terlibat terdiri daripada 15 buah negara Asia dan Afrika di antaranya Bangladesh, Eswatini, Ghana, India, Jordan, Kenya, Libya, Mauritius, Namibia, Nigeria, Oman, Pakistan, Palestine, Sri Lanka dan Zambia.
Delegasi telah dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di dalam wilayah KEJORA bagi tujuan perkongsian ilmu dan pengalaman. Di antaranya adalah Teratak Penawar, Koperasi Wawasan Tuan Seh, Tanjung Sedili Kota Tinggi Berhad dan Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi, Johor.
Semoga lawatan yang dijalankan selama tiga hari ini dapat memberi manfaat kepada para delegasi serta dapat menimba ilmu pengetahuan yang baharu, dengan mencipta kenangan terindah sepanjang lawatan ini dijalankan.
Jutaan terima kasih kepada pihak KKDW dan INFRA kerana telah memilih agensi KEJORA sebagai salah satu tempat untuk dilawati oleh delegasi AARDO pada tahun ini.

KURSUS ASAS PEMBANGUNAN PRODUK DAN SERVIS (KAAPS) BERTEMPAT DI HOTEL TROVE, JOHOR BAHRU

Pada 27-29 Ogos 2023 (Ahad-Selasa), Unit Ekonomi dan Usahawan, KEJORA bersama-sama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)telah mengadakan Kursus Asas Pembangunan Produk & Servis (KAAPS) bertempat di Hotel Trove, Johor Bahru.
Kursus ini memberi kefahaman asas secara teori dan teknikal (step by step) kepada usahawan terhadap proses dalam pembangunan produk/servis sedia ada berdasarkan keperluan pasaran sebenar. Ia merangkumi 6 komponen utama iaitu Kajian Pasaran, Validasi Pasaran, Prototaip/sampel, pengeluaran, pengkomersialan dan kitar hayat produk. Seramai 30 usahawan diberikan bimbingan dengan pengetahuan, teknik dan strategi pembangunan perkhidmatan/produk secara komprehensif.Semoga para usahawan mendapat manfaat dan faedah daripada program ini seterusnya dapat meningkatkan lagi produktiviti dan hasil perniagaan
Tahniah dan syabas kepada semua usahawan. KEJORA. KEJORA Best!!!!!!

KEJORA GAH DI SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-66 PERINGKAT NEGERI JOHOR

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menyertai perbarisan sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-66 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Simpang Renggam, Kluang pada 31 Ogos 2023.
Perarakan pada tahun ini telah disertai seramai 118 kontinjen, merangkumi pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan beruniform dan institusi pendidikan di Johor.
Didalam ucapan YAB Menteri Besar Johor, beliau berpesan kepada seluruh Bangsa Johor, supaya sama-sama berganding bahu untuk memajukan Negeri Johor, selain tidak melupakan jasa dan pengorbanan pejuang tanah air dan generasi terdahulu, yang tidak gentar berjuang memerdekakan negara.
Selain itu juga, beliau menambah keharmonian, perpaduan, kerjasama, dan sifat saling hormat menghormati, perlu menjadi tunjang kepada keamanan negara, serta penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Di dalam perbarisan kali ini, Kontinjen KEJORA menampilkan pakaian kemeja batik dan baju kurung kebangsaan berwarna merah sebagai tema utama serta diketuai oleh En. Mohd Nazri bin Mohd Saman.
Turut hadir menyaksikan perarakan ini ialah, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani; Speaker Dewan Negeri Johor, YB Datuk Dr Haji Mohd Puad Zarkashi; Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap ADUN Benut, Dato’ Ir Haji Hasni Mohammad; Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan, Badan Berkanun dan Agensi.
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!

PROGRAM SEMPENA KEMERDEKAAN KE-66 @KEJORA TAHUN 2023

31 Ogos – Pada hari ini telah berlangsung Program Sempena Kemerdekaan Ke-66 @KEJORA 2023 di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Johor.
Perasmian penutup telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA. Didalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program yang dijalankan pada hari ini diadakan secara kolaborasi bersama agensi-agensi pelancongan di Bandar Penawar, Desaru serta Tanjung Balau. Prorgam yang dijalankan pada hari merangkumi 2 segmen utama itu Program Rampai Sari serta Treasure Hunt. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam program ini walaupun faham akan kekangan masa dan juga tugas yang lain.
Sebagai makluman, program Rampai Sari @Muzium Nelayan Tanjung Balau, telah mempertandingkan sebanyak 5 acara dengan 1 kelas Tarian Zapin. Acara yang dianjurkan melibatkan golongan remaja dan belia dalam perlbagai aktiviti sebagaimana berikut:-
i. Pertandingan Chapteh
ii. Pertandingan Sepak Raga
iii. Pertandingan Boling Kelapa
iv. Pertandingan Congkak
v. Pertandingan Batu Seremban
Manakala bagi kelas Tarian Zapin, Bahagian Pelancongan telah kerjasama daripada Yayasan Warisan Johor sebagai tenaga pengajar.
Seterusnya bagi Program KEJORA Treasure Hunt @ Merdeka 2023, acara ini dijalankan dengan kerjasama Puspanita Cawangan Kecil KEJORA (PCKK), KEJORA Hospitality & Services Sdn Bhd (KHSSB), Junglewalla, Desaru Fruit Farm (DFF), Majlis Perbandaran Pengerang dan juga Usahawan-usahan KEJORA yang berkenaan.
Pergerakan acara Treasure Hunt melibatkan 8 lokasi checkpoint seperti Kompleks Pelancongan Tanjung Balau, Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kampung Nelayan, Tg Balau, Junglewalla Desaru Coast, Desaru Fruit Farm, Teratak Penawar, Tasik Penawar dan Ibu Pejabat KEJORA.
Turut hadir adalah YBrs. En Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, En. Mohd Nazri bin Kasmen, Penghulu Tertinggi, Pejabat Daerah Kota Tinggi, wakil-wakil agensi Daerah Kota Tinggi, Pengurusan Kanan KEJORA dan ramai lagi.
Semoga dengan kemerdekaan ini, kita semua bersatu dalam memastikan kesepakatan serta perpaduan antara kaum terus dipelihara.
Salam Merdeka dari seluruh Warga KEJORA.
#PenerajuTerasKemakmuran

PENYERTAAN KEJORA DALAM ANUGERAH INOVASI PERKHIDMATAN AWAM KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH TAHUN 2023

KEJORA telah menghantar 3 penyertaan dalam AIPA KKDW Tahun 2023. Kumpulan GOLD (Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia) telah menyertai Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat KKDW Tahun 2023, Kumpulan PERDANA (Bahagian Perancang Bandar dan Desa) pula telah menyertai Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (Teknikal) dan Kumpulan WINNER (Bahagian Hartanah) telah menyertai Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) Pengurusan Madani.
Semoga KEJORA terus melakar kemenangan dan mencipta kejayaannya.

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BULAN OGOS DAN KIBARKAN JALUR GEMILANG LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

Bandar Penawar – Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos dan Kibarkan Jalur Gemilang Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah berlangsung pada 27 Ogos 2023 di Dewan KEJORA Bandar Penawar.
Majlis dimulakan dengan Ceramah Pengukuhan Integriti Siri 4/2023 yang bertajuk Kesedaran Bahaya Penyalahgunaan Dadah yang disampaikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Tinggi.
Seterusnya, Majlis Perhimpunan Bulanan KEJORA Bagi Bulan Ogos dimulakan dengan bacaan doa dan lafaz Ikrar Rukun Negara. Yang Berbahagia Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA telah menyampaikan amanat kepada semua yang hadir pada pagi ini.
Di dalam ucapannya, YBhg. Dato’ mengucapkan tahniah kepada semua Warga KEJORA diatas pencapaian mengadakan beberapa program yang besar seperti Program Belia Desa Madani @KKDW, Program Hawa Madani Wilayah KEJORA, Majlis Menandatangani MoU KEJORA Mardi dan sebagainya.
Majlis perhimpunan pada kali ini diserikan dengan kehadiran Ketua-Ketua dan Wakil JPKK dari 35 Kampung Wilayah KEJORA untuk menerima Jalur Gemilang dari KEJORA. Ini adalah selaras dengan pertandingan Semarak Kampungku Merdeka yang akan berjalan serentak dengan juara akan dinilai berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh Pengurusan KEJORA.
Memetik amanat YBhg. Tan Sri KSN, berkenaan pendekatan The G.R.E.A.T CIVIL SERVICE, beliau menekankan konsep GREAT iaitu, Tadbir Urus yang baik (Good Governance), Kepimpinan yang bertanggungjawab (Responsible), mempunyai empati atau Ihsan (Empathy), nilai kebertanggungjawaban (Accountable) dan fokus pada matlamat (Tenacity of Purpose). Untuk itu, semua Anggota KEJORA dinasihatkan untuk sama-sama meneliti dan memahami pendekatan ini.
Tahniah kepada semua yang hadir dan kibarkanlah Jalur Gemilang selaras dengan tagline sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-66 iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.