PELAWAAN PERMOHONAN SEWAAN KOMPLEKS HENTIAN PENAWAR SUNGAI CHEMARAN II, 81930 BANDAR PENAWAR, JOHOR.

SYARAT-SYARAT PERMOHONAN DAN BAYARAN-BAYARAN BERKAITAN

Syarat-syarat permohonan adalah sebagaimana berikut :

  1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas;
  2. Syarikat atau koperasi atau individu bertaraf Bumiputera;
  3. Berpengalaman menjalankan operasi perniagaan sekurang-kurangnya tiga (3) tahun;
  4. Pemohon sedang menjalankan perniagaan.

 

PERMOHONAN

  • Permohonan adalah perlu dikemukakan melalui Borang Permohonan Sewaan Premis yang boleh diperolehi secara secara percuma melalui kaedah berikut:
  • Memuat turun di laman web KEJORA : www.kejora.gov.my,

atau;

  • Mengisi borang permohonan secara atas talian melalui google form iaitu:

https://forms.gle/H9vy1kSkG49oW4Y97

  • Pemohon adalah dinasihatkan agar membuat semakan dan lawatan ke atas premis yang berkenaan sebelum mengemukakan permohonan.
  •  Dokumen-dokumen yang PERLU disertakan bersama Borang Permohonan Sewaan Premis adalah sebagaimana berikut:
  1. Salinan Kad Pengenalan
  2. Salinan Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ATAU Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
  3. Salinan Borang 9, Borang 24, Borang 44, Borang 49 DAN Salinan Sijil Saham (sekiranya berkaitan)
  4. Salinan Lesen Perniagaan (jika ada)
  5. Salinan Penyata Kewangan terkini ATAU Penyata Akaun Bank (3 bulan terakhir)
  6. Salinan sijil ATAU dokumen sokongan lain yang berkaitan (contoh Persijilan Halal, penyertaan kursus & lain-lain)
  7. Kertas cadangan perniagaan (Mandatori)

 

  • Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar kepada alamat berikut :

BAHAGIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI,

LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA,

BANGUNAN IBUPEJABAT KEJORA,

JALAN DATO’ HJ. HASSAN YUNUS,

81930 BANDAR PENAWAR,

JOHOR.

 

atau;

 

  • emelkan ke alamat emel berikut : kejora@kejora.gov.my.
  • Sekiranya pemohon gagal untuk mengemukakan dokumen-dokumen sepertimana di para 3.1 dan 3.3 diatas, maka permohonan tersebut adalah dianggap tidak lengkap dan TERBATAL serta tidak akan diproses.
  • Tarikh tutup permohonan adalah pada 13 JUN 2023 (SELASA) sebelum jam 5.00 petang. Borang yang diterima selepas daripada tempoh tersebut tidak akan diterima dan diproses.
  • Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani, KEJORA di talian 07-8843000 atau 07-8843156. 

IKLAN SEMULA KOMPLEKS HENTIAN PENAWAR 2023 (FINAL) Borang Permohonan HENTIAN PENAWAR 2023(FINAL)

PROGRAM MASIH ADA YANG SAYANG TAHUN 2023

KEJORA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Tinggi serta sembilan (9) buah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Wilayah KEJORA telah melaksanakan Program Masih Ada Yang Sayang Tahun 2023 pada 11 dan 12 Mei 2023 di Kuala Lumpur. Program ini disertai seramai 120 orang yang terdiri daripada penyelia dan pelatih dikalangan orang kurang upaya dan autisme.
Antara pengisian program ini adalah lawatan ke beberapa tempat seperti Petrosains Negara dan Aquaria KLCC. Program ini bertujuan untuk memastikan kumpulan sasar memperoleh peningkatan pengetahuan dan motivasi, kesedaran, proses tambah baik dan nilai kualiti serta pembangunan sikap dan tingkah laku.
Selain itu juga ianya dijadikan sebagai landasan untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada pelatih-pelatih serta meransang pelatih untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan persekitaran mereka yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara petugas di PDK.
Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam program yang murni ini.

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2022 DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI KEJORA

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KEJORA telah diadakan pada 14 Mei 2022 (Ahad) bertempat di Hotel Four Points by Sheraton Desaru.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA. Di dalam ucapannya, YB Tan Sri Dato’ Dr mengucapkan terima kasih diatas kepercayaan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang melantik beliau dalam menerajui KEJORA.
Beliau menambah dan mengingatkan bahawa, Warga KEJORA bukan hanya perlu menyiapkan kerja tetapi perlulah bekerja dalam memberi manfaat kepada setiap sen/peruntukan yang dikeluarkan demi anak bangsa, kejora serta agama di dalam Wilayah KEJORA.
Seramai 24 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2022, 4 orang Pesara serta 4 orang anggota KEJORA yang telah berkhidmat selama 30 & 40 tahun telah menerima sijil Dari YB Tan Sri Dato’ Dr Pengerusi KEJORA.
Bersempena dengan Bulan Syawal yang mulia, KEJORA turut menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1444H.
Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Ashari bin Kasnan, Pengarah Tanah & Galian Johor, yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina Binti Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi, YDP Majlis Perbandaran Pengerang, YDP Majlis Daerah Kota Tinggi, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi serta Pengurusan Kanan KEJORA.
Tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah dan diharapkan agar budaya kecemerlangan ini berterusan dan akan dapat membantu KEJORA untuk mencapai hasrat dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih relevan, berinovasi, produktif dan berkeupayaan dalam menjunjung amanah bagi meningkatkan kecemerlangan KEJORA.
#PenerajuTerasKemakmuran

MAJLIS PERASMIAN SUKAN KELAB ANGGOTA KEJORA (SUKAK) 2023

7 Mei 2023, Bandar Penawar – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Sukan Kelab Anggota Kejora (SUKAK2023) di Stadium Penawar, Bandar Penawar, Johor.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus yang juga merupakan Penasihat Kelab. Di dalam ucapan perasmiannya, YBhg Dato’ mengingatkan kepada semua anggota KEJORA agar sama-sama menjaga kesihatan dan mengelakkan kecederaan. Disamping itu, SUKAK 2023 juga merupakan salah satu kaedah kepada Pengurusan KEJORA melihat dan mencungkil bakat untuk anggota KEJORA ke Kejohanan MAKSPEN serta kejohanan-kejohanan lain yang berkaitan.
SUKAK 2023 menampilkan 14 acara dengan kesemua anggota KEJORA termasuk anggota anak syarikat KEJORA dibahagikan kepada 4 rumah iaitu Merah Si Kala Jengking, Tebuan Hijau, Serigala Biru dan Kuning Si Helang.
Disamping itu juga, turut diadakan pada pagi ini ialah perlawanan Bola Sepak dan Bola Jaring disamping senaman ringan sebelum memulakan permainan.
Selamat berjuang kepada semua yang bertanding.
“Pemenang adalah dia yang mampu berdiri ketika jatuh dan masih tetap bertahan ketika yang lain menyerah”
#PenerajuTerasKemakmuran

PRA-PELANCARAN SUKAK 2023 & MESYUARAT KELAB ANGGOTA KEJORA KALI KE 18

Majlis Pra-Pelancaran Sukan Kelab Anggota Kejora (SUKAK2023) & Mesyuarat Kelab Anggota KEJORA (KAK) kali ke-18 telah berlangsung pada hari ini, 17 April 2023 (Isnin) di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus. Di dalam ucapannya, YBhg. Dato’ mengingatkan bahawa, AJK yang dilantik hendaklah menjalankan amanah dengan dedikasi serta menguruskan peruntukan secara berhemah.
Selain itu, SUKAK2023 yang dilancarkan pada hari ini juga adalah medan mencari bakat baru dalam persediaan memasuki beberapa kejohanan yang akan datang.
Pada mesyuarat kali ini juga, AJK Kelab Anggota Kejora (KAK) telah membentangkan bajet serta aktiviti setiap biro untuk dimuktamadkan.
Disamping itu, Kelab Anggota Kejora turut mengedarkan kuih raya kepada semua anggota KEJORA.
Selamat Hari Raya Dari Kelab Anggota KEJORA.

MAJLIS BERBUKA PUASA JPKK, PERTUBUHAN & ANAK YATIM SERTA SUMBANGAN AIDILFITRI ANAK YATIM WILAYAH KEJORA TAHUN 2023/1444H

16 April 2023, Punggai – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa JPKK, Pertubuhan & Anak Yatim Serta Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Wilayah KEJORA Tahun 2023/1444H di Amerald Resort Hotel, Punggai, Kota Tinggi, Johor.
Majlis pada hari ini telah diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus serta Pengurusan KEJORA. Di dalam ucapannya, YBhg. Dato’ menyatakan bahawa pada tahun ini seramai hampir 771 anak yatim Wilayah KEJORA akan menerima sumbangan duit raya dari Yayasan Kebajikan Anak Yatim Al-Husna Wilayah Johor Tenggara. Jumlah ini meliputi keseluruhannya berjumlah RM154,200.00.
Turut hadir adalah Pengerusi Yayasan Kebajikan Anak Yatim Al-Husna Wilayah Johor Tenggara, Tn. Hj. Hamzah bin Hj. Isa, Penghulu-penghulu Mukim Daerah Kota Tinggi & Kluang, Wakil Agensi Wilayah KEJORA, Pengerusi JPKK Wilayah KEJORA, wakil-wakil Pertubuhan serta anak- anak yatim Wilayah KEJORA.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
Sebagai ingatkan kepada semua di dalam Surah Al-Isra’ ayat 26 dan 27 menyatakan “kerana sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”. Hendaklah kita bersederhana dalam apa jua keadaan termasuk Hari Raya yang bakal menjelma.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA KELAB ANGGOTA KEJORA

Majlis Khatam Al-Quran & Berbuka Puasa Kelab Anggota KEJORA (KAK) telah berlangsung pada 13 April 2023 (Khamis) di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Johor.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus serta pengurusan kanan KEJORA.
Menariknya kali ini, sajian berbuka puasa dimasak sendiri oleh anggota KEJORA dan dijamu kepada semua keluarga KEJORA.
Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis pada kali ini.

KURSUS JANGKA MASA PENDEK KEPADA SEMUA PENDUDUK DI WILAYAH KEJORA

REBUT PELUANG‼️
Pihak KEJORA akan menganjurkan kursus jangka masa pendek kepada semua penduduk di wilayah KEJORA. Kursus ini adalah dibawah Program Kemahiran Belia Luar Bandar Wilayah KEJORA (KEMBARA) TAHUN 2023.
Terdapat empat (4) program akan dilaksanakan oleh KEJORA pada tahun ini iaitu :
1. KURSUS URUTAN TRADISIONAL & BEKAM : 3 HARI
2. KURSUS PEMASANGAN JUBIN TILE & EPOXY : 10 HARI
3. KURSUS PENDAWAIAN ELEKTRIK & PENDINGIN HAWA : 20 HARI
4. KURSUS DANDANAN RAMBUT LELAKI & WANITA : 7 HARI
SYARAT PERMOHONAN:
1. Terbuka kepada Warganegara Malaysia berumur 18 – 65 tahun.
2. Di kategorikan B40 ke bawah.
3. Sihat tubuh badan
4. Boleh membaca, menulis dan mengira
5. Bebas daripada pengaruh dadah dan alcohol
6. Tumpuan utama kepada peserta yang belum pernah mengikuti latihan kemahiran di mana-mana institusi latihan dan masih belum mendapat pekerjaan.
Borang pendaftaran boleh dimuat turun dengan melayari pautan
atau imbas kod QR yang disediakan.
Sebarang pertanyaan sila hubungi:
Encik Amir Hafizal – 07 884 3086
Cik Norniza – 07 884 3085
DAFTAR SEGERA‼️!

KURSUS PEMBUATAN GUBAHAN HAMPER DAN DEKORASI REBEN SIRI 2

Di dalam meningkatkan lagi kemahiran usahawan dalam wilayah KEJORA, satu Kursus Pembuatan Gubahan Hamper dan Dekorasi Reben Kursus Siri 2 ini telah diadakan pada 6-8 April 2023 bertempat di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. Kursus ini telah berjaya dihadiri seramai 20 orang peserta.
Kursus ini merupakan program lanjutan daripada siri pertama yang telah diadakan pada 26-28 Ogos 2022 . Ia merupakan salah satu inisiatif KEJORA untuk memperkasakan para usahawan dalam membina kerjaya di dalam bidang perniagaan gubahan hamper dan dekorasi reben. KEJORA juga telah melantik Tetuan Qu Studio untuk mengendalikan kursus tersebut. Di dalam kursus ini para peserta diajar dan diberikan pendedahan tentang teknik kemahiran dalam menyediakan ‘Fresh Flower Bouquet’, ‘Hot Air Balloon’ dan ‘Opening Ceremony Decoration’ dengan menggunakan gubahan mengikut trend terkini yang mampu menjana pendapatan usahawan. Para usahawan amat gembira dan berpuashati dengan kursus yang dianjurkan ini kerana banyak memberi manfaat kepada mereka khususnya dalam meningkatkan produk perniagaan dan ianya menawarkan perkhidmatan baharu kepada pelanggan sekitar khususnya di kawasan desa.
Kursus ini diakhiri dengan upacara ucapan perasmian dan penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disempurnakan oleh En. Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA. Diharapkan selepas kursus ini, peserta sudah boleh mengambil tempahan hamper hari raya, ‘surprise delivery’ untuk majlis hari lahir, hantaran pertunangan, perkahwinan melalui gubahan bunga, coklat dan lain-lain lagi.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta.

PROGRAM BAKUL RAHMAH RAMADAN KAREEM 1444H/2023M DI IBU PEJABAT KEJORA, BANDAR PENAWAR

Jawatankuasa Lawatan dan Kebajikan melalui PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA telah mengadakan Program Bakul Rahmah Ramadan Kareem. Selain merapatkan jalinan ukhwah di antara anggota KEJORA dengan suri rumah PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA, program ini juga menyatuni komuniti setempat dengan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 50 orang penerima yang telah disempurnakan oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengerusi 1, PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA.