IKLAN PERMOHONAN PENGENDALIAN KAFETERIA LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

Pengusaha-pengusaha kafeteria yang berminat adalah dipelawa untuk mengemukakan permohonan untuk mengendalikan kafeteria Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, di Bangunan Ibu Pejabat KEJORA, Jalan Dato’ Haji Hassan Yunus, 81930 Bandar Penawar, Johor.

SYARAT-SYARAT
1. Pemohon hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.
2. Makanan yang disediakan hendaklah berjenis HALAL.
3. Pekerja-pekerja kafeteria hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.
4. Pekerja-pekerja kafeteria hendaklah diberi pemeriksaan perubatan dan disahkan sesuai untuk mengendalikan makanan dan minuman. Perbelanjaan untuk pemeriksaan perubatan ini akan ditanggung oleh pengusaha kafeteria yang berjaya. Butir-Butir pekerja-pekerja hendaklah diberikan kepada Biro Ekonomi Kelab Anggota KEJORA (KAK).
5. Tempoh sewaan adalah selama SATU (1) tahun dan dengan opsyen melanjutkan tempoh sewaan selamat SATU (1) tahun.
6. Deposit sebanyak RM 300.00 sebagai cagaran kafeteria hendaklah dibayar oleh pengusaha kafeteria yang berjaya sebelum memulakan perniagaan.
7. Pengusaha kafeteria yang berjaya adalah bertanggungjawab untuk memperolehi lesen-lesen yang diwajibkan oleh Majlis Perbandaran Pengerang, Kementerian Kesihatan atau pihak-pihak lain.
8. Kegagalan mematuhi mana-mana syarat tersebut di atas mungkin menyebabkan tawaran pengendalian kafeteria ditarik balik.
9. Pengusaha kafeteria yang berjaya dikehendaki menyediakan alatalat bersesuaian yang diperlukan.
10. Pengusaha dikehendaki menyertakan salinan sijil-sijil berkaitan pengusahaan makanan.
11. Pengusaha yang berjaya dikehendaki menandatangani perjanjian dengan KAK dan membayar duti setem perjanjian tersebut.
12. Waktu perniagaan yang dicadangkan adalah sepertimana berikut:
Ahad – Rabu 7.00 pagi – 4.30 petang
Khamis 7.00 pagi – 2.00 petang
13. Sila lengkapkan LAMPIRAN A dan LAMPIRAN B yang dikepil dan hantarkan kepada alamat dibawah selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari 30 Mac 2023:
 BIRO EKONOMI
                                                                                                                         KELAB ANGGOTA KEJORA
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
Bangunan Ibu Pejabat KEJORA,
Jalan Dato’ Haji Hassan Yunus,
81930 Bandar Penawar,
Johor

IKLAN PELAWAAN KAFE KEJORA

BENGKEL SISTEM PENGURUSAN KUALITI (SPK) MS ISO 9001:2015 – MODUL ANALISA RISIKO

Seramai 44 orang anggota termasuk Pengurusan KEJORA telah mengikuti Bengkel Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 – Modul Analisa Risiko yang telah diadakan pada 13 hingga 15 Februari 2023 bertempat di Hotel Four Points By Sheraton, Desaru dengan kerjasama penceramah dari Syarikat HG Skills Enterprise yang disampaikan oleh Puan Hanidah binti Ghazali.
Bengkel ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman, pengetahuan, peningkatan dan penambahbaikan ilmu mengenai MS ISO 9001:2015- Modul Analisa Risiko di KEJORA kepada setiap anggota.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua anggota KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan jayanya.

BENGKEL PENGURUSAN REKOD RASMI KERAJAAN

Bermula dari 12 hingga 14 Februari 2023, seramai 36 orang anggota KEJORA telah mengikuti Bengkel Pengurusan Rekod Rasmi Kerajaan yang telah diadakan di Hotel Amansari, Bandar Penawar. Bengkel dengan kerjasama penceramah dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah disampaikan oleh Pegawai Arkib, Encik Mohamad Faiz bin Ismail, Pegawai Arkib.
Bengkel ini dilaksanakan dengan tujuan memberi pendedahan dan memahami asas-asas pengurusan rekod di Pejabat Awam dan secara tidak langsung membantu anggota KEJORA mendapat ilmu baharu berkaitan pengurusan rekod dan klasifikasi fail.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua anggota KEJORA yang telah menjayakan bengkel/kursus ini dengan penuh dedikasi.

TAKLIMAT KESEDARAN PERLAKSANAAN PENGGUNAAN PROJEK SISTEM DIGITAL DOCUMENTATION MANAGEMENT SYSTEM (DDMS)

Pengurusan KEJORA yang diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Puan Marlina binti Amir telah mengikuti Taklimat Kesedaran Perlaksanaan Penggunaan Projek Sistem Digital Documentation Management System (DDMS) pada 13 Februari 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Balau. Taklimat dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah disampaikan oleh Pegawai Arkib, Encik Mohamad Faiz bin Ismail.
Taklimat ini dilaksanakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada pihak pengurusan KEJORA berkaitan tentang DDMS dan secara tidak langsung membantu KEJORA memahami konsep baharu berkaitan pengurusan rekod dan klasifikasi fail menggunakan DDMS.
DDMS adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi projek di bawah Entry Points Projects (EPP) eGovernment iaitu Pelaksanaan Kerajaan Tanpa Kertas (Paperless Government). Projek ini dilaksanakan secara berperingkat di seluruh sektor awam bermula tahun 2013. Ia diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan dan capaian rekod serta ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui penggunaan teknologi ICT.
Selain itu, DDMS juga adalah sistem pengurusan rekod yang menguruskan rekod rasmi kerajaan bagi keseluruhan kitaran hayatnya iaitu daripada proses pewujudan, penawanan, penyimpanan, penyelenggaraan, pengedaran dan pelupusan rekod sistematik secara digital. Sistem DDMS ini diperkenalkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dengan tujuan mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod digital (elektronik) any where, any time and any device.
Di dalam ucapan aluan oleh Puan Marlina binti Amir, beliau berbesar hati agar sistem DDMS di KEJORA dapat dilaksanakan pada tahun ini dan mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pihak KKDW terutama dari Pegawai Arkib KKDW.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan taklimat ini dengan penuh dedikasi.

BENGKEL PERMUKIMAN HALATUJU PELAKSANAAN PROJEK/ PROGRAM PEMBANGUNAN KEJORA TAHUN 2023

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah mengadakan Bengkel Pemukiman Halatuju Perlaksanaan Projek/Program Pembangunan KEJORA Tahun 2023 di Hatten Hotel, Melaka Bandaraya Bersejarah dari 29 hingga 31 Januari 2023.
Bengkel yang dirasmikan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus turut dihadiri oleh Pengurusan Kanan, Pengurus-Pengurus Bahagian, Ketua-Ketua Unit serta pegawai projek dari setiap bahagian.
Di dalam ucapan perasmian dan pembukaan, Pengurus Besar telah memaklumkan bahawa bengkel ini adalah bertujuan untuk membincangkan perancangan dan pelaksanaan setiap projek/ program pembangunan tahun 2023 bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dan pencapaian prestasi yang cemerlang. Sebagai rekod, peruntukan yang diluluskan bagi tahun 2022 berjumlah RM37.6juta manakala sebanyak RM4.6juta telah dikenakan sekatan yang menjadikan peruntukan dipinda berjumlah RM33.0 juta.
Beliau menyambung, jumlah keseluruhan projek bagi tahun 2022 adalah sebanyak 19 projek meliputi 16 projek fizikal dan 3 projek bukan fizikal. Prestasi perbelanjaan KEJORA sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 97.58% dengan perbelanjaan komited terkini sebanyak RM32.20juta.
Untuk tahun 2023 ini, Pengurusan KEJORA telah meletakkan sasaran 100% perbelanjaan dan berharap agar semua anggota KEJORA mengambil tugas dan tanggungjawab dalam merealisasikan sasaran perbelanjaan ini.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam membantu membangunkan Luar Bandar di Wilayah Johor Tenggara sama ada secara langsung atau tidak langsung.

PEMBERIAN CENDERAHATI KEPADA PENYUMBANG BAHAN BAGI PENERBITAN BUKU COFFEE TABLE KEJORA

2 Februari 2023 – Sesi pemberian cenderahati untuk penyumbang bahan bagi penerbitan buku Coffee Table KEJORA sempena Sambutan Jubli Emas KEJORA kepada Mantan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Tn. Hj. Samsudin bin Hassan dan Mantan Pembantu Tadbir, Encik Jaafar bin Abdullah
Cenderahati penghargaan telah disampaikan oleh Ketua Unit Audit Dalam, En. Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir. Turut hadir adalah En. Mohamad Azli Shafii bin Mohd Raub, Pn. Fatin Nabila binti Mohamed serta Pn. Zulaiha binti Abd Kadir dari Unit Audit Dalam KEJORA.
Terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

MAJLIS PERSARAAN ANGGOTA KEJORA

Khamis, 2 Februari 2023 – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Persaraan Anggota KEJORA di Lobi Utama, Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pn. Marlina binti Amir yang turut dihadiri oleh Pengurusan Kanan KEJORA, Pengurusan KEJORA serta Anggota KEJORA.
Majlis pada pagi ini adalah untuk meraikan persaraan En. Md Norazman bin Saad dan En. Sumeri bin Sahari yang merupakan Pemandu Kenderaan di Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia.
En. Norazman bin Saad telah mula berkhidmat di KEJORA pada 2 April 1983 sebagai Buruh Am, kemudian telah dinaikan pangkat sebagai Pemandu Kenderaan pada 2 Jun 1993. Manakala pada 21 Disember 2015 beliau telah dinaikan pangkat Pemandu Kenderaan Gred H14 dan akan bersara bersara wajib pada 03 Februari 2023 setelah berkhidmat selama 40 tahun.
Encik Sumeri bin Sahari telah mula berkhidmat di KEJORA pada 16 Disember 1987 sebagai Pekerja Am, kemudian telah dinaikan pangkat sebagai Pemandu Kenderaan pada 1 Ogos 2007 seterusnya dinaikan pangkat Ke Pemandu Kenderaan Gred H14 pada 1 Ogos 2019. Beliau akan bersara bersara wajib pada 20 Mac 2023 setelah berkhidmat selama 36 tahun.
Di dalam ucapan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) yang mewakili pengurusan KEJORA serta warga KEJORA, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas jasa bakti pesara serta mendoakan agar pesara ini diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan serta terus menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat akan sebarang aktiviti dan perkembangan KEJORA.
Berdayung Sampan ke Tanah Semenanjung
Hendak Memberi Tikar Rotan
Budi Dikenang Bakti Disanjung
Kekal Subur Dalam Ingatan

BAZAR KOMUNITI JORAK PANCHOR TAHUN 2023

27 HINGGA 28 JANUARI 2023 | JORAK PANCHOR, MUAR | 7.30 PAGI HINGGA 11.00 MALAM
KEJORA melalui Unit Ekonomi & Usahawan (UEU) telah mengadakan program Bazar Komuniti Jorak Panchor bermula pada 27 hingga 28 Januari 2023 di Panchor, Muar, Johor bersempena dengan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung atau lebih dikenali sebagai PROSPEK.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muar, Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Kiyai Haji Shamsudin. Dalam ucapannya beliau menyatakan hasrat bahawa, penduduk di Mukim Jorak Panchor Muar hendaklah mengambil peluang dan ruang dengan kebaradaan dan pembangunan Hub Pendidikan dengan memastikan anak-anak diberikan pendidikan yang sewajarnya. Selain itu juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang telah membantu membangunkan ekonomi penduduk kampung Mukim Jorak Panchor dengan memberi kelulusan program PROSPEK melalui KEJORA.
Antara program/aktiviti yang dijalankan sepanjang 2 hari ini termasuklah ‘Telematch’ persahabatan perlawanan bola sepak dan batu seremban di antara agensi dan jabatan di Pagoh termasuk KEJORA menentang pilihan Mukim Jorak Panchor. Manakala di sebelah pagi telah diadakan acara ‘Fun Ride’, mewarna kanak-kanak, pertandingan dam aji, pertandingan PUBG, taklimat & pembelajaran batik ‘Tie & Dye’ bersama jahitan kreatif.
Selain itu juga, turut diadakan adalah pertandingan memasak daging arnab yang mana ternakan arnab adalah merupakan ternakan yang diusahakan di dalam program PROSPEK Mukim Panchor. Turut diadakan adalah pelbagai jualan seperti Nasi Lemak Bungkus Bakar, Satay Arnab, minuman dan makanan disamping pelbagai jualan hasil dari usahawan Mukim Jorak Panchor.
Turut hadir di dalam majlis perasmian adalah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, En. Daud bin Abd Rahman, Wakil Majlis Perbandaran Muar, En. Mohd Hairul Hafiz bin Ismail, wakil gensi dan jabatan di kawasan Pagoh, Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Muar, Pengurusan KEJORA serta penduduk kampung.
Pada malam perasmian juga telah diadakan majlis cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah berupa barangan elektrik dan pelbagai hadiah sampingan
Tahniah kepada semua peserta PROSPEK Jorak Panchor. Semoga usaha ini dapat membantu usahawan dan koperasi serta peserta PROSPEK Jorak Panchor dalam mempromosikan jualan mereka serta mendapat pendedahan mengenai program serta kerjasama yang boleh dibuat bagi meningkatkan jualan usahawan.

#PenerajuTerasKemakmuran

MAJLIS APRESIASI SK BANDAR PENAWAR

28 Januari 2023 – Bandar Penawar – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Apresiasi Tahun 6 2022/2023 di Dewan KEJORA.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus.. Turut hadir adalah Guru Besar SKBP, Tuan Haji
Kamaruddin bin Asraf dan YDP PIBG SKBP En. Mohd Juisyani bin Mohd Isa, serta ibu bapa murid-murid tahun 6.
Program ini dilaksanakan adalah bagi meraikan pelajar-pelajar Tahun 6 iaitu seramai 117 orang yang akan menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah.
Tahniah diucapkan kepada murid Tahun 6 SKBP. Seluruh Warga KEJORA mengucapkan tahniah dan teruskan pembelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Tuntutlah ilmu, walaupun ianya sebesar zarah, kerana tanpa ilmu, hidup ini akan menjadi sia-sia”

KUNJUNGAN PRIHATIN KEJORA KE ATAS MANGSA BANJIR WILAYAH KEJORA

26 Januari 2023 (Khamis), Kota Tinggi – KEJORA pada hari ini telah menyerahkan sumbangan sebanyak 38 Kit Bantuan Banjir di dalam Wilayah KEJORA yang merangkumi Daerah Kota Tinggi.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, En. Mohamad Azrul bin Hj Shari telah mewakili Pengurusan KEJORA untuk menyerahkan Kit Bantuan Banjir kepada:-
1. 13 keluarga dari Kg. Semanggar Dalam/Luar – PPS Sek. Keb. Semanggar, Kg. Semanggar
2. 25 keluarga dari Kg Gembut, Sedili – PPS Dewan Sek Keb Kg. Gembut, Sedili
Selain itu, Penggerak KEJORA juga turut hadir bersama-sama mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini dan membantu melancarkan proses agihan ini.
Ahli Lembaga Pengarah, pihak Pengurusan serta seluruh anggota KEJORA mendoakan agar urusan semua mangsa banjir ini dipermudahkan oleh-Nya. Semoga semua mangsa dan keluarga juga terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.