KEJOHANAN KEJORA MTB JAMBOREE @ TANJUNG BALAU 2023

Pada 28 Oktober 2023 telah berlangsung Kejohanan KEJORA MTB Jamboree @ Tanjung Balau 2023 di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Dengan penyertaan hampir 400 peserta, kejohanan kali ini dipecahkan kepada 5 kategori dengan penyertaan dari Semenanjung Malaysia termasuk dari Singapura.
Manakala perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Penawar, YB Puan Fauziah binti Misri. Di dalam ucapannya, beliau percaya, KEJORA mampu untuk membangunkan dan mempromosikan sukan luar bandar sebagai salah satu platform pembangunan bukan sahaja di peringkat akar umbi malah ke peringkat yang lebih tinggi.
Kesemua peserta pada hari ini telah menghabiskan laluan sepanjang lebihkurang 35km bermula dengan laluan kebun getah, kebun kelapa sawit, jalanraya, pantai terbuka sebelum mengakhiri laluan di laluan XCO Tanjung Balau.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) menjalankan tugas Pengurus Besar, En. Daud bin Abd. Rahman, Wakil YDP Majlis Perbandaran Pengerang, Tn. Hj. Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Wakil Lembaga Getah Malaysia (Bandar Penawar), Wakil Desaru Coast, Pengurusan Kanan KEJORA serta wakil-wakil jabatan dalam Daerah Kota Tinggi.
KEJORA mengucapkan terima kasih kepada agensi KKDW iaitu KETENGAH yang turut sama menjayakan kejohanan ini. Selain itu juga, sekalung penghargaan terima kasih diucapkan kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Desaru Coast, SAJ dan semua yang terlibat dalam penganjuran kejohanan KEJORA MTB Jamboree @ Tanjung Balau 2023.
Peribahasa melayu mengatakan; Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Maknanya, tiap-tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan.
Don’t be afraid to fail, but, be afraid not to try.

MAJLIS PERSARAAN ANGGOTA KEJORA

Majlis Persaraan Anggota KEJORA telah berlangsung pada hari ini di Lobi Utama, Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis pada pagi ini adalah untuk meraikan persaraan En. Sharif bin Hashim yang merupakan Pemandu Kenderaan di Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia. Beliau telah mula berkhidmat di KEJORA pada 5 Disember 1987 sebagai pemandu kenderaan selama 35 tahun dan bersara secara pilihan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar KEJORA, En Daud Bin Abdul Rahman. Didalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada En. Sharif bin Hashim atas komitmen, dedikasi, pengorbanan serta kesetiaan sepanjang berkhidmat di KEJORA. Sifat-sifat terpuji ini sememangnya amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, kelancaran program-program pembangunan ke arah peningkatan taraf hidup rakyat.
Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Pengurus Bear (Pengurusan), Pn. Marlina binti amir, Pengurus Bahagian dan Ketua-Ketua Unit, Pegawai-pegawai Kanan serta Anggota KEJORA.
Terima kasih KEJORA ucapkan kepada En. Sharif bin Hashim atas komitmen dan kesungguhan selama 35 tahun di KJEORA. Semoga tuan diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan serta terus menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat akan sebarang aktiviti dan perkembangan KEJORA.
Ampun dan maaf kami pinta
Andai pernah mengusik rasa
Jenguklah kami sekali sekala
Andai rindu datang menjelma

KEJOHANAN SUKAN MAKSPEN KE-14 PUTRAJAYA 2023

Foto Majlis Penutup & Penyampaian Hadiah Kemenangan bagi Kejohanan Sukan Makspen Ke-14 Putrajaya 2023 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW)
Didalam ucapan perasmian penutup, YAB Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri KKDW menyarankan untuk Sukan Makspen Ke-15 diadakan pada tahun 2024.
Tahniah RISDA yang dinobatkan sebagai JUARA keseluruhan Kejohanan MAKSPEN XIV Putrajaya 2023
Tahniah juga diucapkan kepada 13 lagi kontinjen KKDW, Agensi dan Agensi Rangkaian yang bertanding pada kejohanan kali ini atas saingan yang diberikan!!!
🗓️ 19 hingga 22 Oktober 2023
📍 Putrajaya dan sekitarnya
Semoga berjumpa di Makspen Ke-15 @KESEDAR

PENCAPAIAN KONTINJEN KEJORA KEJOHANAN SUKAN MAKSPEN XIV@PUTRAJAYA 2023

Alhamdulillah Kontinjen KEJORA telah menamatkan Kejohanan Sukan Makspen ke-14 Putrajaya 2023 dengan meraih 2 gangsa.
Kejayaan menyertai Sukan Makspen ke-14 Putrajaya 2023 ini hadir menerusi persiapan rapi dan kerja keras barisan jawatankuasa induk KEJORA, barisan pengurusan & kejurulatihan, anggota KEJORA yang juga atlet KEJORA serta sokongan dari keluarga KEJORA.
Pencapaian Keseluruhan Kontinjen KEJORA di Kejohanan Sukan Makspen ke-14 Putrajaya 2023
1. Mobile Legend = Tempat ke-4
2. Batu Seremban = Tempat ke-4
3. Congkak = Berakhir di Peringkat Kumpulan
4. Karom = Tempat ke-4
5. Bola Tampar = Berakhir di Peringkat Suku Akhir
6. Boling Wanita = Tempat ke-7
7. Boling Lelaki = Tempat ke-11
8. Bola Sepak = Tempat Ke-3
9. Badminton = Berakhir di Peringkat Kumpulan
10. Sepak Takraw = Tempat ke-3
11. Bola Jaring = Berakhir di Peringkat Kumpulan
12. Dart = Berakhir di Peringkat Kumpulan
13. Merentas Desa = Tempat ke-8
14. Golf = Tempat ke-7
Kita jumpa semula di MAKSPEN ke-15
Tahniah semua ! Ayuh KEJORA!!!

PERASMIAN MAKSPEN KE-14 PUTRAJAYA 2023

Majlis Sambutan Hari Sukan Negara KKDW dan Perasmian Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV Putrajaya Tahun 2023 telah diadakan pada malam ini bertempat di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Majlis perasmian ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Hjh Rubiah binti Hj Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah. Didalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa, kalah dan menang adalah adat pertandingan tetapi bersukanlah secara sihat serta jagalah kesihatan.
Dengan motto ‘Kilauan Juara’, perbarisan KEJORA telah diketuai oleh En. Mohd Ashek bin Mohd Hassan, Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia merangkap Timbalan Ketua Kontinjen KEJORA.
Tahniah kontinjen perbarisan KEJORA. Tetap teguh berdiri walaupun hujan turun membasahi majlis perasmian.
Ayuh KEJORA, luaskan kuasamu.

LENSA KEJORA & RANGKUMAN PENCAPAIAN KONTINJEN KEJORA KEJOHANAN SUKAN MAKSPEN XIV@PUTRAJAYA 2023

Kejohanan Sukan Makspen ke-14 Putrajaya 2023 menyingkap tirai pembukaan pada 19 Oktober 2023.
Kontinjen KEJORA juga turun untuk bersaing dalam pelbagai acara pada hari pertama Sukan Makspen XIV@Putrajaya 2023.
Pencapaian Kontinjen KEJORA pada 19 Oktober 2023.
1. Bola Sepak = layak ke Suku Akhir
2. Bola Tampar = layak ke Suku Akhir
3. Batu Seremban = Tempat Ke-4
4. Congkak = Terkandas di Peringkat Kumpulan
5. Mobile Legend = layak ke Separuh Akhir
6. Karom = Masih bersaing di peringkat kumpulan
7. Boling Wanita = Tempat Ke-7
8. Boling Lelaki = Tempat Ke-11
Terima kasih untuk komitmen tinggi dan kesungguhan persaingan yang ditunjukkan oleh setiap atlet pasukan, Pengurus Pasukan termasuk penyelaras serta jawatankuasa induk KEJORA atas sokongan padu dalam misi menggapai impian kejayaan.
Ayuh KEJORA, luaskan kuasamu!!!!!
KEJORA Never Walk Alone

KURSUS PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN DAN PEMBAIKAN BOT PELANCONGAN WILAYAH KEJORA

19 Oktober, Johor Bahru – KEJORA melalui Bahagian Pelancongan telah menganjurkan Kursus Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Bot Pelancongan Wilayah KEJORA bermula pada 17 hingga 19 Oktober 2023 bertempat di Hotel Granada, Johor Bahru.
Kursus yang disertai seramai 11 orang peserta melibatkan wakil JPKK, Koperasi dan pertubuhan yang terlibat secara langsung dalam mengusahakan bot pelancongan Wilayah KEJORA telah diberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan tatacara pembaikan komponen enjin bot sangkut.
Selain itu, para peserta diberi pendedahan berkaitan pembaikan kecil serta meningkatkan ketahanan dan memanjangkan tempoh hayat enjin bot.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengurus Pelancongan, Puan Suraya Hani binti Sharan, selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA.
Pihak Pengurusan KEJORA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 11 peserta yang terlibat secara langsung dalam menjayakan kursus ini yang terdiri daripada :
i. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Surat;
ii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Serindit;
iii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Buai;
iv. Koperasi Sinar Tanjung Balau; dan
v. Belungkor Venture.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan pengurusan dan perkhidmatan bot pelancongan Wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing.
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

KEJORA KE KEJOHANAN MAKSPEN KE-14 PUTRAJAYA 2023

Pada pagi ini, berlangsung majlis pelepasan bagi pergerakan kontinjen KEJORA ke Kejohanan Makspen Ke-14 Putrajaya 2023.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pn. Marlina binti Amir yang sudi memberikan kata-kata semangat kepada semua anggota yang terlibat. Didalam ucapannya, beliau mengingatkan semua anggota untuk sama-sama menjaga nama baik KEJORA serta berjuang dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Turut hadir adalah barisan Pengurusan KEJORA serta pegawai-pegawai kanan KEJORA.
Ayuh KEJORA, Luaskan kuasamu.
MENANG bermaksud TIDAK TAKUT kalah. KALAH pula bermaksud TIDAK BERANI mencuba. Selagi anda TIDAK TAKUT kalah dan BERANI mencuba, selagi itulah anda MENANG.

PROGRAM PENDIGITALAN USAHAWAN DESA (PPU) SIRI 6 & ONBOARDING TAHUN 2023

Usahawan Bimbingan KEJORA telah menghadiri Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri 6 (PPU) & Onboarding Tahun 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 16-17 Oktober 2023 bertempat di Frazel Expo and Convention Hall, Alor Setar, Kedah.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, TKSU (D) KKDW. Turut hadir, YBrs. Encik Daud bin Abd Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) menjalankan tugas Pengurus Besar KEJORA. Program yang menyasarkan 1,000 usahawan desa ini telah memberi pendedahan secara langsung dan praktikal kepada usahawan untuk memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-Dagang serta sebagai persediaan menghadapi perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa.
Rakan strategik Program Desamall yang turut menyertai PPU ini ialah Rural Capital Berhad, CELCOM, Shopee, Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Lazada, Maxis, Mesinkira, Fasspay, Bank Islam, PETRON, TikTok Malaysia, Troopers, Peasy dan IPvolusi.

MAJLIS AMANAT KETUA KONTINJEN KEJORA KE KEJOHANAN MAKSPEN KE-14 PUTRAJAYA TAHUN 2023

Majlis Amanat Ketua Kontinjen KEJORA ke Kejohanan Makspen 2023 telah diadakan di Lobi Utama, Ibu Pejabat KEJORA pada 15 Oktober 2023.
Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar, En. Daud bin Abd. Rahman adalah merupakan Ketua Kontinjen KEJORA dan beliau telah menyampaikan amanat kepada atlet-atlet yang akan akan mewakili KEJORA ke Kejohanan Makspen Putrajaya 2023. Didalam ucapannya, beliau telah mengingatkan kepada semua anggota KEJORA agar bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi tanpa mengabaikan hubungan silaturrahim antara agensi. Memanglah semua pasukan hendak menang, tetapi jangan lah kerana emas sebutir, kita bermusuhan hingga ke akhir hayat.
Dengan kekuatan anggota seramai hampir 160 anggota, pasukan KEJORA akan menyertai hampir kesemua sukan dan acara yang dipertandingkan iaitu dengan penyertaan 14 acara daripada 15 acara yang dipertandingkan.
Pada majlis ini turut dibuat penyerahan bendera KEJORA kepada Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia Merangkap Timbalan Ketua Kontinjen KEJORA iaitu En. Mohd Ashek bin Mohd Hassan. Beliau juga akan mengetuai perbarisan di majlis perasmian sukan Makspen nanti.
Sebelum majlis amanat ini, turut diadakan adalah penyampaian sumbangan jersey pasukan takraw KEJORA yang disumbangkan oleh Pengerusi Sepak Takraw Negeri Johor merangkap Timbalan Pengerusi KEJORA iaitu YBhg. Dato’ Hj Abd. Halim bin Hj. Suleiman.
Selamat berjuang buat pasukan KEJORA ke Kejohanan Makspen ke-14 Putrajaya 2023. Semoga beroleh kejayaan!!!!
Kejayaan dicapai apabila seseorang itu menangguhkan kesenangan pada masa kini untuk mengusahakan matlamat jangka panjang – Tunku Mahkota Johor.