MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH, LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) BILANGAN 3 TAHUN 2024

Mesyuarat Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Bilangan 3 Tahun 2024 telah diadakan pada 19 Disember 2024.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA.
Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Pengerusi menyatakan bahawa, pelbagai inisiatif, perancangan, dan pencapaian yang telah dilaksanakan oleh KEJORA sepanjang tahun 2024 telah menunjukkan komitmen berterusan KEJORA dalam mendukung agenda reformasi perkhidmatan awam termasuk pengurusan kewangan yang berkesan, serta pembangunan wilayah secara inklusif dan mampan. Beliau menambah, dengan deretan kejayaan yang berprestij serta peruntukan yang diterima untuk Tahun 2025, KEJORA harus terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan wilayah yang unggul. Adalah menjadi harapan agar usaha-usaha ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan sasar serta menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhannya dan Negeri Johor amnya.
Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah iaitu YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Merangkap ADUN Tanjung Surat, YBhg. Datin Zaeidah binti Mohamed Esa, Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi, YBrs. Tuan Ahmad bin Tuan Wil, Setiausaha Bahagian Prasarana, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, YBhg. Tuan Haji Mohammed Shakib bin Haji Ali, Pengarah Tanah Dan Galian Johor, YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar, Timbalan Setiausaha Bahagian, Sektor Dasar & Perancangan Strategik, kementerian Kewangan, YB Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, YBhg. Datuk Haji Mohd. Lassim bin Burhan dan YBrs. Encik Murad bin Jailani.
Hadir sama adalah Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA serta barisan Pengurusan Kanan KEJORA.
Pihak KEJORA turut mengadakan Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Ahli Lembaga Pengarah iaitu YBhg. Tuan Haji Mohd Rafi bin Abdullah dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir yang telah tamat tempoh lantikan.
KEJORA merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Lembaga Pengarah KEJORA atas kelapangan waktu menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah pada sesi kali ini. Semoga jalinan kerjasama yang erat ini akan terus terjalin demi akan terus menjadi pemangkin kepada transformasi yang inklusif dan lestari demi kesejahteraan warga perdesaan Wilayah Johor Tenggara.

𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 & 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐔𝐆𝐀𝐒 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐀𝐍𝐆𝐆𝐎𝐓𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀

BANDAR PENAWAR, 15 Disember – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) mengucapkan tahniah kepada 11 orang anggota baru yang telah dilantik ke perkhidmatan KEJORA Tahun 2024.
Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil , Pengurus Besar KEJORA telah menyampaikan amanat kepada semua anggota yang baru dilantik ini. Antara intipati amanat dan harapan beliau adalah anggota baharu KEJORA hendaklah melaksanakan tugas yang diberikan dengan amanah, berintegriti, cemerlang serta menekankan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan sebagai seorang Penjawat Awam.
Pegawai-pegawai lantikan baharu ini telah melaporkan diri di Ibu Pejabat KEJORA, Jalan Dato’ Hj. Hassan Yunus bermula pada 3 November 2024, 1 Disember 2024 dan 15 Disember 2024. Mereka yang melaporkan diri ini terdiri daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) gred 9 sehingga staf Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 5).
Bersempena dengan majlis amanat Pengurus Besar KEJORA ini juga, anggota baharu telah melafazkan Ikrar Akujanji, Ikrar Perkhidmatan Awam serta Ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972.
Turut hadir adalah Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) serta Encik Mohd Ashek bin Mohd Hassan, Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia.
Selamat Bertugas buat semua Warga Kerja KEJORA.

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐁𝐀𝐊𝐓𝐈 𝐃𝐄𝐒𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐌𝐔𝐍𝐈𝐓𝐈

PENGERANG, 15 Disember – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan program KEJORA Bakti Desa Tahun 2024 di Kampung Tanjung Surat dan Kampung Sungai Papan bermula dari 13 hingga 15 Disember 2024.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA. Di dalam ucapannya beliau memaklumkan, Program KEJORA Bakti Desa KEJORA-UKM yang diadakan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa akan keindahan alam semulajadi di Pulau Tanjung Surat yang merupakan ‘The Hidden Germ’ Eko-Pelancongan KEJORA ini.
Selanjutnya, usaha KEJORA dalam memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar tentang penerimaan teknologi dan inovasi, berkongsi peluang ekonomi setempat, serta memberikan pengalaman berharga kepada generasi muda adalah langkah penting dalam memperkasakan pembangunan komuniti. Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada kemajuan teknologi dan ekonomi, tetapi juga menyemai semangat keusahawanan dan daya saing dalam kalangan generasi muda, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan moto ‘Membangun Komuniti, Memperkasa Potensi, Maju Bersama’.
Sebelum itu, YDH ASP KS Dr. Rosma Ayu binti Harun, Pegawai Kehormat Latihan Luar KOR SUKSIS Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam ucapan aluannya melahirkan rasa kagum terhadap keindahan memukau Pulau Tanjung Surat. Beliau bersama Kor SUKSIS UKM terpukau dengan panorama alam semula jadi pulau ini, yang disifatkan mereka sebagai permata menakjubkan yang memukau pandangan dan menyentuh jiwa.
Sebagai rekod, seramai 27 Ahli Tertinggi Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi UKM dengan 11 jurulatih telah terpilih untuk program ini yang mana mereka diberikan peluang untuk bersama-sama komuniti kampung untuk belajar mengenai kehidupan bersama komuniti seperti gotong-royong, ramah mesra serta riadah sekampung. Semua pelatih ini turut menyantuni pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Papan untuk sesi perkongsian 3M (Menulis, Membaca & Mengira).
Turut hadir di dalam majlis perasmian adalah YBhg. Tn. Haji Kamal bin Ahmad Untong, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, YBrs. En. Roslan bin Mohammad Noh, Timbalan Pegawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pengurusan KEJORA, Pegawai-Pegawai Kanan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi serta anggota KEJORA.
#PenerajuTerasKemakmuran

KEJORA SURFING CUP KEMBALI LAGI

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara dengan kerjasama Koperasi Sinar Tanjung Balau serta Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) akan menganjurkan KEJORA Surfing Cup 2024.
📆 20 hingga 22 Disember 2024 (Jumaat – Ahad)
📌 Pantai Tanjung Balau
Pelbagai aktiviti menarik menanti anda antaranya:
🏄‍♀️Pertandingan Surfing
🏂Pertandingan Skateboarding
🛴Pushbike Race
💰Jualan Usahawan
🔥Fire Dance
🥁Busking
🎤KEJORA Surfing Idol
🚑Saringan Kesihatan
🏍️Harley Davidson Show
🏃🏻‍♂️Jom Sihat Bersama Quicksilver
dan banyak lagi.
Jadi jangan lepaskan peluang ini untuk bersama-sama kami!
Jumpa anda di sana!
…………..…………………………
Ikuti media sosial kami di : linktr.ee/officialkejora

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐀𝐋-𝐐𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐓𝐇 𝐋𝐄𝐌𝐁𝐀𝐆𝐀 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐉𝐔𝐀𝐍 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 𝐓𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐑𝐀 (𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀)

Tarikh : 12 Disember 2024 (Khamis)
Tempat : Bilik Taklimat, Bangunan Ibu Pejabat KEJORA
Surah: Hud bermula dari Ayat 13 hingga 28 (Juzuk 12)
Pembimbing Bacaan:
1. Al-Fadhil Tuan Imam Redhauddin bin Ahmad (Al-Quran)
2. Encik Mohd Shahril bin Ramli (Terjemahan)
3. Encik Rohaizal bin Tukimin (Hadis)
Baginda Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk meluangkan sedikit masa di dalam kesibukan seharian untuk mempelajari, membaca, memahami dan mengambil ibrah daripada peristiwa yang terkandung dalam Al-Quran.

𝐊𝐄𝐉𝐎𝐑𝐀 𝐓𝐄𝐑𝐔𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐓𝐀 𝐇𝐔𝐑𝐔𝐅 𝐃𝐈 𝐋𝐔𝐀𝐑 𝐁𝐀𝐍𝐃𝐀𝐑

KLUANG, 11 Disember- Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) meneruskan agenda pembasmian buta huruf dikalangan pelajar luar bandar dengan mengadakan Program Pemantapan 3M KEJORA Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Aeon Big, disini.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Hajah Azurawati binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang. Di dalam ucapannya, beliau menegaskan murid masa kini lebih gemar aktiviti ‘hands-on’ dan alat bantu visual berbanding simbol abstrak manakala pembelajaran melalui bermain lebih sesuai dengan naluri dan fitrah kanak-kanak berdasarkan perspektif psikologi dan teori kognitif. Beliau turut menegaskan, perkara asas iaitu 3M ini perlu dibendung dan dilihat dengan mata hati kerana isu keciciran 3M tidak boleh dipandang enteng seperti melepaskan batuk di tangga.
Program yang dihadiri oleh 200 pelajar dengan bantuan 55 guru pengiring serta 45 pegawai PPD ini telah diadakan secara santai dengan setiap pelajar diberikan mengikut kumpulan untuk menyelesaikan beberapa tugasan berbentuk visual serta psikologi . Ini adalah bagi mengubah pemikiran minda serta menjadikan pelajar-pelajar ini merangsang perkembangan otak dan sambungan saraf. Selain itu juga, aktiviti ini memerlukan koordinasi dan keseimbangan menyumbang kepada peningkatan kebolehan kognitif.
Sebelum itu, YBrs. En. Mohd Hanafi bin Jantan, Pengurus Perancangan Strategik mewakili Pengurus Besar dalam ucapannya menyatakan, kolaborasi antara KEJORA bersama JPNJ serta beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seperti PPD Kota Tinggi, PPD Kluang, PPD Kulai, PPD Batu Pahat, PPD Muar, PPD Tangkak, PPD Segamat dan PPD Pontian menunjukkan betapa seriusnya KEJORA dalam membanteras 3M ini terutama di dalam Wilayah Johor Tenggara.
Turut hadir pada hari ini ialah YBhg. Tuan Haji Yahya bin Mohamad, Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah), Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Pengurusan KEJORA serta anggota KEJORA.
Ingatlah, “Setiap pengalaman dalam hidup membawa pelajaran. Jangan terlalu terguris oleh kesilapan. Belajar daripadanya dan terus bergerak ke hadapan”.

DISEBALIK TADBIR SIARAN LANGSUNG TEMUBUAL EKSKLUSIF YANG BERHORMAT DATIN PADUKA HAJAH HAZLINA BINTI JALIL, PENGURUS BESAR KEJORA DALAM RANCANGAN SELAMAT PAGI MALAYSIA

11 Disember – Disebalik tabir siaran langsung temubual eksklusif Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) pagi tadi. Turut sama sebagai tetamu ialah En. Kamaruzzaman bin Mohd, Pengerusi, Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM).
Temubual ini adalah untuk mempromosikan acara “KEJORA Surfing Cup 2024” yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember 2024 di Pantai Tanjung Balau.

𝐓𝐀𝐊𝐋𝐈𝐌𝐀𝐓 𝐈𝐒𝐔-𝐈𝐒𝐔 𝐋𝐀𝐏𝐎𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐀𝐔𝐃𝐈𝐓 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 (𝐋𝐊𝐀𝐍) 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐀𝐈𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐎𝐋𝐄𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐒𝐄𝐑𝐓𝐀 𝐂𝐀𝐑𝐀-𝐂𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐀𝐓𝐀𝐒𝐈𝐍𝐘𝐀

Taklimat Laporan Ketua Audit Negara berkaitan Perolehan dan Pengurusan Projek serta cara mengatasinya telah diadakan pada 9 Disember 2024 bertempat di Bilik Taklimat, Ibu Pejabat KEJORA.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Puan Marlina binti Amir selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan, pengurusan projek bukan sekadar satu proses teknikal, tetapi juga satu seni kepimpinan yang memerlukan kebijaksanaan dalam merancang, mengurus, dan melaksanakan.Justeru beliau berharap, semua teguran Ketua Audit Negara dijadikan panduan dalam usaha KEJORA memastikan ketidakpatuhan dan ketirisan dalam perolehan yang membuka ruang kepada manipulasi dan salah guna kuasa dipatuhi dengan berintegriti.
Taklimat ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, memantapkan pemahaman serta memperkasakan kemahiran teknikal dalam bidang perolehan dan pengurusan projek. Selain itu, perkongsian amalan terbaik yang dipelajari juga dapat dijadikan panduan dan secara tidak langsung dapat dipraktikkan oleh anggota KEJORA
Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi dan anggota KEJORA telah mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Encik Eddy Herman bin Zaidel, Ketua Program Pengurusan, Akademi Audit Negara serta Encik Mohd Iskandar bin Amran, Ketua Audit Dalam, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Semoga taklimat yang disampaikan ini menjadi asbab kepada pembangunan yang seimbang dan holistik di dalam Wilayah Johor Tenggara dalam memastikan kehidupan luar bandar yang sejahtera.

“SESI PADANAN SILANG AGENSI PEMASARAN PRODUK KEJORA BEST BERSAMA RISSMART”

KEJORA terus komited memartabatkan usahawan tempatan melalui kerjasama dengan RISSMART. Sesi padanan hari ini bertujuan untuk mengembangkan potensi produk usahawan KEJORA, dari makanan tradisional hingga inovasi moden, dengan fokus perbincangan yang memberi penekanan pada:
✅ Kualiti Produk: Usaha menambah baik reka bentuk, bahan, dan pembungkusan.
✅ Penjenamaan Berkesan: Memastikan produk bukan sahaja dikenali, tetapi juga diminati.
✅ Pasaran Tempatan: Peluang untuk menembusi platform pemasaran tempatan di rangkaian RISSMART
Turut hadir dalam sesi Proses Penilaian pitching KEJORA Best ini adalah En Azmir bin Rosli, Ketua Pegawai Operasi , RISDA Agri Food Industries Sdn Bhd.
Sesi pembentangan dan penerangan produk KEJORA Best pula telah disampaikan oleh En Sh Khayulzahri bin Sh A.Raof, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA
Semoga sesi padanan pemasaran melalui aktiviti silang agensi dibawah KKDW pada hari ini akan memanfaatkan peluang pemasaran dan mengembangkan potensi jualan produk usahawan bimbingan KEJORA pada masa hadapan

KEJORA TERIMA 2 ANUGERAH INOVASI KKDW 2024

PUTRAJAYA, 4 Disember – Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Kualiti & Inovasi Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) Tahun 2024 telah berlangsung di Lobi Utama dan Dewan Bestari, KKDW.
Majlis telah disempurnakan YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah. Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah hadir bersama-sama Pengurusan Kanan KEJORA.
Di dalam majlis dan sambutan Hari Inovasi KKDW ini, KEJORA telah dinobatkan sebagai pemenang tempat Ketiga bagi Anugerah Perkhidmatan Awam (Pengurusan) Tahun 2024 untuk projek Sistem Integrasi Kehadiran, Kenderaan dan Tuntutan Elaun Anggota (OneSTACK) dan turut memenangi tempat Ketiga bagi Anugerah Inovasi Video Kreatif MADANI Tahun 2024 dengan membawakan video bertajuk “SAKTI”.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anggota KEJORA serta Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) atas komitmen tinggi semasa persediaan, pemantapan dokumen serta pembikinan video yang akhirnya membuahkan hasil dan kemenangan yang membanggakan KEJORA.