KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Grandball Room, Premiera Hotel pada hari ini.
YAB Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah menyampaikan ucaptama di majlis ini. Dalam ucapannya, beliau telah menggariskan tujuh langkah utama yang perlu digarapkan oleh semua warga KKDW antaranya:-
1. Proaktif Dalam Melaksanakan Tugasan;
2. Mencipta Idea di Luar Kebiasaan;
3. Meluncur Dengan Strategi;
4. Komited Mencapai Matlamat;
5. ‘Follow-up, Follow Through’;
6. Pemasaran Berkesan; dan
7. Perbaiki dan Refleks.
Selanjutnya, YAB TPM juga turut menekankan lima fokus utama yang harus menjadi tumpuan agenda Kementerian antaranya:-
1. Memperkasa dan Mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
2. Memangkin Pembangunan Halal Negara.
3. Memperkasa Agenda Huffaz Negara.
4. Menyantuni Agenda Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB).
5. Menyelami Nadi Ekonomi Gig Negara.
Senada dengan keyakinan YAB TPM, bahawa dengan dedikasi dan komitmen semua warga KKDW termasuk KEJORA, perubahan yang signifikan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya warga desa akan dapat dicapai.
Majlis perhimpunan pada hari juga menyaksikan persembahan daripada 2 agensi di bawah KKDW iaitu KEJORA dan MARA. KEJORA telah membawakan teater muzikal bertajuk ‘Secubit The Muzikal’ yang mana ianya berkisar mengenai evolusi perubahan kehidupan yang bermula dari kehidupan petani sehingga menjadi usahawan rempah.
Turut hadir dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW ini ialah YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohammed Anuar, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Datuk Mas Rizal bin Helmi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, Ketua-Ketua Agensi KKDW, Setiausaha-Setiausaha Bahagian KKDW, Pengurusan KEJORA, Pengurusan MARA serta anggota KEJORA.