SESI LIBAT URUS JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG (JPKK) WILAYAH KEJORA 2023

Pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan Sesi Libat Urus JPKK Wilayah KEJORA pada 10 hingga 12 November 2023 (Khamis – Ahad) bertempat di Hotel Grand Continental, Kula Teregganu. Sesi Libat Urus JPKK Wilayah KEJORA ini bertujuan untuk memperkasakan dan mengaktifkan peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) wilayah KEJORA dalam semua aspek pentadbiran dan pengurusan organisasi.
Sesi Libat Urus berlangsung selama tiga hari dua malam ini telah disertai oleh 25 orang pengerusi atau wakil JPKK Wilayah KEJORA. Program ini memerlukan setiap kampung untuk membuat pebentangan berkenaan isu dan masalah utama serta aspirasi kampung seliaan masing-masing.
Sesi Libat Urus ini jugak melibatkan sesi taklimat bersama pengurus dan pegawai bahagian KEJORA iaitu Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa, bersama JPKK bagi menerangkan peranan KEJORA dan aktiviti-aktiviti serta program yang akan dijalankan. Selain itu juga, berkongsi pandangan dan pertanyaan terus bagi memperkasakan peranan JPKK dalam pembangunan wilayah KEJORA sebagaimana teras Dasar Pembangunan Luar Bandar.
Berlangsung juga sesi pembentangan Rolling Plan Keempat bagi Tahun 2024 KEJORA dan Kajian Hala Tuju Kampung Wilayah KEJORA yang dibentangkan oleh pengurus Bahangian Perancangan Strategik, En. Hanafi Bin Jantan serta pembentangan dari, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi, Encik Mohamad Khairul Nizam Bin Abd Rahman, berkongsi pandangan dan idea berkenaan peranan Majlis belia daerah Kota tinggi serta isu dan inspirasi belia.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) menjalankan tugas Pengurus Besar KEJORA, En. Daud bin Abd. Rahman. Di dalam ucapannya, beliau mengingatkan peranan besar KEJORA terhadap pembangunan dan kemajuan Kampung terutamanya dari aspek sosial dan salsiah masyarkat. Turut berlangsung semasa sesi perasmian dan pernutup, adalah sesi penyampaian Anugerah Kampungku Semarak Merdeka yang berlangsung sepanjang bulan ogos yang lalu.
Semoga sesi Libat Urus ini dapat memeberi manfaat kepada para peserta sekaligus dapat merapatkan lagi jalinan hubungan silaturahim antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pengurusan KEJORA serta memperkasakan dan mengaktifkan lagi peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) wilayah KEJORA dalam semua aspek pentadbiran dan pengurusan organisasi.

KURSUS USAHAWAN MUDA DIGITAL WILAYAH KEJORA-ERA PERNIAGAAN ATAS TALIAN @ TIKTOK TAHUN 2023

KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan Kursus Usahawan Muda Digital Wilayah KEJORA – Era Perniagaan Atas Talian @ TikTok Tahun 2023 pada 11 November 2023 (Sabtu) bertempat di Hotel Amasari, Desaru.
Kursus Usahawan Muda Digital Wilayah KEJORA – Era Perniagaan Atas Talian @ TikTok yang dilaksanakan pada kali ini yang merupakan julung kalinya diadakan melibatkan belia-belia dalam wilayah KEJORA seramai 50 orang.
KEJORA telah mengambil inisiatif bagi membantu khususnya belia-belia di dalam wilayah KEJORA bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan isi rumah melalui platform TikTok melalui strategi dan kepentingan “live streaming”, cara membuka akaun Tiktok Shop / TikTok Seller Centre, teknik-teknik bekerjasama dengan influencer, teknik menghasilkan pendapatan melalui penghasilan video TikTok serta teknik shopping menggunakan e-wallet TikTok.
Selain itu, para peserta juga dibekalkan dengan pakej sistem automasi bisnes melalui sistem ‘e-serve’ bagi pemudahcara pelanggan membeli dihujung jari, telcoprenuer daripada TuneTalk, serta sistem ‘Buy Now Pay Later’ bagi menjana pendapatan peserta.
Semoga program yang dilaksanakan dapat menyuntik semangat berdikari serta menyedarkan peserta kepada peluang-peluang perniagaan serta strategi – strategi yang berkesan dalam meningkatkan lagi hasil jualan dan keuntungan sekaligus menganjak paradigma komuniti luar bandar khususnya dalam Wilayah KEJORA agar mampu berdikari pada masa hadapan.

KEJORA TEROKA PROJEK PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI

13 November, Bandar Penawar – KEJORA pada hari ini telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian KEJORA bertempat di Hotel Fourpoint by Sheraton Desaru.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar, En. Daud bin Abd. Rahman. Didalam ucapan aluannya, beliau menyatakan keterujaan KEJORA untuk melihat hasil yang sangat produktif serta sesuai dibangunkan di kawasan kajian.
Untuk makluman, pembentangan kajian pada hari ini meliputi 2 kajian yang mana pihak KKDW & KEJORA telah melantik Tetuan Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Madya Ts Dr Mohd Hisyam Rasidi bagi Kajian Pelan Induk Pembangunan Ekopelancongan Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor dan Tetuan IIUM Entrepreneurship and Consultancies Sdn. Bhd. (IECSB) yang diketuai oleh YBhg Prof. TPr. Dr. Mariana Mohamad Osman bagi Kajian Program Pembangunan Ekopelancongan Menelusuri Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor.
Pembentangan yang diberikan oleh kedua-dua pasukan pengkaji telah menunjukkan aspek perancangan, pembangunan, kos pembangunan, risiko serta konsep menyeluruh kepada setiap pembangunan yang dirancang.
Secara dasarnya, KEJORA telah melihat pembangunan sektor pelancongan melalui Program Pelancongan Desa perlu diketengahkan agar dapat mengembalikan kerancakan industri pelancongan luar bandar berpandukan kepada kapasiti sumberjaya yang ada di dalam Wilayah KEJORA terutamanya di daerah Kota Tinggi. Dalam masa yang sama, Pengurusan KEJORA berhasrat untuk mempelbagaikan lagi produk pelancongan di dalam Wilayah KEJORA serta melihat Pembangunan Pelancongan di Pulau Tanjung Surat dan Lembangan Sungai Sedili Besar yang merupakan produk yang sangat berpotensi untuk dimajukan.
Selari dengan itu juga, kajian pembangunan ekopelancongan dicadangkan untuk dilaksanakan bagi mengenalpasti tempat-tempat menarik di Pulau Tanjung Surat dan Lembangan Sungai Sedili Besar yang mempunyai nilai ekopelancongan, warisan, sejarah dan budaya untuk dibangunkan sebagai salah satu Produk Pelancongan Desa di Wilayah KEJORA.
Turut hadir pada hari ini ialah katua-ketua agensi Persekutuan dan Negeri Johor seperti PLANMalaysia, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, MOTAC, Tourism Johor serta banyak lagi. Selain itu juga, turut dijemput adalah JPKK Kawasan Sedili dan Kawasan Tanjung Surat serta Pengurusan Kanan KEJORA.
Tahniah kepada KEJORA kerana mengambil langkah awal dalam merancang pembangunan Wilayah Johor Tenggara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah degan kawasan pelancongan yang lain.

KURSUS PENGURUSAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN BAGI PENERIMA SKIM BANTUAN EKONOMI PELANCONGAN (SBEP) WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

KEJORA melalui Bahagian Pelancongan KEJORA telah menganjurkan Kursus Pengurusan Kewangan dan Perakaunan bagi penerima Skim Bantuan Ekonomi Pelancongan (SBEP) Wilayah KEJORA Tahun 2023 yang telah berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 November 2023 bertempat di Felda Residence, Kuala Terengganu, Terengganu.
Kursus yang dianjurkan merupakan syarat wajib kepada penerima SBEP sebelum menerima bantuan kerana kursus ini memberi pendedahan kepada para peserta bagi mempersiapkan penerima bantuan dengan ilmu asas kewangan dan perakaunan, memberi kefahaman bagi menyediakan segala laporan pendapatan yang perlu dikemukakan kepada KEJORA, meningkatkan kualiti perkhidmatan yang akan disediakan oleh penerima serta kaedah pelaksanaan dan pemantauan SBEP.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Daud bin Abd Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA menjalankan tugas Pengurus Besar KEJORA. Turut hadir Puan Suraya Hani binti Sharan Pengurus Pelancongan.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan pengurusan dan perkhidmatan pengusaha-pengusaha pelancongan wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing.

PENYERTAAN KEJORA DALAM FESTIVAL USAHAWAN NUSANTAA 2023 (FUN 2023)

Festival Usahawan Nusantara (FUN 2023) merupakan program anjuran Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) sebagai salah satu Program Pembangunan Usahawan. Program ini juga melibatkan beberapa buah negara iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.
KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan telah mengambil kesempatan sepanjang FUN 2023 ini bermula pada 2-5 November 2023, bertempat di Stadium Arena, Larkin Johor Bahru untuk mempromosikan produk usahawan bimbingan KEJORA bagi memperluas pasaran produk usahawan ke peringkat domestik dan antarabangsa.
Program ini telah dirasmikan oleh Wakil Rasmi Menteri Besar Johor iaitu YB Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang FUN 2023 tersebut termasuk pameran dan jualan produk usahawan, aktiviti demonstrasi penghasilan produk komuniti, seminar dan sesi komuniti usahawan.
Tahniah diucapkan kepada KEJORA.

IKLAN JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA

IKLAN JAWATAN KOSONG TETAP & KONTRAK

Permohonan adalah dipelawa kepada Rakyat Negeri Johor atau Warganegara Malaysia yang berkelayakan mengisi kekosongan di KEJORA.

  1. JURUUKUR BAHAN GRED J41 (KONTRAK)
  2. PEGAWAI PERANCANG BANDAR & DESA GRED J41 (TETAP)
  • Permohonan hanya boleh dibuat secara online melalui Laman Web KEJORA di alamat www.kejora.gov.my iaitu pada pautan e-perjawatan atau di alamat http://eperjawatan.kejora.gov.my ;
  • Permohonan yang lewat dan tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan;
  • Hanya calon yang layak selepas tapisan sahaja akan dipanggil untuk ditemuduga;
  • Permohonan yang tidak menerima sebarang jawapan selepas 6 bulan dari tarikh iklan ditutup dianggap gagal;
  • Pegawai untuk dihubungi:

Puan Azimah binti Ismail                          Puan Nor Azila binti Mohamed
07-8843000 ext: 3057                                07-8843000 ext: 3050

TARIKH TUTUP PERMOHONAN ADALAH PADA : 11 NOVEMBER 2023 (SABTU)

MAJLIS SEKALUNG BUDI, SEJAMBAK KASIH LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA

MAJLIS SEKALUNG BUDI, SEJAMBAK KASIH
LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA
5 November 2023 (Ahad) – Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah diadakan pada hari ini di Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih ini diadakan bagi meraikan YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Mantan Pengurus Besar KEJORA serta YBhg. Datin Norasikin binti Noordin, Mantan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA yang telah tamat tempoh perkhidmatan di KEJORA. Untuk makluman, tempoh perkhidmatan YBhg. Dato’ adalah bermula 15 September 2021 hingga 14 September 2023.
Di dalam ucapan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBrs. En. Daud bin Abd Rahman, beliau mewakili Pengurusan serta anggota KEJORA mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Dato’ dan Datin di atas komitmen serta sumbangan yang diberikan sepanjang di KEJORA. Di dalam ucapan balas, YBhg. Dato’ menyatakan bahawa komitmen yang ditunjukkan oleh anggota KEJORA di dalam apa jua aktiviti ataupun program KEJORA tidak pernah dilihat sepanjang beliau bertugas di mana-mana jabatan sebelum ini. KEJORA adalah yang agensi yang terbaik.
Sebelum itu, turut diadakan adalah majlis perhimpunan bulanan yang mana ucapan dan amanat telah disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar, YBrs. En. Daud bin Abd Rahman. Di dalam ucapan & amanah pengurusan, beliau mengingatkan akan 4 perkara utama iaitu:-
1. Anjakan KEJORA ke arah KEJORA baru
2. KEJORA perlu bermatlamat menjadi organisasi yang berasaskan prestasi
3. Pembangunan sukan anggota KEJORA
4. Menambah baik hubungan antara jabatan
Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pn. Marlina binti Amir, Timbalan Pengerusi II, Puspanita KEJORA, YBrs. Pn. Rasidah binti Saring, Pengurusan Kanan KEJORA, Anggota KEJORA serta Pengurusan Kejora Development Holding Sdn Bhd.
“Ingat lah kita tidak boleh melihat jawatan itu sebagai satu tasyrif atau kemuliaan, tetapi ianya adalah bersifat taklif iaitu tanggungjawab dan amanah yang bakal dipersoalkan. Justeru, ianya bukan boleh dibangga-banggakan” – YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA.

KEJOHANAN KEJORA MTB JAMBOREE @ TANJUNG BALAU 2023

Pada 28 Oktober 2023 telah berlangsung Kejohanan KEJORA MTB Jamboree @ Tanjung Balau 2023 di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Dengan penyertaan hampir 400 peserta, kejohanan kali ini dipecahkan kepada 5 kategori dengan penyertaan dari Semenanjung Malaysia termasuk dari Singapura.
Manakala perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Penawar, YB Puan Fauziah binti Misri. Di dalam ucapannya, beliau percaya, KEJORA mampu untuk membangunkan dan mempromosikan sukan luar bandar sebagai salah satu platform pembangunan bukan sahaja di peringkat akar umbi malah ke peringkat yang lebih tinggi.
Kesemua peserta pada hari ini telah menghabiskan laluan sepanjang lebihkurang 35km bermula dengan laluan kebun getah, kebun kelapa sawit, jalanraya, pantai terbuka sebelum mengakhiri laluan di laluan XCO Tanjung Balau.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) menjalankan tugas Pengurus Besar, En. Daud bin Abd. Rahman, Wakil YDP Majlis Perbandaran Pengerang, Tn. Hj. Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Wakil Lembaga Getah Malaysia (Bandar Penawar), Wakil Desaru Coast, Pengurusan Kanan KEJORA serta wakil-wakil jabatan dalam Daerah Kota Tinggi.
KEJORA mengucapkan terima kasih kepada agensi KKDW iaitu KETENGAH yang turut sama menjayakan kejohanan ini. Selain itu juga, sekalung penghargaan terima kasih diucapkan kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), RELA, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Desaru Coast, SAJ dan semua yang terlibat dalam penganjuran kejohanan KEJORA MTB Jamboree @ Tanjung Balau 2023.
Peribahasa melayu mengatakan; Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Maknanya, tiap-tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan.
Don’t be afraid to fail, but, be afraid not to try.

MAJLIS PERSARAAN ANGGOTA KEJORA

Majlis Persaraan Anggota KEJORA telah berlangsung pada hari ini di Lobi Utama, Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis pada pagi ini adalah untuk meraikan persaraan En. Sharif bin Hashim yang merupakan Pemandu Kenderaan di Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia. Beliau telah mula berkhidmat di KEJORA pada 5 Disember 1987 sebagai pemandu kenderaan selama 35 tahun dan bersara secara pilihan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Menjalankan Tugas Pengurus Besar KEJORA, En Daud Bin Abdul Rahman. Didalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada En. Sharif bin Hashim atas komitmen, dedikasi, pengorbanan serta kesetiaan sepanjang berkhidmat di KEJORA. Sifat-sifat terpuji ini sememangnya amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, kelancaran program-program pembangunan ke arah peningkatan taraf hidup rakyat.
Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Pengurus Bear (Pengurusan), Pn. Marlina binti amir, Pengurus Bahagian dan Ketua-Ketua Unit, Pegawai-pegawai Kanan serta Anggota KEJORA.
Terima kasih KEJORA ucapkan kepada En. Sharif bin Hashim atas komitmen dan kesungguhan selama 35 tahun di KJEORA. Semoga tuan diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan serta terus menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat akan sebarang aktiviti dan perkembangan KEJORA.
Ampun dan maaf kami pinta
Andai pernah mengusik rasa
Jenguklah kami sekali sekala
Andai rindu datang menjelma

KEJOHANAN SUKAN MAKSPEN KE-14 PUTRAJAYA 2023

Foto Majlis Penutup & Penyampaian Hadiah Kemenangan bagi Kejohanan Sukan Makspen Ke-14 Putrajaya 2023 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW)
Didalam ucapan perasmian penutup, YAB Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri KKDW menyarankan untuk Sukan Makspen Ke-15 diadakan pada tahun 2024.
Tahniah RISDA yang dinobatkan sebagai JUARA keseluruhan Kejohanan MAKSPEN XIV Putrajaya 2023
Tahniah juga diucapkan kepada 13 lagi kontinjen KKDW, Agensi dan Agensi Rangkaian yang bertanding pada kejohanan kali ini atas saingan yang diberikan!!!
🗓️ 19 hingga 22 Oktober 2023
📍 Putrajaya dan sekitarnya
Semoga berjumpa di Makspen Ke-15 @KESEDAR