LAWATAN PENANDA ARAS ELECTRIC VEHICLE (EV)

Dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan luar bandar di wilayah KEJORA, aktiviti-aktiviti berteraskan pembangunan ekonomi dan keusahawanan menjadi teras dan fokus pengurusan KEJORA di dalam memastikan kesenjangan ekonomi luar bandar dan di bandar dapat diseimbangkan. Manakala kehadiran pelancong ke Wilayah KEJORA mula menunjukkan trend peningkatan selepas Covid-19 melanda negara.
Lanjutan dari perkembangan yang semakin memberangsangkan, bermula 4 hingga 6 Julai 2023 (Selasa – Khamis), satu sesi lawatan kerja KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diadakan bagi melihat sendiri ruang serta peluang yang boleh dibangunkan di Wilayah KEJORA yang berkonsepkan ekonomi pelancongan.
Sesi lawatan yang bermula di Depoh & Bengkel Bas MARA Liner, Pekan Kuah, Langkawi telah membuka satu analogi baru dalam usaha KEJORA mendapatkan input tentang pembangunan industri Electrical Vehicle (EV) selaras dengan hasrat kerajaan dalam menyokong kearah kelestarian bumi. Selain itu juga, lawatan penanda aras ini dijadikan nilai tambah dan boleh diaplikasikan di Pusat Automotif KEJORA demi menyokong kepada industri pelancongan Wilayah KEJORA.
Rombongan dari KEJORA juga turut diberikan taklimat berkaitan dengan pembangunan dan pengoperasian bas EV oleh Bahagian Pelaburan MARA diketuai oleh En. Mohd Diah bin Abas, Pengarah Kanan Pelaburan MARA bersama kumpulan pembangunan MARA Liner Sdn Bhd. Manakala pihak KEJORA telah diketui oleh En. Sheikh Khayulzahri bin A.Raof, Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa serta pegawai daripada pengurusan pembangunan iaitu Unit Ekonomi dan Usahawan, Unit Pengurusan Fasiliti, Bahagian Pelancongan, Unit Teknikal, Unit Pelaburan dan Unit Komunikasi Korporat. Turut bersama-sama KEJORA adalah syarikat LIAS Maju Tyre dan JHAS Automotive Specialist Sdn Bhd.
Manakala lawatan di Ibu Pejabat TNB, pihak KEJORA telah diberikan taklimat yang diketuai oleh En. Wan Ahmad Zam Zam bin Wan Abd. Wahab, Pengarah Program (PMO Electric Vehicle). Turut sama hadir adalah Datin Nurulhayati binti Anual serta En. Hisyam bin Hasib, Bahagian Pembangunan dan Pemasaran (PMO Electric Vehicle).
Diharapkan platform yang berpotensi tinggi ini dapat memberi manfaat kepada KEJORA serta usahawan luar bandar dalam Wilayah KEJORA khususnya bidang automotif dalam usaha meneroka serta meningkatkan jaringan perniagaan serta mempromosi pelancongan Wilayah KEJORA.

LAWATAN KERJA YB TAN SRI DATO’ DR HAJI AZMI BIN ROHANI, SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR MERANGKAP PENGERUSI KEJORA KE IBU PEJABAT KEJORA SERTA WILAYAH KEJORA

Pada hari ini, 3 Julai 2023 bersamaan 14 Zulhijjah 1444H, YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat KEJORA serta Wilayah KEJORA.
Sesi lawatan kerja ini dimulakan dengan suai kenal bersama Pengurusan KEJORA ke Bahagian serta Unit-Unit di KEJORA. Sesi suaikenal ini adalah salah satu kaedah untuk YB Tan Sri Dato’ Dr Setiausaha Kerajaan Johor mengenali setiap anggota KEJORA. Seterusnya, YB Tan Sri Dato’ Dr Setiausaha Kerajaan Johor telah diberikan taklimat pengurusan dan pembangunan KEJORA yang disampaikan oleh Pengurus Perancangan Strrategik. Taklimat ini merangkumi keseluruhan pencapaian KEJORA, fungsi, visi, misi serta hala tuju KEJORA.
Di dalam ucapan balasnya, YB Tan Sri Dato’ Dr Setiausaha Kerajaan Johor berpanjangan bahawa Pengurusan Kanan KEJORA perlu sentiasa peka dan bekerja dengan lebih kuat serta memastikan keberjayaan sesuatu program itu dicapai.
Di dalam rangka lawatan ini juga, YB Tan Sri Dato’ Dr Setiausaha Kerajaan Johor telah memberikan amanat kepada semua Anggota KEJORA dan seterusnya telah melancarkan Sistem Aktiviti KEJORA (SARA). Selain itu, Kg. Dato’ Abdul Ghani Othman Pengerang telah dinobatkan sebagai Johan pertandingan Kampung Unggul Wilayah KEJORA.
Lanjutan daripada kejuaraan ini, satu program konvoi bermotor yang diketuai oleh YB Tan Sri Dato’ Dr Setiausaha Kerajaan Johor ke Kg. Dato’ Abdul Ghani Othman. Di dalam program Akrab Komuniti ini, beberapa program telah diadakan antaranya sukan komuniti, pertandingan pondok tercantik dan sebagainya.
Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah Timbalan Pengerusi KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Abd. Halim bin Hj. Suleiman, Pengarah PTG Johor, YB Dato’ Hj Ashari bin Kasnan, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hjh Hazlina Binti A.Jalil, ADUN Tg. Surat, YB Aznan bin Tamin, Pegawai Tadbir Johor Daerah Kota Tinggi, wakil Pegawai Daerah Kluang, serta tetamu jemputan yang lain.
Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Hj. Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA diatas kesudian mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat KEJORA serta Wilayah KEJORA.

MAJLIS IBADAH QURBAN (MAQRAB) 2023

Bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, KEJORA telah mengadakan Majlis Ibadah Qurban (MAQRAB) 2023 di Masjid As-Syifa Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Sebanyak 91 ekor kambing dan 26 ekor lembu telah ditumbangkan.
Program yang dijalankan secara kerjasama strategik antara KEJORA, AGROPRENEUR FARM SDN BHD, ALIYAH RIZQ HOLDING PTE LTD serta Masjid As-Syifa Bandar Penawar telah bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha.
Majlis Ibadah Korban pada kali ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus Pengurus Besar KEJORA. Selain itu juga, Pengurusan KEJORA, Pengurusan Masjid As-Syifa Bandar Penawar, Penggerak Kampung Wilayah KEJORA, RELA serta Warga KEJORA dan penduduk Bandar Penawar turut sama-sama membantu melapah serta membahagikan daging korban.
Dengan kehadiran lebih dari 1500 orang, majlis turut diserikan dengan kehadiran YB. Pn. Fauziah binti Misri, ADUN Penawar yang turut sama mengagihkan daging korban kepada golongan Asnaf di kawasan Penawar serta orang ramai.
Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata;
Nabi SAW bersabda:
Barang siapa menyembelih (binatang korban) sebelum solat (Eid), maka ia menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barang siapa menyembelih setelah solat (Eid), maka ibadah korbannya telah sempurna dan bertindak sesuai dengan sunnah kaum Muslimin.” (HR Bukhari No: 5120)

KURSUS ASAS PERBIDANAN LELAKI DAN WANITA (22-24 JUN 2023)

Melalui Unit Ekonomi dan Usahawan pada 22-24 Jun telah mengadakan Kursus Asas Urutan dan Perbidanan dengan dihadiri oleh 22 orang peserta. Bidang perbidanan merupakan satu cabang klauster perkhidmatan yang perlu diberikan pengiktirafan dan bukan hanya dijadikan sebagai profession sampingan, sebaiknya bidang ini boleh dikomersialkan sebagai kerjaya profesional.
Justeru itu, Unit Ekonomi dan Usahawan merasakan bidang perbidanan seharusnya lebih berdaya saing dengan memastikan peserta kursus yang dianjurkan ini akan diberikan pengikataran dan pensijilan dalam bidang asas urutan dan perbidanan supaya khidmat mereka dipercayai. Melalui syarikat Eidele Musleema Beauty Spa yang dilantik, pihak syarikat memainkan peranan dalam memberi pengetahuan asas urutan kepada peserta dan mengenali sistem tubuh mengikut ilmu sains. Ini kerana, mengenali dan menguasai sistem tubuh adalah penting kepada pengamal perkhidmatan perbidanan.
Kursus Asas Perbidanan Lelaki dan Wanita yang telah diadakan pada 22-24 Jun 2023 (Khamis-Sabtu) di Hotel Amansari, Bandar Penawar telah dirasmikan oleh En Mohd Fakharur Razziy Bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan. Turut serta Puan Nurimah Binti Nuredin, Pengasas Urutan & Perbidanan Kaedah 100 Tahun Lampau.
Seramai 22 peseta telah mengikuti kursus ini dengan diberikan modul perbidanan yang lengkap bagi menjadi bidan profesional dan diiktiraf. Tahniah dan syabas kepada semua peseta.

EKSPEDISI BUKIT BELUNGKOR

Bersempena dengan penyediaan Travelog Eko Pelancongan Pulau Tanjung Surat, satu ekspedisi mendaki Bukit Belungkor telah di anjurkan oleh Bahagian Pelancongan KEJORA yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA menjelajah & meneroka hutan belantara bersama-sama sebahagian pengurusan & anggota KEJORA.
Syabas kepada semua yang berjaya sampai ke puncak!

KEJORA FC JOHAN PIALA SUMBANGSIH LIGA KOTA TINGGI

TAHNIAH!!
Syabas & Tahniah diucapkan kepada KEJORA FC yang telah dinobatkan sebagai JOHAN di dalam Piala SUMBANGSIH Liga Kota Tinggi 2023.

LAWATAN PEJABAT BELANJAWAN NEGARA, KEMENTERIAN KEWANGAN DAN KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE PROJEK PEMBANGUNAN KEJORA

Pejabat Belanjawan Negara (NBO), Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Puan Rohayu binti Mohamad, Ketua Penolong Pengarah dan En. Aiman bin Hassan, Penolong Pengarah NBO bersama En Mohd Nazri bin Mohd Deni, Setiausaha Bahagian Kewangan, KKDW telah mengadakan Lawatan Projek Pembangunan di bawah KEJORA pada 16 Jun 2023. Turut serta adalah Pn. Zuraida binti Mohd Jalal dan Pn. Wahidah binti Ab Wahab dari Bahagian Kewangan, KKDW.
Delegasi Pejabat NBO dan Bahagian Kewangan KKDW telah disambut mesra Pn. Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA bersama Pengurus Bahagian dan Ketua Unit serta Pegawai KEJORA. Sesi lawatan sehari dimulakan di Bandar Tenggara yang merangkumi lawatan ke Kawasan Inkubator KEJORA Bandar Tenggara dan Loji Kumbahan Taman Anggerik. Seterusnya, delegasi telah dibawa ke Projek Ladang Fertigasi Sg. Mupor yang sedang dalam pelaksanaan dan cadangan pelaksanaan bagi fasa 2.
Sesi lawatan diteruskan di kawasan Sedili yang melibatkan lawatan ke Projek Tanaman Mengkuang, Projek Infrastruktur Perumahan Tuan Seh Fasa 2C dan Cadangan Tuan Seh Business Centre. Siri lawatan terakhir pula melibatkan cadangan pembangunan di Bandar Penawar yang merangkumi Cadangan Ekopelancongan Tg. Lompat dan Cadangan Pembangunan Agropelancongan Sg. Chemaran 2.
Keseluruhan Lawatan projek ini melibatkan pelaksanaan Projek Pembangunan KEJORA dan permohonan projek pembangunan KEJORA bagi Rolling 4, RMKe-12. Pihak KEJORA dan delegasi juga berkongsi pandangan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan KEJORA yang sedang dan akan dilaksanakan.

KURSUS TERNAKAN BLACK SOLDIER FLY (BSF) KEJORA TAHUN 2023

Harga makanan ternakan semakin hari semakin mahal. Dengan adanya Teknologi Serangga Black Soldier Fly (BSF), peserta boleh menghasilkan makanan ternakan organik tanpa perlu membeli makanan luar dan boleh menjana keuntungan lebih tinggi.
KEJORA menerusi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) telah menganjurkan Kursus Ternakan Black Soldier Fly (BSF) bermula dari 12 hingga 14 Jun 2023 di
National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM), Serdang, Selangor. Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Kampung, Wakil-Wakil Koperasi, pengusaha-pengusaha pertanian serta penduduk di sekitar wilayah KEJORA.
Kelebihan BSF ialah ia mampu menukar semua jenis sisa organik kepada sumber protein dan lemak yang boleh dijadikan sebagai makanan ternakan. Penternakan larva BSF bukan sahaja dapat memelihara alam sekitar malah mampu menjana pendapatan dengan penghasilan input pertanian tempatan yang mampan.
Semoga dengan ilmu yang diperolehi dari kursus ini menjadi pemangkin kepada semangat kepada pengusaha pertanian wilayah KEJORA.
Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua peserta.

KURSUS TEAMBUILDING BERSAMA AKRAB KEJORA TAHUN 2023

Seramai 40 orang anggota KEJORA telah mengikuti Kursus Teambuilding Bersama AKRAB KEJORA yang telah diadakan pada 13 hingga 15 Jun 2023 bertempat di Agrotek Garden Resort dengan kerjasama penceramah dari syarikat Triple A Training Consultancy.
Kursus ini dilaksanakan dengan kerjasama dari anggota AKRAB KEJORA bertujuan untuk membudayakan semangat bekerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan anggota KEJORA.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada anggota KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan jayanya.
#JubliEmasKEJORA

SUKAK 2023 DITUTUP DENGAN RASMINYA

Sukan Kelab Anggota KEJORA 2023 (SUKAK2023) telah pun melabuhkan tirai dengan majlis penutupan yang telah diadakan pada 15 Jun 2023 (Khamis) di Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis penutupan SUKAK dibuat bersekali dengan Jamuan Hi-Tea SUKAK2023 dan telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA. Majlis ini turut dihadiri oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), En. Mus-Irwan bin Hj. Misrom, Naib Pengerusi KAK, Pengurus-Pengurus Bahagian dan Ketua-Ketua Unit KEJORA, Anggota KEJORA termasuk Anggota Anak Syarikat KEJORA.
Di dalam majlis ini, telah disampaikan kesemua hadiah kepada pemenang dan Rumah Kuning Si Helang telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan bagi SUKAK 2023.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Sukan Kelab Anggota KEJORA adalah salah satu medan mencungkil bakat kepada semua anggota KEJORA dan anak syarikat KEJORA bagi menghadapi beberapa kejohanan pada masa akan datang.
“Hidup memerlukan pengorbanan.
Pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan Ketabahan.
Ketabahan memerlukan keyakinan.
Keyakinan pula menentukan kejayaan.
Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.”