PENGURUS BESAR KEJORA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH KOTA TINGGI & GURU SMK PENGERANG UTAMA

13 MAC 2023 I SELASA
YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA telah menerima kunjungan hormat wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan guru SMK Pengerang Utama di bilik Pengurus Besar KEJORA, Bandar Penawar.
Kunjungan hormat ini adalah sempena program-program berikut:-
1. Majlis Anugerah Kualiti & Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi oleh PPD Kota Tinggi
Penyerahan sijil penghargaan kepada Pengurus Besar KEJORA atas kerjasama dan sumbangan bagi meraikan Majlis Anugerah Kualiti & Inovasi PPD Kota Tinggi yang telah diadakan pada 31 Januari 2023 di Dewan SJKC Mawai, Kota Tinggi.
2. Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa, Seoul International Invention Fair 2022 oleh SMK Pengerang Utama
SMK Pengerang Utama telah berjaya mengharumkan nama negara dengan mendapat Anugerah Bronze di Seoul International Invention Fair 2022 bertempat di COEX Convention Centre, Gangnam-Gu, Seoul, Korea Selatan pada 14 hingga 19 November 2022 dengan produk inovasi ciptaan 5 pelajarnya bertajuk Banana Stem Fiber Craft Technology (BSF CrafTech). Pertandingan ini melibatkan 477 penyertaan dari 16 negara berbeza.
Tahniah atas komitmen serta kejayaan yang ditempa. Pengurusan KEJORA mengucapkan tahniah atas kedua-dua program yang telah dijayakan.
Kejayaan tidak akan datang dengan mudah, tanpa adanya cabaran dan halangan. Hanya mereka yang berusaha dengan cekal dan tabah akan dijanjikan kejayaan yang sebenar.

LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID BIN HAMIDI. TIMBALAN PERDANA MENTERI & MENTERI KEMAJUAN DESA & WILAYAH (KKDW) KE KEJORA

Pada hari ini, 12 Mac 2023, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) telah mengadakan lawatan kerja ke KEJORA.
Sesi lawatan kerja ini dimulakan dengan taklimat pembangunan KEJORA oleh Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus kepada semua deligasi. Taklimat ini merangkumi keseluruhan pencapaian KEJORA, fungsi, visi, misi serta hala tuju KEJORA.
Di dalam ucapan balas, YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi mengatakan keterujaan untuk sampai di KEJORA. Beliau menyatakan bahawa, pembangunan yang telah dibangunkan oleh KEJORA selama lebih 50 tahun adalah satu pencapaian yang terbaik dan ianya perlu diperluaskan ke keseluruhan Daerah Kota Tinggi dan Kluang. Beliau berharap, agar diadakan satu bengkel khas bagi memperincikan perkara ini. Selain itu juga, KEJORA dilihat telah mula mengorak langkah ke hadapan dengan menyelesaikan isu permasalahan kutipan sampah di luar bandar.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri juga menegaskan bahawa perlunya ada Pusat Pengajian KEJORA yang boleh dibuat dan dibina mungkin bersama pihak PETRONAS yang telah diberikan mandat dalam pembangunan pembelajaran TVET. Segala aspek merangkumi, pembangunan pelancongan, pertanian dan usahawan perlu kepada perancangan jangka panjang demi merealisasikan pembangunan tekno-usahawan di luar bandar.
Di dalam rangka lawatan ini juga, YAB Dato’ Seri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW menyampaikan sumbangan kepada 9 penerima sumbangan yang merangkumi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Transformasi Kualiti Produk (PTKP). Sebelum itu, telah diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara PERTUBUHAN RAKAN AKTIF PARLIMEN PENGERANG bersama Pejabat Kesihatan Daerah dan ASIA COLLEGE OF EXERCISE AND SPORTS MEDICINE.
Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) YB Dato’ Sri Azalina binti Othman, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Setiausaha Kerajaan Johor, YB. Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Ybhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Tuan Mas Rizal bin Hilmi, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Pegawai Daerah Kluang, serta tetamu jemputan yang lain.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi atas kesudian mengadakan lawatan kerja ke KEJORA.

KURSUS TAKTIKAL PEMASARAN DAN JUALAN DIGITAL VIRAL BAGI PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA

Pukat rantau telah tersadai,
Pukat dimuat dalam jongkong,
Adat merantau mencari pandai,
Adat berniaga mencari untung.
Teknologi telah mengubah cara usahawan di dalam wilayah KEJORA untuk menjalankan perniagaan khususnya bagi meningkatkan jualan ke tahap optimum. Kehadiran produk atas talian telah menjadi salah satu saluran penting untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan, oleh itu, selaras dengan inisiatif tersebut, Kursus Taktikal Pemasaran da Jualan Digital Viral Bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dilihat dapat meningkatkan kemahiran dalam pengiklanan selain membantu mengimbangi kemungkinan apabila bersaing untuk perniagaan.
Justeru itu, KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan bersama-sama Persatuan Peruncit dan Pembekal Malaysia (MYBUSRA) telah mengadakan Kursus Taktikal Pemasaran dan Jualan Digital Viral Bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana pada 9-11 Mac 2023 (Khamis-Sabtu) bertempat di Holmes Hotel, Gelang Patah, Johor Bahru. Seramai 20 usahawan wilayah KEJORA dari kategori makanan, perkhidmatan dan kraf telah menyertai kursus ini. Kursus ini juga merupakan kesinambungan kepada peserta yang telah menerima geran dan bantuan daripada pihak KEJORA bagi tahun 2022&2023.
Kursus ini telah sempurnakan oleh En Mohd Fakharur Razziy Bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan. Turut bersama En Riswardi Bin Abd Razak, Yang Dipertua MYBUSRA.
TAHNIAH DAN SYABAS.

BENGKEL KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) TAHUN 2023

Seramai 50 orang anggota KEJORA telah mengikuti Bengkel Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Tahun 2023 yang telah diadakan dari 7 hingga 9 Mac 2023 bertempat di Hotel Desaru Penawar. Bengkel ini diadakan dengan kerjasama penceramah dari KZK Consulting yang disampaikan oleh Encik Kamaruzzaman bin Kasim selaku Perunding Khidmat Nasihat Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) KEJORA.
Bengkel ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman, pengetahuan pemantapan dan penambahbaikan ilmu mengenai Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK).
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua anggota KEJORA yang telah menjayakan bengkel ini dengan jayanya.

KURSUS PENGENDALIAN MAKANAN PEMBANTU OPERASI KEJORA

Berlangsungnya Kursus Pengendalian Makanan Pembantu Operasi KEJORA yang telah diadakan pada 7 hingga 9 Mac 2023 bertempat di Eco Tree Hotel, Melaka dengan kerjasama penceramah dari syarikat AZM Resources iaitu YBhg. Dato’ Harun Bin Bintang. Alhamdullilah, kursus ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Puan Marlina binti Amir selaku Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Sepanjang kursus ini dijalankan, anggota akan mengikuti pelbagai slot taklimat dan amali seperti pengenalan kepada tatacara pengendalian makanan dan minuman, teknik penyajian makanan mutu perkhidmatan dan pengendalian makanan yang berkesan.
Dari utara terus ke selatan,
Singgah ke Melaka membeli barang;
Ilmu dituntut usaha berterusan,
Prestasi meningkat insan cemerlang.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada anggota KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan jayanya.
#JubliEmasKEJORA

PROGRAM FAMTRIP “KEMBARA KEJORA-UNVEILS ITS WONDERS 2023”

Bermual dari 3 hingga 6 Mac 2023, Bahagian Pelancongan KEJORA dengan kerjasama pihak Tourism Malaysia Wilayah Selatan telah menganjurkan program Famtrip Kembara KEJORA yang melibatkan seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada Media Influencer dan Content Creator dari seluruh Malaysia.
Dalam program ini, peserta Famtrip dibawa melawat dan mengenali keunikan produk-produk pelancongan Kejora termasuk keunikan budaya serta makanan tradisional. Beberapa aktiviti menarik seperti aktiviti berkayak, demonstrasi Pembuatan Jong, Nasi Lemak Daun Simpoh, Kuih Tekap dan bermalam bersama keluarga angkat di Homestay Kejora telah memberikan pengalaman manis buat peserta famtrip.
Semoga dengan penganjuran program ini akan dapat meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang kewujudan Produk Pelancongan Wilayah Kejora dan seterusnya meningkatkan kehadiran pengunjung ke Wilayah KEJORA sekaligus meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar.
#PenerajuTerasKemakmuran

PROGRAM ONBOARDING KEJORA BAGI PERSONEL MySTEP LANTIKAN TAHUN 2023

Program Onboarding KEJORA Bagi Personel MySTEP Lantikan Tahun 2023 telah berlangsung pada 5-6 Mac 2023.
Program ini bertujuan untuk memberikan maklumat dan pengetahuan tentang fungsi-fungsi KEJORA, peraturan dan pekeliling, etika dan integriti dan motivasi kepada semua Personel MySTEP KEJORA lantikan tahun 2023.
Semua Personel MySTEP KEJORA turut berpeluang mendengar amanat dan beramah mesra bersama YBhg Dato’ Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA dan juga Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan).

LAWATAN IRING KEJORA SEMPENA HARI KRAF KEBANGSAAN 2023

Program Lawatan Iring oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ke Karnival Kraf Kebangsaan 2023 (HKK2023) Di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Lawatan ini disertai 40 orang anggota KEJORA yang diiringi oleh Pegawai Kraf Johor.
Anggota KEJORA Yang terlibat telah di bawa ke booth 6 orang Usahawan Di bawah Bimbingan KEJORA yang menghasilkan pelbagai produk iaitu Puan Norli dari Bandar Penawar (Kraf Eco Print), Puan Maimunah dari Sedili(Kraf Batik), Puan Jamilah dari Kampung Sg. Seluyut (Kraf Toy), Puan Nasha dari Bandar Penawar (Kraf Batik), Puan Normah dari Taman Sri Lambak (Kraf Batik & Eco print) Dan En. Ezly dari Bandar Tenggara (Kraf Eco Print).
Lawatan ini juga dapat diperkenalkan kepada anggota KEJORA mengenai satu teknik pembuatan kraftangan adalah sebuah hasil yang berkualiti dan masih menarik minat kepada semua golongan.

PENYERAHAN KIT BANTUAN BENCANA KEJORA KEPADA DAERAH KOTA TINGGI & DAERAH KLUANG

5 Mac 2023 (Ahad), Kota Tinggi & Kluang – KEJORA yang diwakili oleh Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia, Encik Mohd Ashek bin Mohd Hassan, serta diiringi Penolong Pengurus Kanan, Encik Noorsaifulizuan bin Nordin, telah menyerahkan 160 unit Kit Bantuan Bencana KEJORA iaitu sebanyak 80 unit bagi Daerah Kota Tinggi dan 80 unit lagi bagi Daerah Kluang.
Penyerahan kit banjir di Daerah Kota Tinggi telah diserahkan kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pejabat JKM Kota Tinggi manakala bagi Daerah Kluang telah diserahkan kepada wakil JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKC Kahang, Kluang.
Semoga Kit Bantuan Bencana tersebut dapat membantu memudahkan urusan mangsa-mangsa bencana banjir yang menetap di PPS berkaitan.
Semoga juga semua urusan mangsa dan keluarga dipermudahkan oleh-Nya.

KEJORA KE FIESTA EEBU & BAYI DAN PRODUK USAHAWAN

Sedia maklum,program keusahawanan KEJORA menjadi keutamaan di dalam memacu ke arah KEJORA 2.0. Kali ini pihak KEJORA telah diberikan peluang berkongsi pengalaman dan promosi aktiviti keusahawanan di luar wilayah mereka dalam membantu usahawan meningkatkan jaringan perniagaan,pengalaman dan ilmu baharu dalam pemasaran.
Program Fiesta EEBU & Bayi yang dianjurkan oleh pihak pengurusan Malakat Mall, Cyberjaya telah mengundang KEJORA dengan penglibatan beberapa usahawan yang terdiri daripada Persatuan Usahawan dan Peniaga Kejora (Pupuk), Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Kejora(PITRA) dan usahawan Program PROSPEK Jorak Panchor Muar serta sesi taklimat program pembangunan ekonomi dan usahawan KEJORA yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran,Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA.
Program ini telah dirasmikan oleh Datin Seri Shamshida Binti Taharin, Penaung Support Group Cancer.
KEJORA sentiasa komited dan bersedia dalam mempergiatkan pertumbuhan ekonomi para usahawan selepas pandemik covid19. Selain pameran dan jualan yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 3-5 Mac 2023 (Jumaat-Ahad) , usahawan KEJORA juga turut diberikan pendedahan dan peluang perniagaan bersama-sama usahawan dan vendor perniagaan daripada Malakat Mall. Semoga ianya memberi manfaat kepada para peserta.
Tahniah, dan syabas kepada semua usahawan yang terlibat.