PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN 2023 – KIDS SWIMMING CLASS WILAYAH KEJORA

Program Pembangunan Bakat KEJORA telah dimulakan dengan perlaksanaan Kids Swimming Class Wilayah KEJORA yang bermula pada 12 Ogos 2023 di Kolam Renang, Club House Desaru Utama.
Program ini melibatkan 60 orang peserta yang terdiri dikalangan 7 hingga 12 tahun.
Tempoh Kids Swimming Class Wilayah KEJORA adalah selama 10 sesi perjumpaan dengan pelatih akan dilatih oleh jurulatih dalam bidang yang telah ditetapkan.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN 2023 – KELAS MEMANAH WILAYAH KEJORA

Program Pembangunan Bakat KEJORA telah dimulakan dengan perlaksanaan Kelas Memanah yang bermula pada 11 Ogos 2023 di Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 2.
Program ini melibatkan 30 orang peserta yang terdiri dikalangan 7 hingga 12 tahun.
Tempoh Kelas Memanah Wilayah KEJORA adalah selama 10 sesi perjumpaan dengan pelatih akan dilatih oleh jurulatih dalam bidang yang telah ditetapkan.

LAWATAN KE AGENSI ANGKASA MALAYSIA, KUALA LUMPUR

Pada 11 Ogos 2023 (Jumaat), pihak KEJORA melalui Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Bahagian Hartanah dan Bahagian Teknologi Maklumat telah mengadakan lawatan ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menimba ilmu dalam tatacara pengurusan data dan maklumat melalui aplikasi MALAYSIA MODERN AGRO FARMING SYSTEM (MyMAFS) yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia.
Lawatan ini telah dihadiri oleh Cik Siti Fazueri binti Radzali, Pengurus Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datin Siti Azni binti Zakaria, Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Yusri bin Mohd Yasir, Penolong Pegawai Rancangan Tanah dan Encik Syafiq bin Mohd Yusof, Penolong Pegawai Tanah. Manakala taklimat berkenaan Agensi Angkasa Malaysia dan sistem MyMAFS telah disampaikan oleh Y.Bhg. Encik Adnan bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (R&D), Agensi Angkasa Malaysia.
Terima kasih diucapkan kepada Agensi Angkasa Malaysia yang sudi menerima lawatan dari KEJORA ini. Semoga lawatan ini menjadi pembuka jalan kepada kerjasama antara KEJORA dan MYSA pada masa akan datang.

KURSUS TERNAKAN KELULUT (HAIF SERAMIK)

Industri ternakan lebah kelulut di Malaysia dilihat amat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pengusaha, sama ada diusahakan secara kecil-kecilan mahupun secara komersial.
KEJORA menerusi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama SIRIM Berhad telah menganjurkan Kursus Ternakan Lebah Kelulut (Haif Seramik) bermula 8 hingga 10 Ogos 2023 di
Ibu Pejabat SIRIM Berhad, Seksyen 2 Shah Alam, Selangor. Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Kampung, Wakil-Wakil Koperasi, pengusaha-pengusaha pertanian serta penduduk di sekitar wilayah KEJORA.
Kelebihan teknologi haif seramik ini adalah mempunyai jangka masa hayat lebih lama berbanding haif kayu kerana tidak akan reput serta mengurangkan pembentukan kulat dan algea. Pihak SIRIM Berhad juga memperkenalkan beberapa teknologi lain seperti Pam Madu Pintar yang mana ianya dapat menyukat berat madu secara terus serta menggunakan teknologi RFID tag untuk penentuan rekod setiap haif.
Semoga dengan ilmu yang diperolehi dari kursus ini menjadi pemangkin semangat kepada pengusaha pertanian wilayah KEJORA.
Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua peserta.

GOTONG ROYONG PERDANA KEJORA KE ARAH PERSIJILAN EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA) TAHUN 2023

10 Ogos, Bandar Penawar – Program Gotong-Royong Perdana KEJORA ke Arah Pensijilan Ekosistem Konduksif Sektor Awam (EKSA) pada pagi ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA.
Program ini merupakan simbolik kepada gerak kerja KEJORA ke arah audit pensijilan EKSA dan diadakan secara serentak melibatkan semua zon bagi mengindahkan ruang kerja para anggota agar kelihatan lebih kondusif dan berkualiti sekaligus mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja.
Turut serta Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Encik Daud bin Abdul Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) serta Pengurusan KEJORA .
“Persekitaran Kondusif Warga Kreatif Minda Inovatif”

TAHNIAH PASUKAN KAROM KEJORA

Tahniah Pasukan Karom KEJORA atas kemenangan sempena perlawanan persahabatan antara KEJORA & RISDA.

PROGRAM HAWA MADANI WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

Bermula dari 5 hingga 6 Ogos 2023 yang lalu, dengan bertemakan “KASIH WANITA”, telah berlangsung Program Hawa Madani Wilayah KEJORA Tahun 2023 di Perkarangan & Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah KEJORA. Di dalam ucapan perasmian, YB Datin Paduka Hjh Hazlina binti Jalil mengucapkan terima kasih kepada KEJORA kerana telah mengadakan pelbagai aktiviti dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi kaum hawa terutama di dalam Daerah Kota Tinggi & Kluang. Beliau juga mengucapkan tahniah dan bangga kepada KEJORA kerana berjaya mengumpulkan wanita di Wilayah Johor Tenggara untuk bersatu dalam memastikan program berjalan dengan lancar.
Di dalam majlis ini, beberapa penyerahan telah disampaikan antaranya, penyerahan sumbangan kepada Surau dan Masjid yang berdaftar di DUN Penawar, penyampaian Geran Projek Pasar Suri Wilayah KEJORA kepada Persatuan Muslimah Prihatin Pengerang berjumlah RM5,000.00, Penyampaian Geran Pertubuhan Wanita Wilayah KEJORA berjumlah RM10,000.00 kepada sertiap persatuan merangkumi Pertubuhan PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA, Persatuan Ibu Tunggal Wilayah KEJORA (PITRA) dan Persatuan Muslimah Prihatin Pengerang (MUSLIMAH). Selain itu juga, turut disampaikan adalah pemenang kepada pertandingan Aerofiton, Pertandingan Mewarna Batik serta pelbagai pertandingan lain.
Terlebih dahulu, ketibaan Yang Berhormat Datin Paduka telah disambut dengan paluan Hadrah dari Wanita Kampung Johor Lama. Kelainannya pada kali ini, KEJORA telah menampilkan artis dari kaum wanita iaitu Elyana dan Chombi bagi mezahirkan Malam Hawa Madani.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah, Yang Berhormat Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, Puan Hajah Zihan binti Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, wakil-wakil PUSPANITA, Pengurusan Kanan KEJORA, Pengerusi Masjid dan Surau DUN Penawar, kaum hawa Wilayah KEJORA dan lain-lain lagi.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan Program Hawa Madani Wilayah KEJORA Tahun 2023 dan semoga kita akan berjumpa lagi di program yang lain.
#PenerajuTerasKemakmuran

MAJLIS PENUTUPAN HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2023

Kuching, Sarawak, 5 Ogos 2023 – Majlis penutup Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Pada penyertaan kali ini, Muzium Nelayan Tanjung Balau terus mengekalkan pencapaian membanggakan di persada negara apabila muncul Naib Juara Reruai Pameran Terbaik Menepati Tema “Muzium, Kemampanan & kesejahteraan” dalam Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023.
Dengan menampilkan konsep “Yok Ngombeh @ Kampung Nelayan”, Muzium Nelayan pada kali ini berjaya menarik perhatian juri melalui persembahan pameran secara “living museum” iaitu aksi nelayan bermain sukan rakyat serta jamuan menu tradisi nelayan sekaligus mengulangi kejayaan pada tahun lalu di negeri Kelantan.
Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua anggota yang menjayakan!!
Semoga terus mengekalkan kecemerlangan dalam sambutan Hari Muzium Antarabangsa tahun 2024 yang dijangka akan diadakan di Pulau Pinang!!

MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU KE SARAWAK

30 JULAI 2023 I ISNIN I 1.00 PETANG
Pada waktu ini, KEJORA melalui Muzium Nelayan Tanjung Balau sedang menyertai Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang diadakan di Borneo Culture Museum, Kuching, Sarawak.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
YAB Tan Sri Premier Sarawak telah meluangkan masa di reruai Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Pada tahun ini, Muzium Nelayan Tanjung Balau membawakan konsep “Yok! Ngombe! @ Warung Nelayan” di mana pengunjung akan dapat melihat secara ‘live” kehidupan masyarakat nelayan sambil dihidangkan dengan jamuan kudapan tradisional.
Untuk makluman, Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 ini diadakan bermula dari 31 Julai hingga 5 Ogos 2023.
Jom bersama² berikan sokongan anda dengan mengundi booth Muzium Nelayan sebagai booth terbaik HMA2023.
Sila tekanlink:
No. 16 : MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU https://shorturl.at/asu69
Terima kasih.

KEJORA TERUS MEMPERKASAKAN KONSEP PELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI (COMMUNITY-BASED TOURISM) MELALUI PENGANJURAN KURSUS HOMESTAY SERVICES QUALITY@KEJORA 2023

KEJORA melalui Bahagian Pelancongan KEJORA dengan kerjasama Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (KOLONEK) telah menganjurkan Kursus Homestay Services Quality@KEJORA 2023 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 25 hingga 27 Julai 2023 bertempat di Homestay Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Kursus ini telah memberi bimbingan dan pendedahan kepada para peserta berkaitan pembangunan pakej yang telah disediakan oleh pihak koperasi seperti program keluarga angkat, demontrasi masakan, sukan rakyat, mengoca ikan, perkongsian pengalaman, program senaman, ronda-ronda kampung dan malam kebudayaan.
Homestay Kampung Lonek telah dipilih sebagai tempat kursus untuk dijadikan sebagai penanda aras (benchmarking) bagi mempelajari dan berkongsi segala pencapaian dan pengalaman yang ada dengan pelbagai anugerah yang diperolehi seperti Anugerah Homestay Terbaik Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2007, Anugerah Homestay Terbaik Negeri Sembilan Top 10 Malaysia 2010, ASEAN Homestay Awards 2016 dan Best Award World Homestay Organization Summit For Tourism 2019 serta penerima geran Program Desa Lestari Tahun 2014.
Kursus ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA selaku perasmi majlis penutup. Turut hadir Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Pelancongan dan Encik Mohd Faiz bin Mohd Zin, Pengerusi Koperasi Homestay Lonek Jempul Berhad.
Pihak Pengurusan KEJORA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 28 peserta yang terlibat secara langsung dalam menjayakan kursus ini yang terdiri daripada :
i. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Surat;
ii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Sedili;
iii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Serindit;
iv. Jawatankuasa Homestay Kg. Mawai Baru;
v. Jawatankuasa Homestay Kg. Johor Lama; dan
vi. Anggota KEJORA yang terpilih.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan pengurusan dan perkhidmatan homestay dan pengusaha pelancongan wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing.