KEJORA SOCCER KIDS

SESI LATIHAN MINGGUAN | JUMAAT – 14 OKTOBER 2022
Sekitar latihan mingguan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor

LAWATAN PENILAIAN SEMULA DAN PENDAFTARAN BARU PESERTA PROGRAM PENGALAMAN HOMESTAY MALAYSIA DI HOMESTAY KEJORA

Sesi Penilaian semula dan pendaftaran baru Homestay di bawah seliaan KEJORA oleh MOTAC, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Pejabat Kesihatan Kota Tinggi dan Persatuan Homestay Negeri Johor telah diadakan pada 12 dan 13 Oktober 2022 yang lalu.
Lawatan ini adalah bertujuan untuk memperbaharui Sijil Pengalaman Homestay Malaysia. Homestay Wilayah KEJORA ini melibatkan Homestay Kg Mawai Baru, Kg Johor Lama dan Kg Belukar Durian / Sedili Kecil. Sebanyak 34 rumah homestay telah terlibat dalam sesi penilaian pada kali ini.
Semoga dengan adanya penilaian ini, ianya menjadi asbab kehadiran pengunjung/pelancong untuk merasai keseronokan hinggap desa di Wilayah KEJORA.

PROGRAM PEMBANGUNAN PLATFORM CANVA UNTUK BELIA WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

Bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana pada hari ini pihak KEJORA telah berjaya melaksanakan Program Pembangunan Platform Canva Untuk Belia Wilayah KEJORA Tahun 2022 yang bermula dari 10 hingga 12 Oktober 2022 di New York Hotel, Johor Bahru.
Antara objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan belia di Wilayah KEJORA mempunyai daya kreativiti dalam menghasilkan maklumat yang menarik serta menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam menguasai proses editing serta suntingan grafik yang menarik melalui aplikasi Canva.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa, En. Sh. Khayulzahri bin Sh. A.Raof.
Tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga dengan ilmu yang diberikan ini, akan memberi manfaat kepada semua peserta.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT DAERAH KOTA TINGGI

KEJORA telah mengambil bahagian dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1444H Peringkat DAERAH Kota Tinggi.
Timbalan Pengurus Besar ( Pembangunan), En Daud bin Abd Rahman telah mengetuai kumpulan KEJORA dengan diikuti oleh Pengurusan Kanan serta anggota KEJORA.
Dengan tema, Keluarga Johor, Pemangkin Pembangunan Negeri, ianya juga menjadi aspirasi kepada setiap wadah pembangunan terutama pembangunan dalam Wilayah KEJORA.
“Sesungguhnya Orang Yang Paling Dekat Denganku Pada Hari Kiamat Adalah Orang Yang Paling Banyak Berselawat Kepadaku” Al- Nasa’i & Ibnu Hibban.

LAWATAN PEMANTAUAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (KPLB) KE PROJEK PEMBANGUNAN KEJORA

3 OKTOBER 2022 (ISNIN)
Bahagian Penyelarasan Dan Pemantauan, KPLB hari ini telah berkesempatan untuk melawat beberapa pelaksanaan Projek Pembangunan KEJORA di sekitar Bandar Tenggara, Bandar Petri Jaya dan Bandar Penawar, Johor yang diketuai Ir. Mohd Ezamudin bin Zulkifli Chan, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) yang hadir bersama-sama En. Mohd Hanafi bin Mohd Taib dan En. Shah Imran Bin Rosalie, Penolong Setiausaha (PSU), Bahagian Penyelarasan Dan Pemantauan, KPLB.
Sesi Pemantauan ke Projek Pembangunan KEJORA ini dimulakan dengan Lawatan Ke Pusat Penjagaan Dan Pengupayaan Anak-Anak Yatim Di Bandar Tenggara dan seterusnya ke Projek Perumahan Mampu Milik Di Bandar Petri Jaya. Siri lawatan di sebelah petang pula melibatkan pemantauan ke atas pelaksanaan projek Menaiktaraf Kemudahan Chalet Nelayan Tanjung Balau di Bandar Penawar.
Pihak KEJORA turut memberi maklumbalas status terkini serta pelan mitigasi pelaksanaan projek dan akan terus komited dalam memberikan khidmat yang

terbaik

kepada rakyat.

PROGRAM “OUTREACH” SIMPOSIUM PEMBIMBING RAKAN SEBAYA TAHAP BESTARI KEBANGSAAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH ZON SELATAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA TAHUN 2022

Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa (PSPD) KEJORA telah bersama-sama di dalam Program “Outreach” Simposium Pembimbing Rakan Sebaya Tahap Bestari Kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022 yang diadakan dari 30 September hingga 3 Oktober di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi. Program ini juga akan diadakan di 17 buah sekolah di Wilayah KEJORA.
Tujuan program ini adalah untuk menonjol, menggilap bakat dan nilai kepimpinan diri murid serta menghargai perhubungan sosial, berani dan mencabar keupayaan diri murid yang akhirnya memberi kesan positif kepada pembinaan karekter murid itu sendiri.
Justeru, dalam proses melengkapkan pengetahuan murid untuk membantu rakan di sekeliling mereka, mereka perlu diberi latihan khusus serta dilatih dengan kemahiran-kemahiran memimpin supaya khidmat yang mereka berikan lebih berkesan.
Dengan moto “Minda Sihat, Sekolahku Sejahtera”, program ini telah melibatkan lebih dari 20 buah sekolah di Zon Selatan. Tahniah KEJORA ucapkan kepada semua Pembimbing Rakan Sebaya Tahap Bestari Kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan.

PENGUSAHA HOMESTAY WILAYAH KEJORA TERUS DIBERI BIMBINGAN MELALUI PENGANJURAN KURSUS MENTORING AND COACHING HOMESTAY WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

Pada 30 September hingga 2 Oktober 2022, pihak KEJORA melalui Bahagian Pelancongan telah menganjurkan Kursus Mentoring and Coaching Homestay Wilayah KEJORA (Kg. Mawai Baru dan Kg. Johor Lama) Tahun 2022 bertempat di Copthorne Hotel Cameron Highlands.
Seramai 14 orang peserta yang meliputi 6 pengusaha Homestay Kg. Johor Lama dan 8 pengusaha Homestay Kg. Mawai Baru telah dipilih mengikuti kursus ini di bawah bimbingan Deklamasi Solution Services.
Kursus ini yang akan berlanjutan selama dua bulan memberi penekanan terhadap bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengusaha-pengusaha homestay tentang cara kaedah pengurusan homestay yang betul yang meliputi Persediaan Psikologi, SWOT peserta Homestay, Persediaan Fizikal (Infrastruktur), Sesi hands On, Pelan pemasaran Homestay dan Rancangan Jangka Panjang.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) YBrs. Encik Daud bin Abd Rahman selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Turut hadir ialah Pengurus Pelancongan, Puan Suraya Hani binti Sharan.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan homestay wilayah KEJORA serta bertindak sebagai agen pelancongan di kawasan kampung masing-masing agar lebih maju dan berkesan.

PROGRAM BEACH CLEAN UP DAY

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor dengan kerjasama Unit Pengurusan Fasiliti (UPF) KEJORA telah bersama-sama menganjurkan program Beach Clean Up Day pada 2 Oktober 2022 di Pantai Tanjung Balau.
Program telah dirasmikan oleh Pengarah Keselamatan Negeri Johor, Encik Mohd Tarmizi bin Dan. Seramai lebihkurang 120 orang peserta dari pelbagai agensi seperti KEJORA, BOMBA, Jabatan Penerangan Malaysia, APM, Kejora Hospitality Sdn. Bhd, Penduduk Kampung Nelayan Tanjung Balau serta guru-guru dan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) telah terlibat dalam program ini.
Bermatlamatkan menjaga, memulihara dan memanfaatkan sumber alam sedia ada serta mempertahankan kelestarian untuk kesejahteraan sejagat, program ini juga memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat secara umum, menyemai sifat mulia, toleransi dan muafakat dalam melahirkan insan yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada negara. Selain itu, ia juga menerapkan nilai-nilai murni dalam pembentukan individu yang beretika dan bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran akan tanggungjawab sosial di samping mengukuhkan hubungan sesama agensi yang terlibat.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Putrajaya, Encik Abdul Rahman bin Abdul Halim serta Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor, Encik Baniamin bin Abu Bakar yang telah mamberikan sedikit taklimat berkaitan Jenayah Memperdagangkan Manusia dan Penyeludupan Migran.
Disamping itu, Muzium Nelayan Tanjung Balau telah sudi menerima semua peserta yang terlibat dalam program ini untuk memasuki muzium serta melihat dengan lebih dekat semua artifak yang berada di Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Semoga hubungan yang dijalinkan ini, memberikan seribu makna serta menjadi jambatan kepada hubungan strategik yang lebih utuh. Tahniah semua.

FESTIVAL ISLAM & HALAL ANTARABANGSA JOHOR (FIJO 2022) JOHOR INTERNATIONAL ISLAMIC & HALAL FESTIVAL 2022

KEJORA melalui Unit Ekonomi & Usahawan (UEU) serta usahawan bimbingan KEJORA telah mengambil bahagian dalam FIJO 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang berlangsung selama 4 hari bermula dari 19 September hingga 2 Oktober 2022.
Pelbagai aktiviti & program menarik telah disediakan untuk pengunjung antaranya:-
🍔 Pameran & Jualan Produk Usahawan;
🕋 Pameran Artifak Tamadun Islam;
🕋 Pameran Khas Artifak Rasullullah S.A.W;
…….. dan banyak lagi…..
Persatuan Peniaga & Usahawan KEJORA (PUPUK) telah turut serta memeriahkan FIJO 2022 ini.
Majlis Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah serta deligasi dari luar negara dan ketua-ketua agensi.
“Perbaikilah dalam mencari rezeki , dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram” – (Ash-Shahihah 6/2607)

KEJORA TERIMA SIJIL PENGHARGAAN PELAKSANAAN MBJ TAHUN 2021

Pada 28 September 2022, YBhg. Dato’ Rusdi bin Mohd. Darus, Pengurus Besar KEJORA telah menerima Sijil Penghargaan Pelaksanaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Tahun 2021 daripada YBhg Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tahniah diucapkan kepada semua Wakil Pegawai dan Wakil Pekerja diatas komitmen tinggi yang diberikan dalam menjayakan MBJ.