KURSUS PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN KELESTARIAN ALAM KEJORA

Kursus Pengurusan Sisa Pepejal dan Kelestarian Alam Luar Bandar Wilayah KEJORA telah diadakan pada 13hb Ogos 2023 (Ahad) bertempat di NIOSH Wilayah Selatan, Johor Bahru, Johor.
Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan penerangan khusus dalam memastikan pengurusan sisa pepejal di kampung-kampung Wilayah KEJORA dapat dilaksanakan dengan baik dan terurus. Kursus yang melibatkan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Penggerak Kampung dan Pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) Wilayah KEJORA juga telah mempelajari kaedah pengendalian sisa pepejal dengan betul sekaligus dapat meningkatkan tahap kesedaran dan menggalakkan keterlibatan komuniti dalam pengasingan dan pengumpulan sisa pejal di luar bandar.
Kursus ini telah dirasmikan oleh En. Noorazmi bin Sahar selaku Ketua Unit Pengurusan Fasiliti bagi mewakili En. Daud bin Abd Rahman Timb. Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA.
Pelaksanaan modul pengurusan sisal pepejal dan Kelestarian Alam telah disampaikan oleh Puan Rafidah binti Mohamad selaku Timbalan Pengarah (Pengurusan) SWCorp Negeri Johor dan Tuan Haji Zulkifli bin Mohamad selaku Ketua Seksyen Pendidikan Masyarakat SWCorp Wilayah Selatan Negeri Johor.
Bagi Sesi Perkongsian Bermaklumat Bandar Muar sebagai Bandar Warisan Bersih dan Sejahtera telah disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Majlis Perbandaran Muar iaitu Encik Mohamad Azlie Syam bin Rasulu.
Semoga dengan terlaksananya kursus ini, ianya dapat memberikan pendedahan dan hebahan kepada penduduk luar bandar Wilayah KEJORA akan kepentingan bersama menjaga ekosistem kelestarian alam dan lingkungan dalam menguruskan sisa pepejal luar bandar.

AUDIT PEMANTAUAN (SURVEILLANCE AUDIT) MS ISO 9001:2015 KEJORA

Alhamdullilah KEJORA telah menjalani Audit Pemantauan (Surveillance Audit) MS ISO 9001:2015 pada 14 dan 15 Ogos 2023 (Isnin dan Selasa) bertempat di Bilik Mesyuarat Balau oleh pasukan Juruaudit SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN BHD yang diketuai oleh Encik Mohd Hisyam bin Mahadi selaku Lead Auditor dan Puan Kamsiah binti Mansoor, Auditor.
Jutaan terima kasih kepada pihak Pengurusan KEJORA dan semua anggota yang terlibat kerana telah memberikan kerjasama dan komitmen serta sokongan dalam menjayakan sesi audit pemantauan pada kali ini.

KURSUS KEPIMPINAN: IKON REMAJA UNGGUL WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

KEJORA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah melaksanakan Kursus Kepimpinan : Ikon Remaja Unggul Wilayah KEJORA bermula dari 8 hingga 10 Ogos 2023 bertempat di Bayu Balau Beach Resort.
Seramai 104 murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 yang melibatkan 26 buah sekolah dengan pecahan 16 buah sekolah dari Daerah Kota Tinggi, 4 buah sekolah dari Daerah Kulai dan 6 buah sekolah dari Daerah Kluang.
Kursus ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA. Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ menyatakan, Ikon Remaja Unggul merupakan program kepimpinan yang buat julung kali pertama dilaksanakan dengan menerapkan nilai-nilai murni seorang murid serta berjiwa kepimpinan dengan Konsep ABC ( Anak Yang Baik Lagi Cerdik) yang mana ianya diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sepanjang kursus 3 hari ini, murid-murid dibimbing oleh Encik Mohamad Nur Firdaus bin Mohd Arshad , Mentor NS NLP & Learning Technologist.
Semoga Ikon Remaja Unggul ini bakal memberi impak hebat kepada kepimpinan mereka di peringkat yang lebih tinggi. Sekaligus melahirkan murid di kalangan anak-anak penduduk wilayah KEJORA yang berpendapatan B40 kebawah bakal menjadi ‘Role Model’ di sekolah sebagai tokoh pelajar yang berjaya dalam pelajaran dan kokurikulum serta memiliki akhlak yang terpuji, berketerampilan serta menjadi pembimbing rakan sebaya yang disegani.
Turut hadir ke majlis penutupan kursus ini adalah Encik Mohamad Noorwafi Bin Mohd Noor, Penolong Pengarah HEM, JPN Johor selaku wakil rasmi Pengarah JPN Johor, Encik Esham bin Abd Hamid,
Kaunselor Pendidikan Daerah Sektor Psikologi dan Kaunseling PPD Kota Tinggi selaku wakil rasmi Pegawai PPD Kota Tinggi, Encik Hazawi bin Raya, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pemulihan Khas Daerah Kluang selaku wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Kluang dan Encik Mohd Fadzeli bin Tumiran
Guru Kaunseling SMK Seri Pinang Wakil Rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Kulai.
Moga kursus ini menjadi asbab kepada kecemerlangan pelajar-pelajar Johor Tenggara.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN 2023 – KIDS SWIMMING CLASS WILAYAH KEJORA

Program Pembangunan Bakat KEJORA telah dimulakan dengan perlaksanaan Kids Swimming Class Wilayah KEJORA yang bermula pada 12 Ogos 2023 di Kolam Renang, Club House Desaru Utama.
Program ini melibatkan 60 orang peserta yang terdiri dikalangan 7 hingga 12 tahun.
Tempoh Kids Swimming Class Wilayah KEJORA adalah selama 10 sesi perjumpaan dengan pelatih akan dilatih oleh jurulatih dalam bidang yang telah ditetapkan.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN 2023 – KELAS MEMANAH WILAYAH KEJORA

Program Pembangunan Bakat KEJORA telah dimulakan dengan perlaksanaan Kelas Memanah yang bermula pada 11 Ogos 2023 di Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 2.
Program ini melibatkan 30 orang peserta yang terdiri dikalangan 7 hingga 12 tahun.
Tempoh Kelas Memanah Wilayah KEJORA adalah selama 10 sesi perjumpaan dengan pelatih akan dilatih oleh jurulatih dalam bidang yang telah ditetapkan.

LAWATAN KE AGENSI ANGKASA MALAYSIA, KUALA LUMPUR

Pada 11 Ogos 2023 (Jumaat), pihak KEJORA melalui Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Bahagian Hartanah dan Bahagian Teknologi Maklumat telah mengadakan lawatan ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menimba ilmu dalam tatacara pengurusan data dan maklumat melalui aplikasi MALAYSIA MODERN AGRO FARMING SYSTEM (MyMAFS) yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia.
Lawatan ini telah dihadiri oleh Cik Siti Fazueri binti Radzali, Pengurus Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datin Siti Azni binti Zakaria, Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Yusri bin Mohd Yasir, Penolong Pegawai Rancangan Tanah dan Encik Syafiq bin Mohd Yusof, Penolong Pegawai Tanah. Manakala taklimat berkenaan Agensi Angkasa Malaysia dan sistem MyMAFS telah disampaikan oleh Y.Bhg. Encik Adnan bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (R&D), Agensi Angkasa Malaysia.
Terima kasih diucapkan kepada Agensi Angkasa Malaysia yang sudi menerima lawatan dari KEJORA ini. Semoga lawatan ini menjadi pembuka jalan kepada kerjasama antara KEJORA dan MYSA pada masa akan datang.

KURSUS TERNAKAN KELULUT (HAIF SERAMIK)

Industri ternakan lebah kelulut di Malaysia dilihat amat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pengusaha, sama ada diusahakan secara kecil-kecilan mahupun secara komersial.
KEJORA menerusi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama SIRIM Berhad telah menganjurkan Kursus Ternakan Lebah Kelulut (Haif Seramik) bermula 8 hingga 10 Ogos 2023 di
Ibu Pejabat SIRIM Berhad, Seksyen 2 Shah Alam, Selangor. Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Kampung, Wakil-Wakil Koperasi, pengusaha-pengusaha pertanian serta penduduk di sekitar wilayah KEJORA.
Kelebihan teknologi haif seramik ini adalah mempunyai jangka masa hayat lebih lama berbanding haif kayu kerana tidak akan reput serta mengurangkan pembentukan kulat dan algea. Pihak SIRIM Berhad juga memperkenalkan beberapa teknologi lain seperti Pam Madu Pintar yang mana ianya dapat menyukat berat madu secara terus serta menggunakan teknologi RFID tag untuk penentuan rekod setiap haif.
Semoga dengan ilmu yang diperolehi dari kursus ini menjadi pemangkin semangat kepada pengusaha pertanian wilayah KEJORA.
Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua peserta.

GOTONG ROYONG PERDANA KEJORA KE ARAH PERSIJILAN EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA) TAHUN 2023

10 Ogos, Bandar Penawar – Program Gotong-Royong Perdana KEJORA ke Arah Pensijilan Ekosistem Konduksif Sektor Awam (EKSA) pada pagi ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA.
Program ini merupakan simbolik kepada gerak kerja KEJORA ke arah audit pensijilan EKSA dan diadakan secara serentak melibatkan semua zon bagi mengindahkan ruang kerja para anggota agar kelihatan lebih kondusif dan berkualiti sekaligus mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja.
Turut serta Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Encik Daud bin Abdul Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) serta Pengurusan KEJORA .
“Persekitaran Kondusif Warga Kreatif Minda Inovatif”

TAHNIAH PASUKAN KAROM KEJORA

Tahniah Pasukan Karom KEJORA atas kemenangan sempena perlawanan persahabatan antara KEJORA & RISDA.

PROGRAM HAWA MADANI WILAYAH KEJORA TAHUN 2023

Bermula dari 5 hingga 6 Ogos 2023 yang lalu, dengan bertemakan “KASIH WANITA”, telah berlangsung Program Hawa Madani Wilayah KEJORA Tahun 2023 di Perkarangan & Dewan KEJORA, Bandar Penawar.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah KEJORA. Di dalam ucapan perasmian, YB Datin Paduka Hjh Hazlina binti Jalil mengucapkan terima kasih kepada KEJORA kerana telah mengadakan pelbagai aktiviti dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi kaum hawa terutama di dalam Daerah Kota Tinggi & Kluang. Beliau juga mengucapkan tahniah dan bangga kepada KEJORA kerana berjaya mengumpulkan wanita di Wilayah Johor Tenggara untuk bersatu dalam memastikan program berjalan dengan lancar.
Di dalam majlis ini, beberapa penyerahan telah disampaikan antaranya, penyerahan sumbangan kepada Surau dan Masjid yang berdaftar di DUN Penawar, penyampaian Geran Projek Pasar Suri Wilayah KEJORA kepada Persatuan Muslimah Prihatin Pengerang berjumlah RM5,000.00, Penyampaian Geran Pertubuhan Wanita Wilayah KEJORA berjumlah RM10,000.00 kepada sertiap persatuan merangkumi Pertubuhan PUSPANITA Cawangan Kecil KEJORA, Persatuan Ibu Tunggal Wilayah KEJORA (PITRA) dan Persatuan Muslimah Prihatin Pengerang (MUSLIMAH). Selain itu juga, turut disampaikan adalah pemenang kepada pertandingan Aerofiton, Pertandingan Mewarna Batik serta pelbagai pertandingan lain.
Terlebih dahulu, ketibaan Yang Berhormat Datin Paduka telah disambut dengan paluan Hadrah dari Wanita Kampung Johor Lama. Kelainannya pada kali ini, KEJORA telah menampilkan artis dari kaum wanita iaitu Elyana dan Chombi bagi mezahirkan Malam Hawa Madani.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah, Yang Berhormat Puan Fauziah binti Misri, ADUN Penawar, Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, Puan Hajah Zihan binti Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, wakil-wakil PUSPANITA, Pengurusan Kanan KEJORA, Pengerusi Masjid dan Surau DUN Penawar, kaum hawa Wilayah KEJORA dan lain-lain lagi.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan Program Hawa Madani Wilayah KEJORA Tahun 2023 dan semoga kita akan berjumpa lagi di program yang lain.
#PenerajuTerasKemakmuran