MAJLIS PENUTUPAN HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2023

Kuching, Sarawak, 5 Ogos 2023 – Majlis penutup Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Pada penyertaan kali ini, Muzium Nelayan Tanjung Balau terus mengekalkan pencapaian membanggakan di persada negara apabila muncul Naib Juara Reruai Pameran Terbaik Menepati Tema “Muzium, Kemampanan & kesejahteraan” dalam Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023.
Dengan menampilkan konsep “Yok Ngombeh @ Kampung Nelayan”, Muzium Nelayan pada kali ini berjaya menarik perhatian juri melalui persembahan pameran secara “living museum” iaitu aksi nelayan bermain sukan rakyat serta jamuan menu tradisi nelayan sekaligus mengulangi kejayaan pada tahun lalu di negeri Kelantan.
Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua anggota yang menjayakan!!
Semoga terus mengekalkan kecemerlangan dalam sambutan Hari Muzium Antarabangsa tahun 2024 yang dijangka akan diadakan di Pulau Pinang!!

MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU KE SARAWAK

30 JULAI 2023 I ISNIN I 1.00 PETANG
Pada waktu ini, KEJORA melalui Muzium Nelayan Tanjung Balau sedang menyertai Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang diadakan di Borneo Culture Museum, Kuching, Sarawak.
Majlis telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak.
YAB Tan Sri Premier Sarawak telah meluangkan masa di reruai Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Pada tahun ini, Muzium Nelayan Tanjung Balau membawakan konsep “Yok! Ngombe! @ Warung Nelayan” di mana pengunjung akan dapat melihat secara ‘live” kehidupan masyarakat nelayan sambil dihidangkan dengan jamuan kudapan tradisional.
Untuk makluman, Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 ini diadakan bermula dari 31 Julai hingga 5 Ogos 2023.
Jom bersama² berikan sokongan anda dengan mengundi booth Muzium Nelayan sebagai booth terbaik HMA2023.
Sila tekanlink:
No. 16 : MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU https://shorturl.at/asu69
Terima kasih.

KEJORA TERUS MEMPERKASAKAN KONSEP PELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI (COMMUNITY-BASED TOURISM) MELALUI PENGANJURAN KURSUS HOMESTAY SERVICES QUALITY@KEJORA 2023

KEJORA melalui Bahagian Pelancongan KEJORA dengan kerjasama Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (KOLONEK) telah menganjurkan Kursus Homestay Services Quality@KEJORA 2023 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 25 hingga 27 Julai 2023 bertempat di Homestay Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Kursus ini telah memberi bimbingan dan pendedahan kepada para peserta berkaitan pembangunan pakej yang telah disediakan oleh pihak koperasi seperti program keluarga angkat, demontrasi masakan, sukan rakyat, mengoca ikan, perkongsian pengalaman, program senaman, ronda-ronda kampung dan malam kebudayaan.
Homestay Kampung Lonek telah dipilih sebagai tempat kursus untuk dijadikan sebagai penanda aras (benchmarking) bagi mempelajari dan berkongsi segala pencapaian dan pengalaman yang ada dengan pelbagai anugerah yang diperolehi seperti Anugerah Homestay Terbaik Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2007, Anugerah Homestay Terbaik Negeri Sembilan Top 10 Malaysia 2010, ASEAN Homestay Awards 2016 dan Best Award World Homestay Organization Summit For Tourism 2019 serta penerima geran Program Desa Lestari Tahun 2014.
Kursus ini telah diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA selaku perasmi majlis penutup. Turut hadir Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurus Pelancongan dan Encik Mohd Faiz bin Mohd Zin, Pengerusi Koperasi Homestay Lonek Jempul Berhad.
Pihak Pengurusan KEJORA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 28 peserta yang terlibat secara langsung dalam menjayakan kursus ini yang terdiri daripada :
i. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Surat;
ii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Sedili;
iii. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kg. Tanjung Serindit;
iv. Jawatankuasa Homestay Kg. Mawai Baru;
v. Jawatankuasa Homestay Kg. Johor Lama; dan
vi. Anggota KEJORA yang terpilih.
Semoga dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang hadir dapat meningkatkan mutu kualiti dalam memperkasakan pengurusan dan perkhidmatan homestay dan pengusaha pelancongan wilayah KEJORA serta memartabatkan sektor pelancongan di kawasan kampung masing-masing.

KURSUS TERNAKAN KELULUT (HAIF SERAMIK) ANJURAN KEJORA DENGAN KERJASAMA SIRIM BERHAD

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Buat Semua Penduduk Wilayah KEJORA

Industri ternakan kelulut di Malaysia dilihat amat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pengusaha, sama ada diusahakan secara kecil-kecilan mahupun secara komersial.

Dengan penggunaan teknologi baru iaitu Log kelulut Haif Seramik yang dibangunkan oleh SIRIM Berhad dapat menambah jangka hayat log kelulut yang sedia ada. Mari kenali apa itu log kelulut Haif Seramik, apakah kelebihan menggunakan log kelulut haif ini, belajar teknik yang tepat tentang pengurusan ternakan kelulut dan berbagai lagi ilmu bagi menambah penghasil madu kelulut.

Ayuh kepada semua penternak di Wilayah KEJORA untuk menghadiri Kursus Ternakan Kelulut 2023 anjuran Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani, KEJORA.

Syarat Penyertaan

– Warganegara Malaysia

– Umur : 18 tahun keatas

– Terbuka kepada semua penduduk/Pengusaha sekitar wilayah KEJORA yang berminat dalam bidang penternakan.

– Sihat Tubuh Badan.

 

Daftar penyertaan anda melalui pautan di bawah sebelum atau pada 2 Ogos 2023 (Rabu). Permohonan yang berjaya akan dipanggil untuk menghadiri kursus ini.

Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari pautan di bawah : https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfrtYAM3o6Kn4RDcgqVQq7u1inxRqTrQggXHYaFfrDJJ0d3NA/viewform?vc=0&c=0&w=1&flr=0 atau imbas QR Code yang disediakan.

 

Anda akan dihubungi jika terpilih menghadiri kursus ini

Sebarang pertanyaan sila hubungi:

 

En. Hafiszal – 013-7067231

 

TERHAD KEPADA 20 ORANG PESERTA SAHAJA!!!

DAFTAR SEGERA!!!

 

KURSUS PENGURUSAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN

Kursus Pengurusan Kewangan dan Perakaunan telah diadakan pada 13-15 Julai 2023 bertempat di Lotus Desaru Beach Resort melalui Unit Ekonomi dan Usahawan. Kursus ini telah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada 20 orang usahawan dari segi pengurusan pengaliran wang tunai yang berkesan, kepentingan mengurus akaun syarikat/penyata kewangan serta pengurusan perbelanjaan yang berkesan dan sistematik.
Kursus ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan. Dalam ucapan perasmian tersebut, diharapkan para usahawan dapat mengurus akaun syarikat dengan betul dan bersistem bagi meningkatkan imej usahawan KEJORA.
Tahniah dan syabas.

KURSUS LESEN JURUMUDI SEBAGAI KAPTEN BOT UNTUK BOT PELANCONGAN KEJORA TAHUN 2023

Alhamdulillah, pada 9 hingga 15 Julai 2023, pihak KEJORA melalui Bahagian Pelancongan telah berjaya menganjurkan Kursus Lesen Jurumudi Sebagai Kapten Bot untuk Bot Pelancongan KEJORA bertempat di Hotel Desaru Penawar.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Tetuan Sealestial Marine Seafarer Training Centre (SEAMASTER) melibatkan seramai 12 orang peserta yang meliputi wakil JPKK dan Koperasi Wilayah KEJORA yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan berasaskan bot. Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Suraya Hani binti Sharan Pengurus Pelancongan selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA.
Semoga dengan tauliah memperolehi lesen sebagai jurumudi ini, para peserta dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang maritim serta mematuhi garis panduan dan peraturan maritim yang sedang berkuatkuasa.

KEJORA DAN MARDI TANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN

13 Julai 2023, Putrajaya – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pembangunan pertanian di Wilayah Johor Tenggara.
YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) bersama YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyaksikan upacara tersebut di Dewan Seri Lestari, KKDW hari ini.
Antara objektif MoU ini termasuk kerjasama R&D untuk penambahbaikan teknologi ternakan dan teknologi buah-buahan, pemindahan teknologi dalam bidang ternakan dan tanaman, khidmat nasihat teknikal serta bidang kerjasama lain yang akan diperhalusi selepas ini.
Majlis ini turut di hadiri oleh YB Datuk Hjh Rubiah binti Hj Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah, YBhg. Dato’ Seri Ramlan bin Dato’ Harun, Ketua Setiausaha KKDW, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA, YBrs. Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, YBrs. Tuan Mas Rizal bin Helmi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI, Setiausaha-Setiausaha Bahagian KKDW, Ahli Lembaga Pengarah KEJORA, Pengurusan Kanan KEJORA dan Pengurusan Kanan MARDI serta tetamu jemputan yang lain.
Semoga dengan termetrainya perjanjian persefahaman ini, KEJORA dan MARDI akan terus berusaha demi membangunkan luar bandar terutama Wilayah Johor Tenggara dalam bidang pertanian.

KURSUS PENGUKUHAN INTEGRITI INTEGRITI KEJORA TAHUN 2023

Pada 12 Julai 2023, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) melalui Unit Integriti telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Integriti bertemakan “Berintegriti dan Bermaruah” KEJORA bagi Tahun 2023 bertempat di Kompleks Pejabat SPRM Johor yang melibatkan Pegawai Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Sokongan seramai 40 orang termasuk urusetia kursus.
Kursus ini telah disampaikan oleh Ps Salmiha binti Saidin dan PPs Mohd Hassan bin Sulaimi dari Unit Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Johor.
Antara objektif kursus ini adalah menekan keperincian berkaitan dengan empat kesalahan utama di Akta SPRM 2009 yang membawa kepada berlakunya ketirisan dalam proses perolehan. Peserta didedahkan dengan contoh-contoh kes sebenar berkaitan dengan rasuah dalam perolehan serta impak kepada individu, organisasi dan pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, peserta juga berpeluang melawat fasiliti siasatan SPRM Johor seperti bilik rakaman bervideo (VIR), lokap dan kawad cam.
Tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga dengan ilmu yang diperolehi dari kursus ini, akan memberikan manfaat kepada semua peserta.

KEJORA SERAH 2 UNIT TRAKTOR NEW HOLLAND KEPADA KOPERASI PESERTA RANCANGAN ORANG ASLI FELCRA TANAH ABANG MERSING BERHAD

9 Julai 2023 – Mersing – Pada hari ini, KEJORA telah menyerahkan 2 unit traktor jenama New Holland kepada Koperasi Peserta Rancangan Orang Asli Felcra Tanah Abang Mersing Berhad sempena Program Desa Lestari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Sebelum ini, pihak Koperasi telah menerima satu (1) unit Lori 3 Tan, dua (2) unit traktor, Stor dan Tempat letak jentera serta bayaran pengurusan dan operasi.
Majlis Penyerahan ini disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA kepada Encik Jati bin Awang, Pengerusi Koperasi. Turut hadir Encik Akram bin Hasan, Timbalan Pengarah SKM Johor dan wakil daripada KKDW, PKN Johor, JAKOA, FELCRA, serta beberapa agensi yang lain.
Semoga dengan penyerahan beberapa jentera serta aset-aset ini akan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat serta membantu KEJORA serta KKDW dalam usaha membanteras miskin tegar di negara ini.

LAWATAN PENANDA ARAS ELECTRIC VEHICLE (EV)

Dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan luar bandar di wilayah KEJORA, aktiviti-aktiviti berteraskan pembangunan ekonomi dan keusahawanan menjadi teras dan fokus pengurusan KEJORA di dalam memastikan kesenjangan ekonomi luar bandar dan di bandar dapat diseimbangkan. Manakala kehadiran pelancong ke Wilayah KEJORA mula menunjukkan trend peningkatan selepas Covid-19 melanda negara.
Lanjutan dari perkembangan yang semakin memberangsangkan, bermula 4 hingga 6 Julai 2023 (Selasa – Khamis), satu sesi lawatan kerja KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diadakan bagi melihat sendiri ruang serta peluang yang boleh dibangunkan di Wilayah KEJORA yang berkonsepkan ekonomi pelancongan.
Sesi lawatan yang bermula di Depoh & Bengkel Bas MARA Liner, Pekan Kuah, Langkawi telah membuka satu analogi baru dalam usaha KEJORA mendapatkan input tentang pembangunan industri Electrical Vehicle (EV) selaras dengan hasrat kerajaan dalam menyokong kearah kelestarian bumi. Selain itu juga, lawatan penanda aras ini dijadikan nilai tambah dan boleh diaplikasikan di Pusat Automotif KEJORA demi menyokong kepada industri pelancongan Wilayah KEJORA.
Rombongan dari KEJORA juga turut diberikan taklimat berkaitan dengan pembangunan dan pengoperasian bas EV oleh Bahagian Pelaburan MARA diketuai oleh En. Mohd Diah bin Abas, Pengarah Kanan Pelaburan MARA bersama kumpulan pembangunan MARA Liner Sdn Bhd. Manakala pihak KEJORA telah diketui oleh En. Sheikh Khayulzahri bin A.Raof, Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa serta pegawai daripada pengurusan pembangunan iaitu Unit Ekonomi dan Usahawan, Unit Pengurusan Fasiliti, Bahagian Pelancongan, Unit Teknikal, Unit Pelaburan dan Unit Komunikasi Korporat. Turut bersama-sama KEJORA adalah syarikat LIAS Maju Tyre dan JHAS Automotive Specialist Sdn Bhd.
Manakala lawatan di Ibu Pejabat TNB, pihak KEJORA telah diberikan taklimat yang diketuai oleh En. Wan Ahmad Zam Zam bin Wan Abd. Wahab, Pengarah Program (PMO Electric Vehicle). Turut sama hadir adalah Datin Nurulhayati binti Anual serta En. Hisyam bin Hasib, Bahagian Pembangunan dan Pemasaran (PMO Electric Vehicle).
Diharapkan platform yang berpotensi tinggi ini dapat memberi manfaat kepada KEJORA serta usahawan luar bandar dalam Wilayah KEJORA khususnya bidang automotif dalam usaha meneroka serta meningkatkan jaringan perniagaan serta mempromosi pelancongan Wilayah KEJORA.