MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK (JKIK) BIL. 3 TAHUN 2023

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian (JKIK) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Bil.3/2023 telah diadakan pada 13 Jun 2023 (Selasa) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Bandar Penawar, Johor.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KKDW dengan kehadiran ahli JKIK seramai 48 orang. Ahli mesyuarat ini adalah terdiri daripada Setiausaha Bahagian/Ketua Agensi/Ketua Jabatan dari KKDW dan Perunding dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) termasuk urusetia dari INFRA.
Selesai mesyuarat, semua ahli mesyuarat di bawa ke sesi lawatan kawasan kajian iaitu di kawasan Eko-Pelancongan Sungai Sedili, Johor.
Terima kasih kepada semua TKSU (D) KKDW serta semua deligasi yang hadir ke KEJORA.

KURSUS URUTAN TRADITIONAL & BEKAM

KEJORA telah melaksanakan Kursus Urutan Tradisional dan Bekam di bawah Program Kemahiran Belia Luar Bandar Wilayah KEJORA (KEMBARA)bermula pada 9 hingga 11 Jun 2023 bertempat di Hotel Desaru Penawar. Kursus ini melibatkan peserta seramai 30 orang.
Setiap peserta telah diberikan tunjuk ajar mengikut modul melalui pembelajaran teori dan praktikal berkaitan urutan tradisional dan bekam. Selain itu, setiap peserta diberikan kit bagi melaksanakan perkhidmatan secara mobile.
Encik Sh. Khayulzahri bin Sh. A.Raof , Pengurus Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa telah merasmikan majlis penutupan kursus dan menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohamad Saifullah bin Yusoff daripada selaku penceramah dari Avicenna Academy Malaysia.
Semoga pelaksanaan kursus ini akan melahirkan lebih ramai usahawan atau perawatan secara sunnah iaitu urutan tradisional dan bekam.

PEMBUKAAN KAUNTER BERGEGRAK AGENSI BERSAMA KOMUNITI DAN HARI KEJORA BERSAMA PELANGGAN KEJORA

11 Jun 2023 (Ahad), Layang-Layang – Pada hari ini, Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang-Layang telah mengadakan program Kaunter Bergerak Agensi Bersama Komuniti. Dalam program ini juga, pihak KEJORA telah mengadakan program Hari KEJORA Bersama Pelanggan yang bertujuan untuk memudahkan pelanggan berurusan secara terus dengan beberapa Bahagian dan Unit KEJORA tanpa perlu hadir ke Ibu Pejabat KEJORA.
Selain KEJORA, terdapat 3 agensi utama iaitu Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PTPTN serta JPJ telah bersama-sama membuka kaunter pertanyaan dan sebagainya bagi kemudahan penduduk di Layang-Layang.

LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK PEMBANGUNAN RMKe-12 PEJABAT PEMBANGUNAN NEGERI JOHOR KE KEJORA

Pada hari ini, pihak Pejabat Pembangunan (SDO) Negeri Johor yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Rahman bin Mohd Din, Pengarah Pembangunan Negeri Johor, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah mengadakan Lawatan Pemantauan Projek Pembangunan RMKe-12 di bawah KEJORA.
Delegasi Pejabat SDO telah disambut mesra YBhg. Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA dan Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Pengurus Perancangan Strategik. Sesi lawatan dimulakan dengan sesi taklimat dan pembentangan 3 projek di bawah KEJORA iaitu Pembangunan Infrastruktur Tanjung Balau Fasa 2, Pembangunan Pelancongan Warisan Pulau Tanjung Surat dan Pembinaan Premis Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Bandar Penawar. Selain itu, KEJORA juga mendapatkan turut mendapatkan pandangan, nasihat dan cadangan penyelesaian bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan KEJORA yang sedang dan akan dilaksanakan.
Sesi Lawatan Pemantauan diakhiri dengan lawatan ke Projek Pembinaan IKS Bandar Penawar. Turut serta dalam Lawatan Pemantauan ini adalah Puan Noor Idayu binti Othman, Encik Hasbullah bin Mat Taib dan Encik Tahiruddin bin Abdul Hadi daripada Seksyen Pemantauan Dan Penilaian SDO Negeri Johor serta pegawai KEJORA yang terlibat.

LAWATAN PENANDA ARAS PENGURUSAN SUMBER MANUSIA KE LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH KEDAH (KEDA)

Pada 7 Jun 2023, KEJORA telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Pengurusan Sumber Manusia di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang bertujuan mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pengurusan sumber manusia khususnya proses pengambilan anggota baharu dengan sistem yang digunapakai.
Program ini diketuai oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA dan diiringi Encik Mohd Ashek bin Mohd Hassan, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia, Tuan Haji Matriffin bin Md Amin, Pengurus Teknologi Maklumat serta wakil-wakil Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia serta Bahagian Teknologi Maklumat.
Deligasi KEJORA juga berkesempatan melawat beberapa usahawan KEDA iaitu Syarikat Maneh MF Frozen, Kampung Sungai Badak dan lawatan ke ladang Nira Napiah, Tanjung Dawai dengan disambut oleh
Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi, Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) dan Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengurus Bahagian Niagatani (BNT), usahawan KEDA serta warga kerja Bahagian BPU dan BNT.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak KEDA terutama Puan Hajah Afifah binti Omar, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dan Cik Shuhaila binti Hamzah, Pengurus Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) yang telah menerima dan menyambut kunjungan KEJORA ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada Encik Muhammad Rifqi bin Zulkifli, Ketua Unit, Pengurusan Sumber Manusia, KEDA dan Puan Nur Idawati binti Abdul Wahab, Penolong Pengurus, Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP) yang telah menyampaikan taklimat kepada KEJORA.
Semoga segala khidmat nasihat serta pertukaran idea ini dapat meningkatkan lagi perkhidmatan di KEJORA khususnya serta meningkatkan kerjasama strategik di antara KEJORA-KEDA.
Terima kasih kepada semua anggota KEDA terutama Bahagian Khidmat Pengurusan serta anggota yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menerima kunjungan KEJORA ini.

KEJORA TERIMA LAWATAN DELIGASI DARI UTM & JABATAN TANAH DAN SURVEI NEGERI SARAWAK

8 Jun 2023 (Khamis), Bandar Penawar – Pada hari ini, KEJORA telah menerima lawatan dari deligasi Universiti Teknologi Malaysia & Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA. Seterusnya, taklimat pembangunan KEJORA telah disampaikan oleh En. Hanafi bin Jantan, Pengurus Perancangan Strategik.
Pengurus Besar KEJORA dalam ucapan aluannya memaklumkan mengenai kejayaan pembangunan KEJORA serta hala tuju baru kepada pembangunan luar bandar Wilayah KEJORA.
Puan Irene Wee, Timbalan Pengarah (Perancangan), Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak didalam ucapan balasnya menyatakan bahawa, kejayaan yang dicapai oleh KEJORA telah dijadikan sebagai penanda aras kepada lawatan ini dan beliau merasa kagum dengan pencapaian 50 tahun pembangunan KEJORA. Beberapa pandangan dan perbincangan dalam menentukan hala tuju perancangan Negeri Sarawak juga telah dilontarkan di dalam lawatan ini.
Deligasi UTM dan Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak seterusnya di bawa melawat Muzium Nelayan Tanjung Balau dan diberikan taklimat mengenai muzium nelayan serta pembangunan Pantai Tanjung Balau.
Semoga dengan adanya lawatan kerja ini, akan menjadi titik pertemuan awal dalam usaha KEJORA mewujudkan kolaborasi strategik antara agensi dan menjadi pemangkin untuk KEJORA terus berbakti dalam membangunkan modal insan serta pembangunan infrastruktur luar bandar yang sejahtera.

SUKAN KELAB ANGGOTA KEJORA (SUKAK2023)

Bermula 7 hingga 30 Mei 2023, Sukan Kelab Anggota Kejora (SUKAK2023) telah berlangsung disekitar Bandar Penawar, Johor.
SUKAK 2023 menampilkan 14 acara dengan kesemua anggota KEJORA termasuk anggota anak syarikat KEJORA dibahagikan kepada 4 rumah iaitu Merah Si Kala Jengking, Tebuan Hijau, Serigala Biru dan Kuning Si Helang.
Pelbagai coretan, kenangan, tangisan, kegembiraan termasuk kecederaan menghiasi SUKAK2023. Ternyata, ramai dikalangan anggota KEJORA dan anak syarikat KEJORA yang mempunyai bakat yang terpendam dan boleh digilap bagi mewakili jabatan ke beberapa pertandingan utama.
Tahniah Ahli Jawatankuasa Kelab Anggota KEJORA yang berjaya menganjurkan pertandingan SUKAK2023.
Siapakah pemenang keseluruhan?
Jawapan dan pengesahan akan dibuat di Majlis Minum Petang SUKAK2023 yang dijangka akan diadakan pada 15 Jun 2023 nanti.
“Sukan tidak membina watak TETAPI mendedahkannya” – Heywood Broun

KURSUS ASAS PENGURUSAN PERNIAGAAN

Dalam usaha membantu dan mendekati usahawan baharu di wilayah KEJORA, Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA terus komited dalam membantu usahawan dengan pelbagai segmen bantuan seperti sewaan ruang niaga,geran peralatan,geran pembungkusan,aktiviti promosi serta kursus latihan yang bersesuaian untuk terus kekal di pasaran. Maka, pada 25-27 Mei 2023 KEJORA telah menganjur Kursus Asas Peniagaan bertempat di Bayu Balau Beach Resort, Penawar.
Seramai 20 peserta telah menyertai kursus ini serta dibimbing oleh tenaga pengajar dan perunding Tetuan RKAY Biz Enterprise yang dilantik oleh pihak KEJORA. Semua peserta yang baharu telah diberikan ilmu pengetahuan,asas-asas perniagaan dan membuat pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan para usahawan melangkah lebih jauh lagi dalam mendapatkan bantuan dan sokongan perniagaan di masa hadapan.
Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Perniagaan ini telah dirasmikan oleh En Mohd Fakharur Razziy Bin Hazran (Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan, KEJORA). Diharapkan, kursus seumpama ini dapat meningkatkan motivasi diri usahawan untuk lebih berjaya dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan seperjuangan mereka agar sentiasa bersyukur dengan peluang yang disediakan dan bersikap positif pada setiap cabaran semasa. Syabas dan tahniah kepada para peserta.

KEJORA – UTHM TERUS MENEROKA BIDANG BARU

28 Mei 2023, Bandar Penawar – Pada hari ini, Pengurusan KEJORA telah menerima taklimat APEL dari pihak UTHM melalui Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL. YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA telah mempengerusikan sesi taklimat ini.
Taklimat UTHM telah disampaikan oleh YBrs. Dr Zahrul Akmal bin Damin, Pengarah Pusat TRANSFORM UTHM. Didalam sesi perbincangan, Pihak KEJORA berpandangan, APEL ini dijangka boleh dimanfaatkan kepada penduduk luar bandar terutama anak-anak Wilayah KEJORA yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pihak KEJORA akan meneliti setiap aspek yang dibincangkan dan perbincangan lanjut akan dibuat selepas daripada penelitian dan pengkhususan dari KEJORA.
Turut hadir pada taklimat ini ialah YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, YBrs. Dr. Mohd. Hanif Jofri, Ketua Jabatan APEL.C UTHM, YBrs. Dr. Fauziah binti Ani serta YBrs. Dr. Norizan Rameli dari Pusat TRANSFORM UTHM serta Pengurusan Kanan KEJORA.
Semoga kerjasama yang terjalin ini kekal dan menjadi pemangkin untuk membentuk kerjasama strategik antara KEJORA dan UTHM.

PROGRAM KARNIVAL ASPIRASI PENDIDIK DAN KEUSAHAWANAN @ MUZIUM NELAYAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2023

Program Karnival Aspirasi Pendidik dan Keusahawanan @ Muzium Nelayan Sempena Sambutan Hari Guru 2023 telah diadakan pada 27 Mei 2023 (Sabtu) di sekitar Pantai Tanjung Balau dan Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Sebanyak 5 acara dipertandingkan dengan penyertaan hampir 150 peserta yang diadakan secara bersemuka dan di dalam talian/maya.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh ADUN Penawar, YB Puan Fauziah binti Misri. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa tarikh 16 Mei adalah satu tarikh yang sentiasa diingati oleh Warga Pendidik dan Tema Hari Guru bagi tahun 2023 adalah “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.
Beliau menambah, setiap manusia yang berpelajaran mampu mengajar dan berkongsi pengetahuan dengan pelajarnya. Tetapi untuk menjadi seorang pendidik, seorang guru memerlukan satu tekad bahawa tugasnya itu satu tanggungjawab serta satu amanah yang mana beliau mesti berusaha sedaya mungkin untuk menjadikan muridnya terpelajar, berhati mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berakhlak dan bersedia berkorban seperti gurunya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Pelbagai acara telah disusun antaranya, Pertandingan Larian “Terima Kasih Cikgu”, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Guru Idol dan Bengkel Mencanting Batik. Pada tahun ini, Karnival Aspirasi Pendidik ini diserikan dengan pembukaan booth jualan usahawan KEJORA.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA, YBrs. Puan Marlina binti Amir, Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, YBrs. Encik Norazan bin Hamim, Pengurus Pelancongan KEJORA, Puan Suraya Hani binti Sharan, Pengurusan Kanan KEJORA, Warga Pendidik Wilayah KEJORA serta pelajar-pelajar Wilayah KEJORA.
KEJORA mengucapkan sekalung penghargaan terima kasih kepada semua yang menjayakan Karnival Aspirasi Pendidik ini termasuklah PDRM dan RELA.
Tahniah kepada semua pemenang. Kekalkanlah semangat setiakawan & kerja berpasukan yang telah terjalin.
“MUNGKIN guru bukanlah orang terpintar atau paling berjaya dimuka bumi, NAMUN guru mampu membimbing kamu menuju kejayaan”
#PenerajuTerasKemakmuran