KEJORA SANTUN DELIGASI KETENGAH

Pada 18 Mei 2023, KEJORA telah menerima kehadiran delegasi dari Pengurusan KETENGAH bagi sesi Lawatan Bermaklumat ke Kemudahan Sukan & Rekreasi serta Projek Pertanian Berkelompok KEJORA, di Bandar Penawar.
Lawatan KETENGAH telah diketuai oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa. Turut hadir sama adalah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH Encik Zainuddin bin Haji Md Zaki, Pengurus-Pengurus Bahagian serta pegawai-pegawai KETENGAH.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk berkongsi maklumat serta menimba ilmu berkaitan rekabentuk pembinaan, susun atur bangunan, operasi dan pengurusan stadium serta kemudahan sukan serta bertukar pandangan berhubung projek yang sedang dilaksanakan oleh pihak KETENGAH.
Semoga dengan kunjungan ini, akan memberikan impak pembangunan berpanjangan kepada pembangunan Wilayah KEJORA serta Wilayah KETENGAH.

BENGKEL PEMBANGUNAN KLASIFIKASI FAIL LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
Seramai 38 orang anggota KEJORA yang terdiri dari pihak pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan KEJORA telah mengikuti Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang telah diadakan pada 15 hingga 17 Mei 2023 bertempat di Hotel Mercure Shaw Parade Kuala Lumpur dengan kerjasama penceramah dari Arkib Negara Malaysia Seksyen Pengurusan Rekod Elektronik iaitu Puan Hapiza binti Osman dan Puan Norazilah binti Daud manakala penceramah dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu Encik Mohamad Faiz bin Ismail, Pegawai Arkib. Turut hadir sama YBhg.Dato’ Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus (Pengurus Besar KEJORA), Puan Marlina binti Amir (Timbalan Pengurus Besar Pengurusan KEJORA) dan Puan Gowri P.S. Thangaya selaku Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod Kerajaan, Arkib Negara Malaysia.
Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ini diadakan adalah untuk memberi kefahaman tentang kaedah dan tatacara penyediaan Sistem Klasifikasi Fail (KF). Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelaksanaan menyediakan Sistem Klasifikasi Fail (KF), mengemaskini dan membangunkan Sistem Klasifikasi Fail urusan am dan fungsian yang baru. Sehubungan itu, antara objektif pelaksanaan bengkel ini adalah untuk mengetahui syarat-syarat umum Klasifikasi Fail (KF) dalam DDMS 2.0 dan memberi kefahaman dan membantu dalam penyediaan Jadual Pelupusan Rekod sebagai pra-syarat pelaksanaan DDMS.
Diharapkan agar sistem DDMS akan dapat dilaksanakan pada tahun ini dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan penuh dedikasi.

KURSUS PERTANIAN TEKNOLOGI TINGGI (SISTEM FERTIGASI)

KEJORA melalui Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengadakan Kursus Pertanian Teknologi Tinggi (Sistem Fertigasi) pada 13 Mei 2023 (Sabtu) bertempat Pusat Komuniti Desa, Kampung Contoh, Kahang, Kluang, Johor dan 14 Mei 2023 (Ahad) bertempat di Dewan Serbaguna Sri Kembaran, Jalan Pinang Hijau, Taman Sayong Pinang, Bandar Tenggara, Kulai, Johor. Kursus dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Seramai 60 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada penduduk dalam Wilayah KEJORA.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan meningkatkan ilmu pengetahuan kepada golongan sasar serta dapat mengaplikasikanilmu yang diperolehi di dalam pelaksanaan projek-projek pertanian yang diusahakan.
Ceramah kursus bertajuk “Tanaman Teknologi Secara Fertigasi Masa Kini” telah disampaikan oleh Puan Izyani binti Raship, Pegawai Penyelidik Kanan, MARDI Serdang. Manakala ceramah yang bertajuk “Teknologi Menanam dan Inovasi Pertanian Masa Kini” telah disampaikan oleh Tn. Hj. Amat Khri bin Mardi, mantan pengajar Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH), Johor.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta.

PROGRAM MASIH ADA YANG SAYANG TAHUN 2023

KEJORA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Tinggi serta sembilan (9) buah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Wilayah KEJORA telah melaksanakan Program Masih Ada Yang Sayang Tahun 2023 pada 11 dan 12 Mei 2023 di Kuala Lumpur. Program ini disertai seramai 120 orang yang terdiri daripada penyelia dan pelatih dikalangan orang kurang upaya dan autisme.
Antara pengisian program ini adalah lawatan ke beberapa tempat seperti Petrosains Negara dan Aquaria KLCC. Program ini bertujuan untuk memastikan kumpulan sasar memperoleh peningkatan pengetahuan dan motivasi, kesedaran, proses tambah baik dan nilai kualiti serta pembangunan sikap dan tingkah laku.
Selain itu juga ianya dijadikan sebagai landasan untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada pelatih-pelatih serta meransang pelatih untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan persekitaran mereka yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara petugas di PDK.
Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam program yang murni ini.

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2022 DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI KEJORA

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KEJORA telah diadakan pada 14 Mei 2022 (Ahad) bertempat di Hotel Four Points by Sheraton Desaru.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi KEJORA. Di dalam ucapannya, YB Tan Sri Dato’ Dr mengucapkan terima kasih diatas kepercayaan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang melantik beliau dalam menerajui KEJORA.
Beliau menambah dan mengingatkan bahawa, Warga KEJORA bukan hanya perlu menyiapkan kerja tetapi perlulah bekerja dalam memberi manfaat kepada setiap sen/peruntukan yang dikeluarkan demi anak bangsa, kejora serta agama di dalam Wilayah KEJORA.
Seramai 24 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2022, 4 orang Pesara serta 4 orang anggota KEJORA yang telah berkhidmat selama 30 & 40 tahun telah menerima sijil Dari YB Tan Sri Dato’ Dr Pengerusi KEJORA.
Bersempena dengan Bulan Syawal yang mulia, KEJORA turut menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1444H.
Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Ashari bin Kasnan, Pengarah Tanah & Galian Johor, yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina Binti Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi, YDP Majlis Perbandaran Pengerang, YDP Majlis Daerah Kota Tinggi, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi serta Pengurusan Kanan KEJORA.
Tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah dan diharapkan agar budaya kecemerlangan ini berterusan dan akan dapat membantu KEJORA untuk mencapai hasrat dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih relevan, berinovasi, produktif dan berkeupayaan dalam menjunjung amanah bagi meningkatkan kecemerlangan KEJORA.
#PenerajuTerasKemakmuran

MAJLIS PERASMIAN SUKAN KELAB ANGGOTA KEJORA (SUKAK) 2023

7 Mei 2023, Bandar Penawar – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Sukan Kelab Anggota Kejora (SUKAK2023) di Stadium Penawar, Bandar Penawar, Johor.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus yang juga merupakan Penasihat Kelab. Di dalam ucapan perasmiannya, YBhg Dato’ mengingatkan kepada semua anggota KEJORA agar sama-sama menjaga kesihatan dan mengelakkan kecederaan. Disamping itu, SUKAK 2023 juga merupakan salah satu kaedah kepada Pengurusan KEJORA melihat dan mencungkil bakat untuk anggota KEJORA ke Kejohanan MAKSPEN serta kejohanan-kejohanan lain yang berkaitan.
SUKAK 2023 menampilkan 14 acara dengan kesemua anggota KEJORA termasuk anggota anak syarikat KEJORA dibahagikan kepada 4 rumah iaitu Merah Si Kala Jengking, Tebuan Hijau, Serigala Biru dan Kuning Si Helang.
Disamping itu juga, turut diadakan pada pagi ini ialah perlawanan Bola Sepak dan Bola Jaring disamping senaman ringan sebelum memulakan permainan.
Selamat berjuang kepada semua yang bertanding.
“Pemenang adalah dia yang mampu berdiri ketika jatuh dan masih tetap bertahan ketika yang lain menyerah”
#PenerajuTerasKemakmuran

PRA-PELANCARAN SUKAK 2023 & MESYUARAT KELAB ANGGOTA KEJORA KALI KE 18

Majlis Pra-Pelancaran Sukan Kelab Anggota Kejora (SUKAK2023) & Mesyuarat Kelab Anggota KEJORA (KAK) kali ke-18 telah berlangsung pada hari ini, 17 April 2023 (Isnin) di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus. Di dalam ucapannya, YBhg. Dato’ mengingatkan bahawa, AJK yang dilantik hendaklah menjalankan amanah dengan dedikasi serta menguruskan peruntukan secara berhemah.
Selain itu, SUKAK2023 yang dilancarkan pada hari ini juga adalah medan mencari bakat baru dalam persediaan memasuki beberapa kejohanan yang akan datang.
Pada mesyuarat kali ini juga, AJK Kelab Anggota Kejora (KAK) telah membentangkan bajet serta aktiviti setiap biro untuk dimuktamadkan.
Disamping itu, Kelab Anggota Kejora turut mengedarkan kuih raya kepada semua anggota KEJORA.
Selamat Hari Raya Dari Kelab Anggota KEJORA.

MAJLIS BERBUKA PUASA JPKK, PERTUBUHAN & ANAK YATIM SERTA SUMBANGAN AIDILFITRI ANAK YATIM WILAYAH KEJORA TAHUN 2023/1444H

16 April 2023, Punggai – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Berbuka Puasa JPKK, Pertubuhan & Anak Yatim Serta Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Wilayah KEJORA Tahun 2023/1444H di Amerald Resort Hotel, Punggai, Kota Tinggi, Johor.
Majlis pada hari ini telah diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus serta Pengurusan KEJORA. Di dalam ucapannya, YBhg. Dato’ menyatakan bahawa pada tahun ini seramai hampir 771 anak yatim Wilayah KEJORA akan menerima sumbangan duit raya dari Yayasan Kebajikan Anak Yatim Al-Husna Wilayah Johor Tenggara. Jumlah ini meliputi keseluruhannya berjumlah RM154,200.00.
Turut hadir adalah Pengerusi Yayasan Kebajikan Anak Yatim Al-Husna Wilayah Johor Tenggara, Tn. Hj. Hamzah bin Hj. Isa, Penghulu-penghulu Mukim Daerah Kota Tinggi & Kluang, Wakil Agensi Wilayah KEJORA, Pengerusi JPKK Wilayah KEJORA, wakil-wakil Pertubuhan serta anak- anak yatim Wilayah KEJORA.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
Sebagai ingatkan kepada semua di dalam Surah Al-Isra’ ayat 26 dan 27 menyatakan “kerana sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”. Hendaklah kita bersederhana dalam apa jua keadaan termasuk Hari Raya yang bakal menjelma.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA KELAB ANGGOTA KEJORA

Majlis Khatam Al-Quran & Berbuka Puasa Kelab Anggota KEJORA (KAK) telah berlangsung pada 13 April 2023 (Khamis) di Dewan KEJORA, Bandar Penawar, Johor.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus serta pengurusan kanan KEJORA.
Menariknya kali ini, sajian berbuka puasa dimasak sendiri oleh anggota KEJORA dan dijamu kepada semua keluarga KEJORA.
Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis pada kali ini.

KURSUS PEMBUATAN GUBAHAN HAMPER DAN DEKORASI REBEN SIRI 2

Di dalam meningkatkan lagi kemahiran usahawan dalam wilayah KEJORA, satu Kursus Pembuatan Gubahan Hamper dan Dekorasi Reben Kursus Siri 2 ini telah diadakan pada 6-8 April 2023 bertempat di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. Kursus ini telah berjaya dihadiri seramai 20 orang peserta.
Kursus ini merupakan program lanjutan daripada siri pertama yang telah diadakan pada 26-28 Ogos 2022 . Ia merupakan salah satu inisiatif KEJORA untuk memperkasakan para usahawan dalam membina kerjaya di dalam bidang perniagaan gubahan hamper dan dekorasi reben. KEJORA juga telah melantik Tetuan Qu Studio untuk mengendalikan kursus tersebut. Di dalam kursus ini para peserta diajar dan diberikan pendedahan tentang teknik kemahiran dalam menyediakan ‘Fresh Flower Bouquet’, ‘Hot Air Balloon’ dan ‘Opening Ceremony Decoration’ dengan menggunakan gubahan mengikut trend terkini yang mampu menjana pendapatan usahawan. Para usahawan amat gembira dan berpuashati dengan kursus yang dianjurkan ini kerana banyak memberi manfaat kepada mereka khususnya dalam meningkatkan produk perniagaan dan ianya menawarkan perkhidmatan baharu kepada pelanggan sekitar khususnya di kawasan desa.
Kursus ini diakhiri dengan upacara ucapan perasmian dan penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disempurnakan oleh En. Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA. Diharapkan selepas kursus ini, peserta sudah boleh mengambil tempahan hamper hari raya, ‘surprise delivery’ untuk majlis hari lahir, hantaran pertunangan, perkahwinan melalui gubahan bunga, coklat dan lain-lain lagi.
Tahniah dan syabas kepada semua peserta.