Majlis Perhimpunan bulanan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi Julai 2025 telah berlangsung di Dewan KEJORA, Bandar Penawar. Majlis ini diserikan dengan amanat penuh inspirasi daripada Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, yang menekankan pentingnya merancang dan melaksanakan program-program yang bukan sahaja berfokus dan berimpak tinggi, tetapi benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
Beliau turut menggariskan keperluan mempergiat usaha mempromosikan produk pelancongan desa KEJORA sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026. Menurutnya, ini merupakan peluang emas untuk mengetengahkan keunikan warisan dan budaya desa kepada pelancong dalam dan luar negara.
YB Datin Paduka Hajah Hazlina juga menyeru seluruh warga KEJORA untuk terus memperkukuh budaya kerja berpasukan. Beliau percaya bahawa kejayaan organisasi tidak terletak pada individu, tetapi pada kekuatan kolektif sebuah pasukan yang bergerak seiring dalam mencapai matlamat bersama.
Mengakui realiti dunia kerja yang semakin mencabar — pantas berubah, penuh persaingan dan sarat dengan ekspektasi — beliau menggesa agar seluruh warga KEJORA mengamalkan budaya kerja yang cekap termasuk sikap proaktif, menguasai tugasan, bijak menggunakan sumber dan masa, serta tersusun dalam menyampaikan hasil kerja secara tepat dan pantas.
Sebagai lambang komitmen KEJORA terhadap nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik, majlis turut menyaksikan pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh seluruh warga kerja KEJORA sebagai iltizam KEJORA dalam memerangi rasuah.
Majlis hari ini turut menyaksikan pelaksanaan penyampaian Sijil Anugerah Prestasi Baik bagi tahun 2024, Penghargaan kepada 2 orang anggota KEJORA yang akan bersara pada 1 Ogos 2025 iaitu Puan Hjh Noor Anisah binti Hj Sihes, Setiausaha Pejabat dan Encik Norjilan bin Matfot, Pekerja Khidmat Am, serta Sambutan Hari Lahir anggota KEJORA bagi bulan Januari hingga Julai 2025 — satu inisiatif yang menzahirkan penghargaan dan kebersamaan dalam keluarga besar KEJORA.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga KEJORA atas semangat, komitmen dan dedikasi yang tidak pernah luntur. Bersama, kita terus memacu Wilayah KEJORA ke arah kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan.