Latihan mingguan pada 12 November 2022 di Pusat Akuatik, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor
KEJORA SOCCER KIDS
Latihan mingguan pada 11 November 2022 di Stadium Juara, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor
KURSUS PENTADBIRAN DAN PERUNDANGAN TANAH KEJORA
Seramai 40 orang anggota KEJORA telah mengikuti Kursus Pentadbiran Dan Perundangan Tanah KEJORA yang telah diadakan pada 9 hingga 10 November 2022 bertempat di Lotus Desaru Beach Resort & Spa dengan kerjasama penceramah dari Institut Ukur Dan Tanah Negara (INSTUN), Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli yang disampaikan oleh Encik Zahar Bin Sapar.
Kursus ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman dan pengetahuan mengenai elemen asas bagi pengurusan pentadbiran dan perundangan tanah. Kursus ini juga dapat memberi pendedahan kepada setiap pegawai berkaitan kaedah pengurusan Hartanah di KEJORA disamping menggalakkan tindakan peningkatan dan penambahbaikan yang berterusan kepada setiap anggota.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua anggota KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan penuh dedikasi.
MAJLIS JASAMU DIKENANG WARGA KEJORA
Pada hari ini telah berlangsung Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan 2 orang anggota KEJORA yang akan bersara iaitu Tn. Hj Suhaidi Bin Jumadi, Pembantu Awam, Unit Pengurusan Fasiliti & En Azman Bin Toyeb, Pemandu Kenderaan, Bahagian Pentadbiran Dan Pengurusan Sumber Manusia.
Tn Hj Suhaidi bin Jumadi telah mula berkhidmat pada 16 Januari 1986 dan akan bersara wajib pada 10 November 2022 setelah berkhidmat dengan KEJORA selama 36 tahun 9 bulan 25 hari. Manakala En. Azman bin Toyeb telah mula berkhidmat pada 18 Februari 1991 dan akan bersara pilihan pada 7 Disember 2022 setelah berkhidmat dengan KEJORA selama 30 tahun 3 bulan 25 hari.
Menggamit rindu datang ke mari,
Waktu bersama duka gembira,
Kenangan lalu memahat memori,
Taburan budi kilauan KEJORA.
KEJORA mendoakan semoga Tn. Hj Suhaidi bin Jamadi dan En. Azman bin Toyeb akan sentiasa sihat dan menikmati hari-hari bahagia bersama keluarga tercinta.
Selamat bersara tuan berdua. Segala kenangan akan terpahat menjadi memori sepanjang zaman.
“Hidup adalah kumpulan episod, rangkaian cerita tentang perjalanan kita yang penuh suka dan cita. Kadang tangis dan sedih melanda untuk membuatmu lebih kuat dari sebelumnya. Lihatlah, hari yang telah lalu, lambaikan dan katakan salam perpisahan”.
KEJORA BANTU SAKTI KE PERTANDINGAN ROBOTIK ANTARABANGSA DI GERMAN
KEJORA pada hari ini telah menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) bagi pasukan robotik SAKTI ke Pertandingan World Robot Olympiad (WRO) 2022 yang bermula pada 14 hingga 22 November 2022 di Dortmund, German.
SAKTI yang diwakili oleh 3 orang pelajar Tingkatan 3 dengan diiringi oleh seorang guru pengiring, dijangka akan berlepas ke German pada 14 November 2022 ini dengan misi Juara Kategori Junior Robotik. WRO2022 akan disetai lebih dari 70 buah negara di dunia.
Pada majlis ini, Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus menasihatkan kepada peserta agar dapat memberikan sepenuh komitmen serta mendengar arahan guru pembimbing. Di samping itu juga, beliau menambah agar menjaga imej negara serta nama baik sekolah serta KEJORA.
Di dalam majlis ini juga, Pengurus Besar KEJORA telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM33,246.00 serta bendera Jalur Gemilang kepada peserta yang terlibat.
Turut hadir pada sesi penyerahan ini ialah Penolong Pegawai Pendidikan, Bahagian Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Tn. Hj. Ishak bin Ismail, Penolong Kanan (Pentadbiran) SAKTI, Hj. Md Zain bin Dekan, Pengurusan Kanan KEJORA, guru-guru pembimbing serta ibu bapa peserta.
Tahniah kepada SAKTI serta ibu bapa yang telah banyak bekerja masa, tenaga dan kewangan dalam memastikan penyertaan ke pertandingan ini menjadi kenyataan.
KIDS SWIMMING CLASS
Latihan mingguan pada 5 November 2022 di Pusat Akuatik, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor #KPLB #KEJORA #LuarBandarSejahtera #KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat #JubliEmasKEJORA #PenerajuTerasKemakmuran
KEJORA SOCCER KIDS
Latihan mingguan pada 4 November 2022 di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar, Johor
BENGKEL PENETAPAN GAJI PERMULAAN BERSAMA SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM (SPA)
Bengkel Penetapan Gaji Permulaan Bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Pada 3 November 2022, Khamis, Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Penetapan Gaji Permulaan Bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bertempat di Ibu Pejabat KEJORA.
Encik Herman Peter Alek, Penolong Setiausaha, Bahagian Perkhidmatan SPA telah hadir berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman beliau bagi memudahkan urusan penentuan gaji permulaan dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
BANTUAN KIT BANJIR WILAYAH KEJORA
KEJORA pada hari ini telah menyantuni 18 keluarga yang terdiri dari 72 mangsa banjir di Dewan Al-Barakah, Kampung Sri Delima, Kota Tinggi, Johor. Mangsa-mangsa banjir ini terdiri dari sebahagian penduduk Kampung Sri Jaya serta Kampung Sri Delima.
Kesemua mangsa telah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) ini bermula dari jam 10.00 malam tadi sementara menunggu banjir surut.
Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), En. Daud bin Abd. Rahman telah mewakili KEJORA untuk menyampaikan kit banjir kepada Ketua Isi Rumah (KIR). KEJORA berharap, dengan adanya kit banjir ini akan meringankan beban mangsa serta memudahkan urusan harian mangsa.
KURSUS ASAS SIASATAN DALAMAN KEJORA TAHUN 2022
Pada 1 November hingga 2 November 2022, pihak KEJORA melalui Unit Integriti telah menganjurkan Kursus Asas Siasatan Dalaman KEJORA Tahun 2022 bertempat di Hotel Desaru Penawar, Bandar Penawar yang dianggotai peserta daripada Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional seramai 30 orang termasuk urusetia kursus.
Kursus ini telah disampaikan oleh PsK Roseli bin Roszaini, Penguasa Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) berserta 4 orang fasilitator dalam menjayakan kursus ini.
Antara objektif kursus ini adalah untuk memberikan panduan kepada pegawai-pegawai KEJORA semasa menjalankan siasatan ke atas sesuatu kes salahlaku anggota supaya dapat mengenalpasti fakta-fakta kes yang kukuh untuk dibawa ke pertimbangan Jawatankuasa Tatatertib. Selain itu, peserta juga akan dapat maklumat yang relevan dan merekod pengakuan yang lengkap.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Marlina binti Amir.
Tahniah kepada semua yang terlibat. Semoga dengan ilmu yang diperolehi dari kursus ini, akan memberikan manfaat kepada semua peserta.

































































































