Projek pembinaan jalan sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan Kampung Johor Lama ke Kampung Guntong Nenas telah siap sepenuhnya. Projek Fasa 1 ini merupakan inisiatif dan kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bersama JKR Daerah Kota Tinggi selaku agensi pelaksana, bagi menyediakan kemudahan jalan raya yang selesa, selamat, dan berimpak tinggi kepada penduduk setempat.
Majlis penyerahan rasmi yang diadakan pada hari ini telah diserikan dengan kehadiran YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, YB ADUN Johor Lama & YB ADUN Sedili, Pengarah JKR Negeri Johor, Timbalan Pengarah ICU Negeri Johor, Pengarah Pejabat KKDW Negeri Johor, Jurutera Daerah Kota Tinggi, bersama pegawai-pegawai kanan daripada JKR, KKDW dan KEJORA
Dalam majlis tersebut, YB Tuan Ir Ts Mohamad Fazli bin mohamad Salleh, Pengerusi Kerja Raya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kejayaan pelaksanaan projek ini yang mengikut kehendak rakyat sesuai dengan pembangunan lestari. Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, dalam ucapannya berharap agar kerjasama erat antara semua agensi berkaitan dapat diteruskan demi kejayaan projek-projek pada masa depan.
Projek ini akan diteruskan untuk Fasa 2, melibatkan pembinaan baki jajaran jalan sepanjang kira-kira 9 kilometer, yang dijangka akan bermula pada tahun 2026.
Projek jalan raya ini diyakini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi penduduk setempat serta membuka lebih banyak peluang dalam sektor perniagaan, pelancongan dan perhubungan di kawasan Kota Tinggi.