MAJLIS PERSARAAN ANGGOTA KEJORA

Khamis, 2 Februari 2023 – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Persaraan Anggota KEJORA di Lobi Utama, Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Pn. Marlina binti Amir yang turut dihadiri oleh Pengurusan Kanan KEJORA, Pengurusan KEJORA serta Anggota KEJORA.
Majlis pada pagi ini adalah untuk meraikan persaraan En. Md Norazman bin Saad dan En. Sumeri bin Sahari yang merupakan Pemandu Kenderaan di Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia.
En. Norazman bin Saad telah mula berkhidmat di KEJORA pada 2 April 1983 sebagai Buruh Am, kemudian telah dinaikan pangkat sebagai Pemandu Kenderaan pada 2 Jun 1993. Manakala pada 21 Disember 2015 beliau telah dinaikan pangkat Pemandu Kenderaan Gred H14 dan akan bersara bersara wajib pada 03 Februari 2023 setelah berkhidmat selama 40 tahun.
Encik Sumeri bin Sahari telah mula berkhidmat di KEJORA pada 16 Disember 1987 sebagai Pekerja Am, kemudian telah dinaikan pangkat sebagai Pemandu Kenderaan pada 1 Ogos 2007 seterusnya dinaikan pangkat Ke Pemandu Kenderaan Gred H14 pada 1 Ogos 2019. Beliau akan bersara bersara wajib pada 20 Mac 2023 setelah berkhidmat selama 36 tahun.
Di dalam ucapan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) yang mewakili pengurusan KEJORA serta warga KEJORA, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas jasa bakti pesara serta mendoakan agar pesara ini diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan serta terus menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat akan sebarang aktiviti dan perkembangan KEJORA.
Berdayung Sampan ke Tanah Semenanjung
Hendak Memberi Tikar Rotan
Budi Dikenang Bakti Disanjung
Kekal Subur Dalam Ingatan

BAZAR KOMUNITI JORAK PANCHOR TAHUN 2023

27 HINGGA 28 JANUARI 2023 | JORAK PANCHOR, MUAR | 7.30 PAGI HINGGA 11.00 MALAM
KEJORA melalui Unit Ekonomi & Usahawan (UEU) telah mengadakan program Bazar Komuniti Jorak Panchor bermula pada 27 hingga 28 Januari 2023 di Panchor, Muar, Johor bersempena dengan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung atau lebih dikenali sebagai PROSPEK.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Muar, Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Kiyai Haji Shamsudin. Dalam ucapannya beliau menyatakan hasrat bahawa, penduduk di Mukim Jorak Panchor Muar hendaklah mengambil peluang dan ruang dengan kebaradaan dan pembangunan Hub Pendidikan dengan memastikan anak-anak diberikan pendidikan yang sewajarnya. Selain itu juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang telah membantu membangunkan ekonomi penduduk kampung Mukim Jorak Panchor dengan memberi kelulusan program PROSPEK melalui KEJORA.
Antara program/aktiviti yang dijalankan sepanjang 2 hari ini termasuklah ‘Telematch’ persahabatan perlawanan bola sepak dan batu seremban di antara agensi dan jabatan di Pagoh termasuk KEJORA menentang pilihan Mukim Jorak Panchor. Manakala di sebelah pagi telah diadakan acara ‘Fun Ride’, mewarna kanak-kanak, pertandingan dam aji, pertandingan PUBG, taklimat & pembelajaran batik ‘Tie & Dye’ bersama jahitan kreatif.
Selain itu juga, turut diadakan adalah pertandingan memasak daging arnab yang mana ternakan arnab adalah merupakan ternakan yang diusahakan di dalam program PROSPEK Mukim Panchor. Turut diadakan adalah pelbagai jualan seperti Nasi Lemak Bungkus Bakar, Satay Arnab, minuman dan makanan disamping pelbagai jualan hasil dari usahawan Mukim Jorak Panchor.
Turut hadir di dalam majlis perasmian adalah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA, En. Daud bin Abd Rahman, Wakil Majlis Perbandaran Muar, En. Mohd Hairul Hafiz bin Ismail, wakil gensi dan jabatan di kawasan Pagoh, Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Muar, Pengurusan KEJORA serta penduduk kampung.
Pada malam perasmian juga telah diadakan majlis cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah berupa barangan elektrik dan pelbagai hadiah sampingan
Tahniah kepada semua peserta PROSPEK Jorak Panchor. Semoga usaha ini dapat membantu usahawan dan koperasi serta peserta PROSPEK Jorak Panchor dalam mempromosikan jualan mereka serta mendapat pendedahan mengenai program serta kerjasama yang boleh dibuat bagi meningkatkan jualan usahawan.

#PenerajuTerasKemakmuran

MAJLIS APRESIASI SK BANDAR PENAWAR

28 Januari 2023 – Bandar Penawar – Pada hari ini telah berlangsung Majlis Apresiasi Tahun 6 2022/2023 di Dewan KEJORA.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, YBhg. Dato’ Hj Mohd Rusdi bin Mohd Darus.. Turut hadir adalah Guru Besar SKBP, Tuan Haji
Kamaruddin bin Asraf dan YDP PIBG SKBP En. Mohd Juisyani bin Mohd Isa, serta ibu bapa murid-murid tahun 6.
Program ini dilaksanakan adalah bagi meraikan pelajar-pelajar Tahun 6 iaitu seramai 117 orang yang akan menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah.
Tahniah diucapkan kepada murid Tahun 6 SKBP. Seluruh Warga KEJORA mengucapkan tahniah dan teruskan pembelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Tuntutlah ilmu, walaupun ianya sebesar zarah, kerana tanpa ilmu, hidup ini akan menjadi sia-sia”

KUNJUNGAN PRIHATIN KEJORA KE ATAS MANGSA BANJIR WILAYAH KEJORA

26 Januari 2023 (Khamis), Kota Tinggi – KEJORA pada hari ini telah menyerahkan sumbangan sebanyak 38 Kit Bantuan Banjir di dalam Wilayah KEJORA yang merangkumi Daerah Kota Tinggi.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, En. Mohamad Azrul bin Hj Shari telah mewakili Pengurusan KEJORA untuk menyerahkan Kit Bantuan Banjir kepada:-
1. 13 keluarga dari Kg. Semanggar Dalam/Luar – PPS Sek. Keb. Semanggar, Kg. Semanggar
2. 25 keluarga dari Kg Gembut, Sedili – PPS Dewan Sek Keb Kg. Gembut, Sedili
Selain itu, Penggerak KEJORA juga turut hadir bersama-sama mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini dan membantu melancarkan proses agihan ini.
Ahli Lembaga Pengarah, pihak Pengurusan serta seluruh anggota KEJORA mendoakan agar urusan semua mangsa banjir ini dipermudahkan oleh-Nya. Semoga semua mangsa dan keluarga juga terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.

KUNJUNGAN PRIHATIN KEJORA KE ATAS MANGSA BANJIR WILAYAH KEJORA

25 Januari 2023 (Rabu), Wilayah KEJORA – KEJORA pada hari ini telah menyerahkan sumbangan sebanyak 115 Kit Bantuan Banjir di dalam Wilayah KEJORA yang merangkumi Daerah Kota Tinggi dan Daerah Kluang.
Bagi Daerah Kota Tinggi, Pengurus Pentadbiran & Pengurusan Sumber Manusia, En. Mohd Ashek bin Hassan telah mewakili Pengurusan KEJORA untuk menyerahkan Kit Bantuan Banjir kepada:-
1. 1 keluarga dari Kg. Tg. Serindit – PPS Dewan Kg. Muhibbah, Tg. Serindit
2. 3 keluarga dari Kg Gembut, Sedili – PPS Dewan Sek Keb Kg. Gembut, Sedili
3. 44 keluarga dari Kg. Simpang, Sedili – PPS Sek Keb Kg. Teluk Intan Lesung, Sedili
Manakala bagi Daerah Kluang, Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa, En. En. Sh. Khayulzahri bin Sh A. Raof telah mewakili Pengurusan KEJORA untuk menyerahkan Kit Bantuan Banjir kepada:-
1. 2 keluarga dari Kg. Batu 4, Paloh, Kluang – PPS Balairaya Kg. Batu 4, Paloh, Kluang
2. 2 keluarga dari Kg. Sri Lalang, Batu 6, Kluang – PPS Dewan Kg. Sri Lalang, Batu 6, Kluang
3. 63 keluarga dari Kg. Contoh Kahang – PPS Sek Men Keb Kg. Contoh Kahang
Selain itu, Penggerak KEJORA juga turut hadir bersama-sama mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini dan membantu melancarkan proses agihan ini.
Ahli Lembaga Pengarah, pihak Pengurusan serta seluruh anggota KEJORA mendoakan agar urusan semua mangsa banjir ini dipermudahkan oleh-Nya. Semoga semua mangsa dan keluarga juga terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.
#PenerajuTerasKemakmuran

SUKARELAWAN BENCANA KEJORA DIAKTIFKAN

25 Januari 2023 – Bandar Penawar – Pasukan Sukarelawan Bencana KEJORA telah diaktifkan bagi sama-sama membersihkan beberapa rumah anggota KEJORA yang terlibat dengan banjir.
Pada hari ini, seramai lebihkurang 10 orang anggota pasukan telah sama-sama membantu membersihkan rumah anggota KEJORA di Taman Desaru Utama yang terjejas akibat banjir yang berlaku pada semalam.
Sekalung tahniah dan terima kasih kepada Pasukan Sukarelawan Bencana KEJORA yang sentiasa memberikan khidmat terbaik dalam usaha meringankan beban mereka-mereka yang memerlukan, akibat dari bencana banjir yang berlaku.

KEJORA SANTUN MANGSA BANJIR

24 Januari 2023 – Lanjutan dari taburan hujan yang tinggi di Bandar Penawar sejak dari pagi tadi, beberapa kawasan di Bandar Penawar telah dinaiki air. Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini, pihak KEJORA telah menyumbangkan sebanyak 130 kit bantuan banjir yang merangkumi barang makanan, peralatan memasak, selimut dan kit penjagaan kesihatan kepada semua Ketua Isi Rumah yang terlibat.
Semoga dengan sumbangan ini akan meringankan beban mangsa banjir dan KEJORA mendoakan agar semua mangsa bersabar dalam menghadapi ujian ini.

SEKITAR PEMANTAUAN DAN PEMBERSIHAN KAWASAN PENTAI TANJUNG BALAU

Sekitar pemantauan & pembersihan kawasan Pantai Tanjung Balau.

SILA PATUHI ARAHAN YANG ADA DI SEKITAR PANTAI TANJUNG BALAU

Untuk makluman semua Pantai Tanjung Balau, kawasan ini adalah KAWASAN LARANGAN untuk dikunjungi. Kawasan ini sedang dinaiktaraf bagi kemudahan akan datang.
Pihak KEJORA tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini dikawasan ini akibat kecuaian tuan/puan sekalian.

KEBERSIHAN PANTAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Untuk makluman pengunjung Pantai Tanjung Balau, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) & Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) telah menyediakan 60 unit tong sampah di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung Pantai Tanjung Balau. Tong sampah berpenutup ini diletakkan dilokasi perkelahan dengan radius lebih kurang 50 meter bagi memudahkan orang awam membuang sampah di tempat yang disediakan.
Pihak KEJORA berharap para pengunjung turut bertanggungjawab dengan membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah sediakan.
Seeloknya sampah tersebut dibungkus & diikat didalam plastik dengan kemas agar ianya tidak mudah diselongkar oleh haiwan liar.
Kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Sesungguhnya kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman, manakala sebahagian lagi ialah amalan kita yang mulia dan soleh.