KEJORA TERUS KOMITED MEMPROMOSIKAN PELANCONGAN DESA KE PERSADA ANTARABANGSA DI OSAKA, JEPUN

KEJORA terus melangkah di pentas antarabangsa apabila satu delegasi rasmi yang diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tourism Malaysia Osaka pada 16 Jun 2025. Turut mengiringi beliau ialah Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Pengurus Pelancongan KEJORA, Datin Siti Azni binti Zakaria, Pengurus Teknologi Maklumat KEJORA, serta Encik Muhammed Iqbal bin Rosli, Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau. Kehadiran delegasi KEJORA disambut penuh mesra oleh Cik Kimiko Shimizu dan Encik Kenji Higashida dari pasukan pemasaran Tourism Malaysia Osaka.
Pertemuan strategik ini menjadi platform penting untuk KEJORA memperkenalkan produk pelancongan unik wilayah KEJORA ke pasaran Jepun seperti Kompleks Pelancongan Pantai Tanjung Balau yang mempunyai Tapak Warisan Geologi dan Muzium Nelayan Tanjung Balau, Ekopelancongan Pulau Tanjung Surat, kemudahan penginapan pelancongan KEJORA serta membolehkan potensi kerjasama lanjut dalam menyesuaikan penawaran pelancongan dengan minat pelancong Jepun, dan bagi menyokong inisiatif Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hasil daripada pertemuan dua hala ini, Tourism Malaysia berpandangan bahawa KEJORA selaku peneraju pelancongan desa Wilayah Johor Tenggara mampu mengetengahkan produk-produk pelancongan desa ini ke persada antarabangsa dan bersetuju untuk bekerjasama dalam menghubungkan KEJORA bersama agensi pelancongan di Jepun.
Langkah ini mencerminkan komitmen KEJORA untuk memperkukuh kehadiran global sambil memacu pertumbuhan ekonomi desa melalui pelancongan yang mampan dan inklusif. KEJORA yakin bahawa kerjasama ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkenalkan pesona wilayahnya kepada dunia.

LAWATAN PENANDA ARAS JAWATANKUASA AUDIT PERDA KE LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

KOTA TINGGI, 12 Jun – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menerima kunjungan delegasi daripada Jawatankuasa Audit Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pada 11 hingga 12 Jun 2025. Delegasi tersebut diketuai oleh YBrs. Encik Azize bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Audit PERDA.
Ketibaan delegasi di Ibu Pejabat KEJORA telah disambut oleh YBrs. Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), bersama ahli Jawatankuasa Audit KEJORA, YBrs. Encik Tuan Ahmad bin Tuan Wil dan YBrs. Puan Murni Rahayu binti Ahmad Anuar. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pandangan serta maklumat berkaitan tadbir urus dan pelaksanaan peranan KEJORA.
Delegasi ini telah diperdengarkan taklimat berkaitan Pembangunan KEJORA oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) dan Taklimat Sistem Audit Dashboard KEJORA yang telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohamad Rizal bin Mohd Hidzir, Ketua Unit Audit Dalam KEJORA. Seterusnya, Mesyuarat Jawatankuasa Audit telah diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan.
Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa lokasi di bawah pentadbiran KEJORA, termasuk Muzium Nelayan Tanjung Balau, kawasan pelancongan di Kampung Johor Lama, serta kawasan Tanaman Campuran KEJORA di Penggeli Kecil, Kota Tinggi.

KEJORA SEDIAKAN SISTEM PERPARITAN YANG SELAMAT KEPADA KOMUNITI DI KG BELADING BARU DAN KG SELUYUT, MUKIM JOHOR LAMA, DAERAH KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TA’ZIM

KOTA TINGGI, 12 Jun – Projek menaiktaraf perparitan KEJORA adalah bertujuan untuk menambahbaik sistem perparitan sediada di dalam kawasan kampung tradisional wilayah KEJORA yang dahulunya merupakan perparitan tanah dan berisiko banjir. Pada hari ini, kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan sepanjang lebih kurang 50m di Kampung Belading Baru dan 570m di Kampung Seluyut, Mukim Johor Lama, Kota Tinggi, Johor telah berjaya disiapkan mengikut jadual.
Penyerahan siap kerja ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA selaku wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA. Semoga dengan penyiapan projek ini penduduk kampung dapat menikmati keselesaan dan menjalani kehidupan desa yang lebih selamat dan harmoni.

TAWARAN BARU TUTUP LKJT/KWPP/TB/P/2025/K332

Publish Keputusan tender k332 bayu balau

TAWARAN BARU TUTUP LKJT/KWPP/ KG. BELUKARDURIAN/ WR/2025/ K330

Publish Keputusan tender k330 WETLANDS

KEJORA BERSAMA KOMUNITI MELAKSANAKAN IBADAH QURBAN SEMPENA AIDILADHA 2025/1446H

KOTA TINGGI, 7 Jun – Bagi menyemarakkan semangat keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT, KEJORA telah menganjurkan Majlis Ibadah Qurban Wilayah KEJORA bersama komuniti setempat bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2025/1446H. Majlis telah berlangsung di Masjid Al-Aa’la, Bandar Mas, Kota Tinggi.
Ibadah qurban kali ini melibatkan lima ekor lembu dan 66 ekor kambing, dan daging qurban telah diagihkan kepada penduduk di kawasan sekitar.
YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), hadir sebagai wakil rasmi Pengurus Besar KEJORA bagi menyempurnakan pengagihan daging qurban kepada para penerima.
KEJORA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penyumbang, petugas, sukarelawan, serta ahli kariah Masjid Al-Aa’la atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.

LAWATAN PEMANTAUAN PENGURUS BESAR KEJORA KE ARAH MENDAPATKAN CCC PROJEK PERUMAHAN TERSUSUN KAMPUNG TANJUNG BUAI, MUKIM JOHOR LAMA, KOTA TINGGI, JOHOR

KOTA TINGGI, 04 Jun- Bagi memastikan komitmen KEJORA dalam menyempurnakan pembangunan Projek Perumahan Tersusun Kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi, Johor, Pengurusan KEJORA yang diketuai oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA telah mengadakan lawatan pemantauan untuk melihat dan memastikan penyempurnaan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor di tapak bagi mendapatkan sijil pematuhan dan penyiapan (CCC).
Turut hadir adalah YBrs. Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Pengurusan serta pegawai KEJORA, wakil perunding dan wakil pihak kontraktor. Melalui lawatan ini, pihak kontraktor telah diminta untuk memastikan baki kerja penyiapan projek ini disempurnakan bagi membolehkan CCC diperolehi segera.

TIRAI PEMBUKAAN PESTA TANJUNG BALAU 2025 SEMPENA ULANGTAHUN KEJORA KE-53

Pesta Tanjung Balau 2025 telah pun membuka tirainya secara rasmi hari ini dan akan berlangsung hingga 2 Jun 2025!
Pelbagai aktiviti menarik telah memeriahkan pada pembukaan hari pertama ini, antaranya Pertandingan Aerofithon, Pertandingan Memasak, KEJORA Idol, Bola Tampar Pantai, Sukan Rakyat, serta SukanRia Kanak-kanak.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai tarikan lain seperti Mini Zoo, Mini Travel Fair, Supa Dupa, serta jualan menarik di Bazar Komuniti KEJORA yang berlangsung sepanjang tiga hari ini.
Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan acara pembukaan.
Anda bila lagi? Jom ramai-ramai ke Pesta Tanjung Balau 2025 — jangan lepaskan peluang!

MAJLIS ZIARAH KASIH WILAYAH KEJORA ZON KLUANG

KLUANG, 31 Mei- Sempena Ulangtahun KEJORA ke-53, KEJORA mengambil kesempatan untuk menyantuni warga emas yang memerlukan dengan mengadakan Majlis Ziarah Kasih Wilayah KEJORA Zon Kluang.
Majlis telah diadakan di Kampung Paya, Layang-Layang, Kluang dan disampaikan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Pengurus Besar KEJORA kepada penerima diiringi oleh Encik Mohd Hanafi bin Jantan, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) dan Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA.
Majlis Ziarah Kasih ini diharapkan dapat mengeratkan silaturrahim bersama komuniti desa Zon Kluang dan dapat meringankan beban kewangan mereka.

TAMAN PERMATA LAYANG: REALISASI IMPIAN RUMAH PERTAMA MAMPU MILIK UNTUK MASYARAKAT LUAR BANDAR

KLUANG, 31 Mei – KEJORA terus menzahirkan komitmen menyediakan kediaman yang berkualiti dan mampu milik kepada penduduk luar bandar. Menerusi anak syarikatnya, Kejora Land Development Sdn. Bhd. (KLDSB), KEJORA telah berjaya membangunkan Projek Perumahan Taman Permata Layang di Layang-Layang, Simpang Renggam yang telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Layak Menduduki (CCC) pada Mei 2025.
Projek ini menawarkan 125 unit rumah kediaman yang kesemuanya jenis banglo dan 7 unit kedai bagi memenuhi keperluan perumahan serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan. Antara keunikan projek ini ialah ia merupakan salah satu projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang pertama di negeri ini yang keseluruhan unit di bawah dasar kerajaan adalah jenis banglo.
Projek ini dibangunkan hasil kerjasama strategik antara KEJORA, Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Ia bertujuan menyediakan pilihan kediaman selamat kepada penduduk Kampung Paya yang sebelum ini sering terkesan dengan bencana banjir, sekaligus menyokong dasar kerajaan untuk memperluas pemilikan rumah pertama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pada hari ini menyaksikan YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi KEJORA, telah sudi hadir menyampaikan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) kepada 41 orang penerima.
Turut hadir, YB Dato Ir Hasni bin Mohammad, Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YBhg. Dato’ Dr Roslan bin Mahmood, Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan KKDW sebagai wakil rasmi Ketua Setiausaha KKDW, Ahli Lembaga Pengarah KEJORA dan Anak Syarikat KEJORA, pimpinan tempatan, agensi pelaksana serta penduduk sekitar.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini dari peringkat perancangan, pelaksanaan hingga ke penyerahan hari ini. KEJORA percaya, pembangunan perumahan seperti ini bukan sekadar membina rumah, tetapi membina harapan, kestabilan dan masa depan masyarakat luar bandar.