PROGRAM BEACH CLEAN UP DAY

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor dengan kerjasama Unit Pengurusan Fasiliti (UPF) KEJORA telah bersama-sama menganjurkan program Beach Clean Up Day pada 2 Oktober 2022 di Pantai Tanjung Balau.
Program telah dirasmikan oleh Pengarah Keselamatan Negeri Johor, Encik Mohd Tarmizi bin Dan. Seramai lebihkurang 120 orang peserta dari pelbagai agensi seperti KEJORA, BOMBA, Jabatan Penerangan Malaysia, APM, Kejora Hospitality Sdn. Bhd, Penduduk Kampung Nelayan Tanjung Balau serta guru-guru dan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) telah terlibat dalam program ini.
Bermatlamatkan menjaga, memulihara dan memanfaatkan sumber alam sedia ada serta mempertahankan kelestarian untuk kesejahteraan sejagat, program ini juga memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat secara umum, menyemai sifat mulia, toleransi dan muafakat dalam melahirkan insan yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada negara. Selain itu, ia juga menerapkan nilai-nilai murni dalam pembentukan individu yang beretika dan bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran akan tanggungjawab sosial di samping mengukuhkan hubungan sesama agensi yang terlibat.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Putrajaya, Encik Abdul Rahman bin Abdul Halim serta Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor, Encik Baniamin bin Abu Bakar yang telah mamberikan sedikit taklimat berkaitan Jenayah Memperdagangkan Manusia dan Penyeludupan Migran.
Disamping itu, Muzium Nelayan Tanjung Balau telah sudi menerima semua peserta yang terlibat dalam program ini untuk memasuki muzium serta melihat dengan lebih dekat semua artifak yang berada di Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Semoga hubungan yang dijalinkan ini, memberikan seribu makna serta menjadi jambatan kepada hubungan strategik yang lebih utuh. Tahniah semua.

FESTIVAL ISLAM & HALAL ANTARABANGSA JOHOR (FIJO 2022) JOHOR INTERNATIONAL ISLAMIC & HALAL FESTIVAL 2022

KEJORA melalui Unit Ekonomi & Usahawan (UEU) serta usahawan bimbingan KEJORA telah mengambil bahagian dalam FIJO 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang berlangsung selama 4 hari bermula dari 19 September hingga 2 Oktober 2022.
Pelbagai aktiviti & program menarik telah disediakan untuk pengunjung antaranya:-
🍔 Pameran & Jualan Produk Usahawan;
🕋 Pameran Artifak Tamadun Islam;
🕋 Pameran Khas Artifak Rasullullah S.A.W;
…….. dan banyak lagi…..
Persatuan Peniaga & Usahawan KEJORA (PUPUK) telah turut serta memeriahkan FIJO 2022 ini.
Majlis Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah serta deligasi dari luar negara dan ketua-ketua agensi.
“Perbaikilah dalam mencari rezeki , dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram” – (Ash-Shahihah 6/2607)

KEJORA TERIMA SIJIL PENGHARGAAN PELAKSANAAN MBJ TAHUN 2021

Pada 28 September 2022, YBhg. Dato’ Rusdi bin Mohd. Darus, Pengurus Besar KEJORA telah menerima Sijil Penghargaan Pelaksanaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Tahun 2021 daripada YBhg Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tahniah diucapkan kepada semua Wakil Pegawai dan Wakil Pekerja diatas komitmen tinggi yang diberikan dalam menjayakan MBJ.

PROGRAM LITERASI KOMPUTER DAN KOMUNIKASI DESA WILAYAH LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) TAHUN 2022

KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan Kursus Program Literasi Komputer dan Komunikasi Desa Wilayah KEJORA Tahun 2022 di Grand Bluewave Hotel, Johor Bahru pada 26 hingga 28 September 2022 yang lepas.
Seramai 30 orang guru-guru Sekolah Menengah (SMK) dan Pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) Wilayah KEJORA telah bersama-sama hadir dalam kursus yang dianjurkan. Program Literasi Komputer dan Komunikasi Desa ini bertujuan untuk membantu guru-guru di dalam wilayah KEJORA untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan yang mendalam tentang pembangunan aplikasi dan capaian maklumat yang boleh dijadikan sebagai sumber bahan pengajaran yang lebih kreatif yang dapat mempertingkat fokus dan semangat pelajar di dalam kelas.
Semoga ilmu yang sedikit ini memberikan satu peluang yang besar untuk dikongsi bersama anak-anak luar bandar khasnya penduduk dalam Wilayah KEJORA.

PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT & KEPIMPINAN (BAKAT) TAHUN 2022, LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)

Program Latihan Renang merupakan salah satu program di bawah Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (BAKAT) tahun 2022 KEJORA. Program ini bertujuan untuk mengenalpasti peserta di Wilayah KEJORA yang mempunyai potensi dan bakat untuk dikembangkan melalui program-program yang dianjurkan oleh pihak KEJORA ke peringkat yang lebih tinggi di samping menambahbaik ‘Fine Motor Skill’ dan ‘Gross Motor Skill’.
Program Latihan Renang ini telah mula dilaksanakan pada 24 September 2022 di Pusat Akuatik SSTMI. Program kerjasama antara KEJORA, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan SSTMI ini akan dilaksanakan secara mingguan dan 3 tenaga pengajar telah dilantik untuk melatih pelatih-pelatih ini.
Tahniah kepada semua peserta yang berjaya mengikuti program BAKAT KEJORA. Teruskan momentum komitmen dan kesungguhan pelatih semua.

KURSUS PELAKSANAAN SISTEM BINAAN BERINDUSTRI (IBS) DALAM PROJEK KERAJAAN LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA) TAHUN 2022

KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan Kursus Perlaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Dalam Projek Kerajaan KEJORA Tahun 2022 di Dewan KEJORA Bandar Penawar dan CIDB Johor Bahru pada 21 hingga 23 September 2022 yang lepas.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengurus Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa, En. Sh. Khayulzahri bin Sh. A.Raof.
Seramai 20 orang kontraktor kelas G1 dari Wilayah KEJORA (Daerah Kota Tinggi & Kluang) telah menyertai kursus 3 hari ini. Objektif pelaksanaan kursus ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman terhadap sistem binaan berindustri (IBS), pengenalan, CITP, polisi kerajaan dan kepentingan IBS di dalam industri pembangunan dan ke arah pembangunan mapan.
Selain itu juga, kontraktor yang mengikuti kursus ini memperolehi Sijil Kecekapan dan Kemahiran (SKK) yang di iktiraf daripada CIDB yang memberikan kelebihan kepada kontraktor untuk memasuki projek –projek pembinaan di agensi-agensi Kerajaan.
“Sistem Binaan Bangunan Berindustri” atau Industrialised Building System – IBS) merupakan teknik pembinaan pasang siap atau kaedah pembinaan bangunan yang mana komponennya dihasilkan dalam keadaan terkawal (di kilang atau di tapak bina), di bawa dan di pasang di tempat kerja pembinaan bangunan dengan penggunaan pekerja yang minimum. IBS hendaklah diguna bersama dengan Pre-Approved Plan (PAP) semasa melaksanakan projek.
Semoga usaha KEJORA ini menjadi asas permulaan kepada semua kontraktor yang terlibat untuk menggunapakai dan mengaplikasikan kaedah IBS dalam pembinaan.

PROGRAM TERAPI PSIKOMOTOR DAN MINDA ANAK-ANAK BERKEPERLUAN KHAS WILAYAH KEJORA TAHUN 2022

KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial & Pemajuan Desa (PSPD) telah melaksanakan program Terapi Psikomotor dan Minda kepada Anak-Anak Berkeperluan Khas Wilayah KEJORA Tahun 2022 di Hotel Bayu Balau Beach Resort pada 21 dan 22 September 2022 yang lepas.
Seramai lebih dari 100 orang pelatih dan petugas dari 9 PDK di dalam Wilayah KEJORA telah menyertai program yang dirancang ini. Program ini bertujuan untuk membantu pelatih menikmati dan menjalani kehidupan mereka sama sepertimana insan-insan normal yang lain. Selain itu juga, ia dapat merangsang pelatih untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan persekitaran mereka yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara petugas dan pelatih di PKPDK.
Turut serta memberikan ceramah kepada semua pelatih dan peserta ini ialah Penyelaras PKPDK Daerah Kota Tinggi, Puan Nurul Fahmi binti Hj. Bachok.
Semoga usaha KEJORA dan PKPDK ini memberikan sedikit kegembiraan kepada semua peserta PDK yang terlibat.

KURSUS PENGUKUHAN UKHWAH KEJORA TAHUN 2022

Seramai 36 orang anggota KEJORA telah mengikuti Kursus Pengukuhan Ukhwah KEJORA Tahun 2022 yang telah diadakan pada 27 hingga 29 September 2022 bertempat di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram Johor yang dikendalikan oleh KUISCELL Sdn. Bhd.
Kursus ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan pengukuhan integriti anggota sebagai pekerja yang diamanahkan dengan tugasan yang perlu dilunaskan dengan penuh tanggungjawab, amanah, jujur dan telus. Selain itu, memberi latihan kestabilan emosi (EQ) secara teori dan praktikal dengan mewujudkan rangkaian tugasan yang lebih teratur dan tersusun bagi mencapai matlamat kerja serta organisasi.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua anggota KEJORA yang telah menjayakan kursus ini dengan penuh dedikasi.

KUNJUNGAN PRIHATIN KEJORA KE ATAS MANGSA KEBAKARAN RUMAH DI KAMPUNG SC JAYA SEPAKAT LAYANG-LAYANG

26 SEPTEMBER 2022 (ISNIN) | KAMPUNG SC JAYA SEPAKAT, LAYANG-LAYANG
KEJORA yang diwakili oleh Encik Daud bin Abd Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) telah mengadakan kunjungan prihatin ke atas mangsa kebakaran rumah yang terletak di Kampung SC Jaya Sepakat, Layang-layang, Johor.
Kejadian yang berlaku pada 24 September 2022 (Sabtu) tersebut telah mengakibatkan sebuah rumah penduduk kampung hangus dijilat api.
Dalam sesi kunjungan ini juga, Encik Daud bin Abd Rahman telah menyampaikan sumbangan bantuan berbentuk Bakul Makanan KEJORA kepada keluarga mangsa tersebut.
Semoga keluarga tersebut terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.

IKLAN PELAWAAN PERMOHONAN SEWAAN TAPAK PENJAJA DI TANJUNG BALAU

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) mempelawa Usahawan @ Peniaga yang telah mendaftar dengan KEJORA di Daerah Kota Tinggi dan BUMIPUTERA yang berminat & memenuhi syarat-syarat permohonan untuk menyewa tapak penjaja di Tanjung Balau. Rebutlah Peluang Ini dan bertindak sekarang.
Kekosongan Tapak Foodtruck : 4 Lot
Kekosongan Penjaja Bergerak : 3 Peniaga
Tarikh tutup iklan : 28 September 2022 (Rabu)
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Ekonomi dan Usahawan KEJORA di talian 078843197.