PROGRAM PEMBANGUNAN BAKAT WILAYAH KEJORA

Sesi Latihan Amali di padang bagi Program Pembangunan Sukan Golf Wilayah KEJORA melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa telah dilaksanakan pada 15 Julai 2022, Jumaat bertempat di Orchard Golf & Country Club, Kota Tinggi, Johor. Ini bagi memberi pendedahan kepada peserta keadaan sebenar sukan golf selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Golf (Driving Range) di Bandar Penawar. Semua peserta menunjukkan peningkatan yang baik semasa sesi latihan padang. Beberapa peserta juga dapat dikenalpasti berpotensi mendapat kedudukan yang baik semasa pertandingan golf peringkat MSSD Johor yang akan datang. Peningkatan prestasi peserta ini dibantu oleh 3 orang jurulatih bertauliah yang telah dilantik oleh KEJORA.
Program ini telah bermula pada bulan Mei 2022 dan disertai seramai 30 orang anak-anak penduduk sekitar Wilayah KEJORA yang berumur 7 hingga 17 tahun. Ini merupakan salah satu Program BAKAT yang dirancang oleh Bahagian PSPD bagi mencungkil bakat anak-anak penduduk Wilayah KEJORA dalam sukan Golf.
Pihak KEJORA mendapat kerjasama yang sangat baik dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru dalam perlaksanaan program ini. Kebenaran khas pelepasan belajar telah diberikan kepada murid atau pelajar yang terpilih bagi menjalani latihan sekiranya melibatkan hari persekolahan. Program ini juga menjadi ‘platform’ kepada peserta-peserta membuat persediaan bagi menyertai kejohanan golf peringkat MSSD Johor yang akan berlangsung pada bulan Ogos 2022.

KURSUS TANAMAN DURIAN MDUR TAHUN 2022

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menerusi Bahagian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menganjurkan Kursus Tanaman Durian MDUR Tahun 2022 dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Kursus ini telah diadakan pada 12-15 Julai 2022 bertempat di Hotel Casuarina Meru dan Durio Tourism MARDI Kuala Kangsar, Perak.
Program ini telah dirasmikan oleh En. Daud Bin Abd. Rahman selaku Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), KEJORA. Seramai 20 orang peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada ahli koperasi kampung, pengusaha pertanian di Kawasan Tanaman Campuran dan penduduk di sekitar Wilayah KEJORA.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai kaedah penanaman durian premium dan potensi pemasaran bagi tanaman durian secara teori dan juga amali. Selain itu, Kursus ini juga secara tidak langsung dapat mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan pembangunan modal insan dan latihan amali yang disampaikan oleh Penceramah MARDI.
Kursus ini juga telah menekankan kepentingan aktiviti penanaman sehingga pasca tuai bagi menghasilkan buah durian yang berkualiti tinggi selaras keperluan untuk jaminan bekalan makanan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peserta.

SESI PERBINCANGAN BERSAMA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA)

Sesi Perbincangan Bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mengenai Pelaksanaan Pelan Penggantian (Succession Plan)
Pihak KEJORA telah berkunjung dan mengadakan perbincangan bersama pihak JPA berkenaan Pelaksanaan Pelan Penggantian (Succession Plan) bertempat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Julai 2022, Khamis.
Lawatan ini di ketuai oleh Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA dan turut serta Encik Mohd Ashek bin Mohd Hassan, Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia.
YBrs. Dr. Anesee Ibrahim Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, JPA bersama beberapa orang Pegawai JPA telah menyambut baik hasrat KEJORA dan berkongsi tentang pelaksanaan Pelan Penggantian.
Diharapkan dengan perkongsian ini dapat menjadi panduan kepada KEJORA dalam usaha menyediakan Pelan Penggantian serta menjalinkan kerjasama erat bersama pihak JPA dimasa akan datang.

MAJLIS IBADAH QURBAN BELIA WILAYAH KEJORA (MAQRAB) 2022

11 JULAI 2022 | DATARAN TANJUNG SEDILI | 3.00 PETANG
Bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, KEJORA telah mengadakan Majlis Ibadah Qurban Belia Wilayah KEJORA (MAQRAB) 2022 di Dataran Tanjung Sedili, Daerah Kota Tinggi, Johor. Sebanyak 53 ekor kambing dan 1 ekor lembu telah dikorbankan dan semua ternakan sembelihan ini telah disumbangkan oleh Persatuan Ulama & Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS).
Majlis Ibadah Korban pada kali ini telah dihadiri oleh En. Daud bin Abd. Rahman, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA yang mewakili Dato’ Pengurus Besar KEJORA, Pengurusan KEJORA, Pengurusan Masjid Ar-Raudhah Kg. Tanjung Sedili, Penghulu Mukim Sedili Besar, Penghulu Mukim Sedili Kecil, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zon Maritim Tg Sedili, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sedili, Polis Tanjung Sedili, JPKK Tg. Sedili, JPKK Kg. Sedili Kecil, Sekolah-sekolah sekitar Sedili dan juga belia-belia kawasan Sedili.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB. Datuk Halimah binti Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi dan YB. Tuan Muszaide bin Makmor, ADUN Sedili yang telah mengagihkan daging korban kepada golongan Asnaf di kawasan Sedili ini.
Sabda Nabi SAW, mafhumnya:
“Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.” (Hadis riwayat Thabrani)

LAWATAN DELEGASI TOURISM PAHANG KE MUZIUM NELAYAN TANJUNG BALAU, BAYU BALAU BEACH RESORT & TERATAK PENAWAR

6 Julai 2022 – Pada hari ini, KEJORA telah menerima deligasi lawatan kerja dari Tourism Pahang yang diketuai oleh YB Dato’ Seri Hj Sh. Mohmed Puzi Bin Sh. Ali, Timbalan Pengerusi Tourism Pahang; Encik Kamaruddin Bin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang bersama Delegasi Tourism Pahang ke Muzium Nelayan Tanjung Balau , Bayu Balau Beach Resort dan Teratak Penawar.
Turut serta adalah Ketua Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang; wakil daripada Kejora Development Holding (KDH), Tourism Johor dan Persatuan Pelancongan Daerah Kota Tinggi.
Terima kasih kepada YB Dato’ Seri dan Tourism Pahang di atas kesudian mengadakan kunjungan ke destinasi menarik di sekitar Wilayah KEJORA.

RUMAH MAMPU MILIK TANJUNG BUAI

5 JULAI 2022 I SELASA I 5.00 PETANG
Pada hari ini, Pengurusan KEJORA telah mengadakan lawatan kerja bagi melihat perkembangan & permasalahan serta isu mengenai pembangunan Perumahan Rumah Mampu Milik Johor di Kampung Tanjung Buai, Daerah Kota Tinggi Johor.
Sesi lawatan telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Rusdi bin Mohd Darus, Pengurus Besar KEJORA serta Pengurusan KEJORA. Turut hadir juga adalah YB Puan Fauziah binti Misri ADUN Penawar, Tn. Syed Ben Bella bin Syed Agil Alhabshee Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Pengerang, Ketua Kampung Tanjung Buai serta kontraktor utama dan perunding.
Untuk makluman, sebanyak 56 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah dibangunkan dan akan siap sepenuhnya pada awal bulan September 2022.

KEJORA TELAH MENERIMA KEDATANGAN TUAN KHAIRY BIN MAAMOR, PEGAWAI DAERAH PORT DICKSON

KEJORA telah menerima kedatangan Tuan Khairy bin Maamor, Pegawai Daerah Port Dickson bersama Pegawai dan Kakitangannya sempena Lawatan Balas ke Wilayah KEJORA hari ini.
Bersempena lawatan tersebut, delegasi KEJORA yang diketuai Puan Marlina binti Amir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEJORA telah menyambut mesra Delegasi Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson (PDTPD), Negeri Sembilan. Delegasi PDTPD telah dibawa ke beberapa lokasi lawatan projek pembangunan pelancongan di dalam Wilayah KEJORA iaitu ekopelancongan warisan Pulau Tanjung Surat. Sebelum itu, delegasi telah diberi sedikit taklimat overview mengenai KEJORA dan seterusnya dibawa melawati sekitar Muzium Nelayan Tanjung Balau.
Semoga ikatan ukhuwah antara dua agensi ini akan terus berterusan.

KARNIVAL AGRO JOHOR 2022 DIBAWAH ANJURAN AGENSI PERTANIAN NEGERI JOHOR

Bersempena dengan #roadtoMAHA2022 , Karnival Agro Johor 2022 dibawah anjuran Agensi Pertanian Negeri Johor telah diadakan bermula dari 1 hingga 3 Julai 2022 bertempat di Dataran Segamat, Johor.
Program in telah dirasmikan oleh YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada 2 Julai 2022 (Sabtu) jam 10.00 pagi. Dalam masa yang sama, turut diadakan pra-pelancaran MAHA 2022 peringkat Zon Selatan (Johor Utara).
KEJORA melalui Anak Syarikat KEJORA iaitu KEJORA Agro Sdn. Bhd. (KASB) turut menyertai Pameran Agensi dengan berkonsepkan Agropelancongan. Selain itu juga, KASB telah terlibat secara langsung di dalam Demonstrasi Aquascape.
Syabas dan tahniah diucapkan.

KURSUS PEMASARAN DIGITAL BERSAMA-SAMA PERSATUAN PERUNCIT DAN PEMBEKAL MALAYSIA (MYBUSRA)

Teknologi telah mengubah cara usahawan di dalam wilayah KEJORA untuk menjalankan perniagaan khususnya semasa dunia dilanda pandemik Covid-19.Kehadiran produk atas talian telah menjadi salah satu saluran penting untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan, oleh itu, selaras dengan inisiatif tersebut, kursus pemasaran digital dilihat dapat meningkatkan kemahiran dalam pengiklanan selain membantu mengimbangi kemungkinan apabila bersaing untuk perniagaan.
Justeru itu, KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan bersama-sama Persatuan Peruncit dan Pembekal Malaysia (MYBUSRA) telah mengadakan Kursus Pemasaran Digital pada 30 Jun – 2 Julai 2022 (Khamis-Sabtu) bertempat di Empire Hotel, Subang Jaya, Selangor. Seramai 20 usahawan wilayah KEJORA dari kategori makanan, perkhidmatan dan kraf telah menyertai kursus ini. Kursus ini juga merupakan kesinambungan kepada peserta yang telah menerima skim bantuan mesin dan peralatan daripada pihak KEJORA bagi tahun 2021&2022.
Kursus ini telah sempurnakan oleh En Mohd Fakharur Razziy Bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan. Turut bersama En Riswardi Bin Abd Razak, Yang Dipertua MYBUSRA dan Puan Nur Atiqah Binti Othman, Penolong Pengurus Unit Ekonomi dan Usahawan.
TAHNIAH DAN SYABAS.

KURSUS PEMASARAN DIGITAL BERSAMA MYDIN

Bersempena dengan Kursus Pemasaran Digital yang dianjurkan oleh KEJORA melalui Unit Ekonomi dan Usahawan, satu Lawatan Kerja dan Taklimat Kejayaan serta Strategi Perniagaan Bersama MYDIN telah diadakan.
Aktiviti lawatan belajar ini merupakan sebahagian pendedahan kepada usahawan di wilayah KEJORA berkenaan pengurusan prestasi perniagaan, pemasaran digital, strategi dan isu-isu yang berkaitan dengan etika perniagaan.
Seramai 20 usahawan wilayah KEJORA dengan diketuai oleh Encik Mohd Fakharur Razziy bin Hazran, Ketua Unit Ekonomi dan Usahawan telah disambut oleh Encik Norman Rajen bin Abdullah, Pengurus Besar (Import & Export Division) MYDIN USJ, Subang Jaya, Selangor.
Sesi taklimat dan perkongsian berkenaan kejayaan dan strategi perniagaan MYDIN dari peniaga jalanan kaki lima sehingga tertubuhnya pasaraya MYDIN turut dikongsikan bersama para usahawan. Diharapkan sesi (buyer meet seller) ini mampu menggerakkan nakhoda perniagaan dan melebarkan sayap perniagaan usahawan Wilayah KEJORA ke pasaran yang lebih luas serta menjadi inspirasi kepada kejayaan produk usahawan luar bandar.
Syabas dan tahniah.